Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 19 Sep 1935, p.12

Feature Article.

Fikiran di atas Kemajuan Melayu.

Oleh Abdul Majid Fadhil al-Muari.

Oleh kerana zaman ini ialah dibilangkan zaman membahaskan kemajuan hingga telah jadi perselisihan fikiran berkenaan yang tersebut iaitu setengahnya mengatakan Melayu sudah maju dan yang setengahnya pula mengatakan belum maju, dari itu di sini penulis suka juga hendak menumpangkan sedikit fikiran moga-moga ada juga manfaatnya di sisi alam.

Melayu Sudah Maju?

Sungguh pun kiranya kita pandang pada zahir keadaan bangsa kita ((Melayu)) pada hari ini nescaya kita didapati atau kita sangka memang telah maju benar kerana memang tiada perbezaan dengan mereka-mereka yang berkemajuan ((orang Eropah)) sama ada pada pakaian-pakaian aturan makan minum, permainan, kesukaan dan sebagainya.

Pendeknya, kiranya diumpamakan kemajuan itu pada buah yang masak, memang telah masak benar. Tetapi manakala sudah dikupas baru dapat ketahui rupanya masak layu, cuma kulitnya sahaja yang masak tetapi isinya masih bergetah lagi. Kerana yang dikehendaki kemajuan itu bukannya pada yang tersebut itu.

Adapun style pakaian dan kesukaan itu ialah sebagai menghilangkan sifat-sifat setelah berkerja ((manakala telah dapat kita melangkah akan tangga kejayaan)) sebagai yang telah diperbuat oleh mereka yang telah berkemajuan yang sempurna. Jikalau begitu tampaknya kita orang-orang Melayu sudah tersalah faham kerana bangsa kita pada hari ini sudah terjadi menghilangkan penat atau berehat sebelum bekerja? Atau adakah kita hendak berehat sahaja selama-lamanya? Tentulah tidak kerana pada hari ini juga telah dapat kita dengar beberapa suara yang menyeru kaum kita ke medan kejayaan itu.

Tuan-Tuan Pembaca.

Setelah kita dapati yang kita ialah suatu kaum yang belum mencapai kemajuan atau dibilangkan sedang berikhtiar mencari jalan yang boleh menyampaikan ke medan kejayaan, dari itu sayogialah kita senantiasa memandang dan memperhatikan apa jua jalan yang boleh menyampaikan itu, kerana memang telah maklum bahwa tiada berjaya sesuatu atau pekerjaan itu dengan cita-cita atau tutur kata sahaja, bahkan hendaklah disertakan dengan usaha, ikhtiar, bekerja pada apa jua yang bersangkutan dengannya.

Maka usaha-usaha ikhtiar itu memanglah suatu perkara yang sukar, akan tetapi jadi mudah ia manakala sangat-sangat dikehendaki sebagaimana kata setengah daripada bidalan Melayu berkehendak seribu daya, tiada berkehendak seribu bencana.

Dari itu, kiranya sangkut kita berkehendakan kemajuan, hendaklah kita menghabiskan tenaga dan ikhtiar mencari apa jua jalan yang boleh menyampaikan kepadanya, sekalipun menempuh beberapa kesukaran dan kesusahan, siapakah yang hendak mengorbankan diri pada mencari yang tersebut?

Sudah terlanjur penulis melangkahkan kalam pada perkara ini, dari itu suka juga penulis menungkan sedikit fikiran ((yang tercapai oleh penulis)) berkenaan dengan perkara kemajuan ini.

Sesungguhnya kerap kali kita dengar dan kita dapati pendita-pendita, professor-professor, kiranya ia hendak membuat sesuatu pekerjaan atau mereka suatu perkara: lebih dahulu ia memeriksa segala penyakit-penyakit atau apa-apa yang mengendalakan perkara itu kiranya dengan buatnya dan ia mencari segala syarat-syarat yang bersangkutan dengan perkara itu.

Kerana sememang telah maklum tiap-tiap perkara itu ada dengan syarat-syaratnya, seperti hendak memakai pakaian, hendaklah ada pakaian yang munasabah dan anggota kita tiada dipenuhi dengan penyakit seperti kudis dan umpamanya yang kiranya dipakai kelak, merosakkan pakaian atau menambahkan sakit penyakit itu dan lainnya.

Begitu juga berkenaan kemajuan ini, hendaklah dicari lebih dahulu syarat-syaratnya ((diselidiki hal-hal mereka yang telah berkemajuan itu, bagaimana jalannya pada permulaannya hingga mereka dapat mencapai akan kemajuan itu)). Kemudian dipandangkan pula ke pihak bangsa kita, adakah bersifat atau berkeadaan seperti keadaan mereka itu?

Maka kiranya ada dijalankan dan kiranya tiada diikhtiarkan pada mengadakannya seperti kita dapati bahwa mereka-mereka yang berkemajuan itu bersatu, tolong menolong, dan sokong menyokong, antara dengan lain dan menaruh kepercayaan pada bangsanya dan lain-lain lagi. Maka hendaklah kita memperbuat jua seperti yang tersebut. Seperti bersatu; hendaklah kita bersatu perasaan, bersatu fikiran dan bersatu pada serba-serbinya, tiada menghinakan dan memuliakan dengan difikirkan yang kita ini bahwa semuanya sama melainkan kita memuliakan mereka yang mulia itu mengikut kadar kewajipan kita memuliakan dia.

Sungguh pun begitu, bukannya pula semua sekali dibilangkan bersatu, bahkan dikehendaki bersatu di sini ialah bersatu pada yang kebajikan, sama ada muslihat dunia atau akhirat. Kerana manakala telah bersatu itu barulah terbit lagi beberapa perkara yang besar-besar; setengah daripadanya saya umpamakan tolong menolong kiranya kita belum ada bersatu, nescaya tersangat sukar hendak terbit tolong menolong itu, betapa tidak? Seperti seorang Melayu di pihak Utara datang ke Selatan memohon ...

Ada Sambungan.