![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 30 Sep 1935, p.12
Feature Article.
Bangsa Melayu dengan Pakaiannya.
Meskipun soal pakaian bangsa kita itu telah acapkali jua dibaca bersama-sama di Semenanjung kita ini, terkadang-kadang hingga terpaksa dibaca dengan selanjutnya dan seolah-olahnya seumumnya telah bersatu menarik dan menyatakan bahwa berbaju kurung ((gumbang)) seluar gunting Cina, bersamping, dan bersongkok atau berdestar itu, pakaian kebangsaan Melayu sejati, dan yang patut dipakai oleh Melayu hari ini.
Tetapi hairan di hati saya, semakin lama semakin berat kemahuan bangsa kita pada meninggalkan berpakaian secara tersebut. Sedang kecenderungan bangsa kita tampaknya berat sengetnya arah ke Eropah. Apa lagi jika sebagai kota Singapura ini, payahlah nak mencari bangsa kita yang berpakaian secara Melayu itu, kecuali yang bekerja dengan government yang telah pula dihukumkan begitu. Selain dari itu, pahitlah akan berjumpa. Tetapi boleh bertemu dengan bangsa kita yang berpakaian kacukan, iaitu bajunya ke Eropah, kainnya ke Malaya dengan tiada berseluar apa.
Saya telah mencuba berpakaian Melayu di Singapura pada satu ketika. Wah! Bukan main terkejutnya segala kenalan saya sehingga terpaksa saya membukanya dengan mengintai kepada secara ramai. Berbagai-bagailah sahutan kenalan saya ada yang bertanya bila dari Perak, ada yang berkata bila datang Selangor, dan ada pula yang bertanya apa mimpi? Semua perkara itu saya tuliskan di dalam hati saya buat pemandangan.
Begitu jua jika kita perhatikan pula di tentang pakaian perempuan bangsa kita, masih belum jua didapati apa dia yang dikatakan sebenarnya, apa lagi yang dikehendaki ugama, sedang begitu pula dari negeri ke negeri tidak berkahwin. Tetapi bukannya berselisih jauh sangat. Di tentang kemahuan saya belum lagi nak berpandangan dengan hal ini kerana hal kaum bapa itu rasanya lebih perlu dikaji dahulu.
Sekarang sebelum saya meminta fikiran dari Tuan-Tuan Pembaca yang dermawan, biarlah saya kemukakan kemahuan saya, iaitu berkenaan dengan pakaian kaum bapa kita yang ditulis oleh fikiran saya yang senteng!
Seumumnya, bangsa kita elok memakai secara Eropah tetapi jangan memakai topi semuanya, elok memakai songkok hitam, ditentang dasi itu ikut layak masing-masing.
Kecuali hari yang lain seperti hari keramaian apa-apa di rumah orang besar-besar kita, hari kenduri-kendara, hari kematian, hari Sembahyang Raya, hari Jumaat itu, semuanya hari yang molek memakai secara kebangsaan kita.
Dan cuba kita fikirkan bersama-sama, adakah layaknya pakaian secara Eropah itu dibawa ke rumah kenduri? Dan pula adakah sedap dipandang mata pakaian Melayu itu dibawa bekerja di pasar-pasar dan di fabrik-fabrik? Marilah kita bersama-sama membahaskan berkenaan dengan pakaian ini, mudah-mudahan dapat kita akan apa dia sepatutnya pakaian yang akan dipakai oleh bangsa kita Melayu hari ini, sungguh pun kemajuan itu bukannya tersangkut dari tentu pakaian, tetapi selintas, saya tak pernah kelihatan lagi orang-orang yang sudah maju itu pakaian serbah serabih. Orang yang pandai mereka-mereka yang tahu yang pantas mengadakan segala rekaan baru itu, semuanya bukan daripada mereka yang hidup bercawat, sebaliknya segala yang berpakaian kusut masai masih didapati segala halnya pun kusut masai juga. Sepasti-pastinya tak membeli, nah! Tiliklah rata-rata keempat penjuru alam kita ini.
Di pihak saya bukannya pula tak berkeras ditentang saya sahaja. Malah kita mesti bersama-sama menurut perkara yang "molek", tetapi ya! Hendaknya biarlah sudah di tepi terasnya dahulu.
top |