Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 30 Sep 1935, p.12

General Article.

Bagaimanakah Rupanya Maju ((Kemajuan))?

Oleh Muhammad Noor Isa.

Soal yang di atas ini agak penting juga jika dihalus-halusi. Betapa tidak? Setengah dari kaum-kaum kita yang mengetahui dan sedar, tetapi kata saya yang bodoh; maju yang sebenar-benarnya ialah berdasarkan ugama, iaitu ugama Islam. Sekarang saya salinkan dari majalah Panji Islam, iaitu suara ahli alim bangsa Barat sendiri namanya Dr. Gustav Le Bon.

Kalau kita menoleh ke belakang, membuka lembaran tawarikh kita di abad yang kesembilan dan kesepeluh, sementara alim Islami di Istanbul sedang mengibarkan bendera kemajuannya di atas kedudukan yang tertinggi, akan kita ketahui dengan yakin bahwa kemajuan Barat di waktu itu ibarat sebagai sebuah rumah besar yang dibeli oleh Raja-Raja separuh biadab, yang sedang bermegah dan menyombongkan kebodohannya. Tak pandai tulis baca, sedang kaum yang terpandang beralim dewasa itu ialah kaum Paderi Pendita yang jahil lagi fakir, kaum yang membuang-buang umurnya di tempat perhatian benua Eropah di waktu itu, berada di tingkat kebiadaban yang paling rendah sekali. Tak seorang pun yang memikirkan cara lagunya tak ada tanda alamatnya sedikit pun untuk memikirkan ilmu dah pengetahuan akan mencari kecermatan akal fikiran; melainkan di abad yang kesebelas dan dua belas.

Meskipun setengah dari mereka sudah merasa yang mereka menang berhajat kepada soal tersebut dengan mengambil matlamat dari tangga sana dan berhajat mensucikan akal fikiran mereka dari kebodohan yang berlapis-lapis itu. Hanyalah dari bangsa Islamlah mereka dapat menghasilkan apa yang mereka idamkan itu, dan kepada bangsa Islamlah mereka menghadapkan muka untuk menyampaikan angan-angan dan Cina-Cina mereka.

Sudah kita fahamkan dengan apa yang ditulis oleh ahli alim bangsa Barat itu, bahwa mula-mula benua Eropah mendapat maju tidak lain lagi kerana menauladani umat-umat Islam ((belajar dari umat Islam)) yakinnya, masih terdapat lagi hari ini akan nama pelajaran menunjukkan di atasnya dari umat-umat kita Islam iaitu nama pelajaran seperti Algebra dan nama ubat-ubatan seperti alkohol dan lain-lain lagi yang tak dapat saya hendak sebutkan di sini oleh tekunnya mereka buat mencari kemajuan bangsanya dengan tidaklah lemah sebarang suatu yang ditujuinya. Hingga nampak oleh kita pada hari ini akan kemajuan mereka.

Sudah kita ketahui hal mereka dari sehari ke sehari bertambah maju, tetapi tiap-tiap suatu dengan menurut hawa nafsu kerana mengikut lenggang lenggok putaran dunia buat hendak maju berlebihan sudah mengubahkan dari asalnya. Betapa tidak, boleh kita dapati juga hari ini kemajuan mereka selain dari ilmu pelajaran, iaitu alam pergaulan kebebasan, itu perkara tidak hairan lagi pada kita sekarang ini. Kita sudah tahu mereka tidak percaya kepada kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi kita ((Muhammad al-Quranul Karim)), sedangkan kitab yang mereka beramal semasa dahulu iaitu kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Isa alaihisalam ((al-Injil)), sudah diperbuat-buatnya akan peraturan yang didatangkan oleh Allah subhanahu wa taala kerana menghalangi nafsu mereka. sudah tentu tak ada perkara yang ganjil lagi bagi kita umat-umat Melayu Semenanjung ini kalau kita melihat perubahan mereka.

Dengan apa yang disebut itu tidakkah hairan kita memikirkan hal kaum-kaum kita di Semenanjung ini sangat suka dengan meniru bangsa Barat yang berkemajuan berlainan dari asalnya itu tentang perkara yang tidak bersetuju dengan gaya kita dan ugama kita?

Kalau tak salah saya, umat-umat kita berasa ada di dalam kemajuan hari ini tidak lain dari didikkan Islam yang kita pelajari. Meniru kaum Barat pada perkara yang bukan-bukan pada kita adakah dinamakan maju ((berkemajuan))?

Saya berani berkata kalau perkara main tiru tak akan menjadi, kalau menjadi pun tak sempurna. Sedangkan perkara yang kita pelajari terkadang-kadang tak menjadi.

Sekarang saya mau sebutkan sedikit mana-mana yang dapat oleh saya akan maju yang sebenar-benarnya di sisi ugama kita, tidak lain dari memajukan dan meninggikan ugama, watan dan bangsa kita; bukannya kemajuan pergaulan kebebasan.

Pendek kata, tiap-tiap kemajuan itu hendaklah bersetuju dengan ugama, baru dinamakan maju pula. Kalau tidak maju ugama kita dengan sebenar-benarnya maju, tidak juga dinamakan maju kalau tidak jauh panggang dari api.

Ugama kita tidak menghalangi buat mencari kemajuan meninggikan bangsa dan tanahair. Kerana ketinggian itu ada di sisi kita, umat-umat Islam yang diberi oleh Allah syaratnya. Hendaklah kita bersungguh-sungguh jangan kita lemah atau dukacita atas suatu yang mengenai seumpama jatuh rugi dalam perniagaan. Dan hendaklah kita percaya, buat saksinya, cuba kita tilik tawarikh kaum Muslimin zaman dahulu; bagaimana mereka menaikkan bendera kemajuannya di sisi bangsa yang lain ((yang bukan Islam)). Mereka tidak bermegah dan suka berkemajuan, kebebasan, pergaulan yang ditegahi oleh syariah.

Penutup kata, maju yang sebenar-benarnya ialah berdasarkan ugama Islam.

Disudahi dengan berbanyak-banyak menuntut maaf kepada Tuan-Tuan Pembaca atas kejanggalan perbahasaan, lebih-lebih lagi Tuan Pengarang dan menerima kasih kerana ruangannya yang paling berharga.

Was-salam.

Batu Mertajam, Jamadil-Akhir 22, sanat 1354.