![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 20 Jun 1932, p.6
Editorial.
Keselamatan Satu-Satu Negeri Bergantung Kepada Keselamatan Dunia.
Bahwa keselamatan hidup satu-satu negeri itu bergantung kepada keselamatan dunia, barangkali tak pernah diperbantahkan. Pada zaman ini barangkali tidak kedapatan sebuah negeri yang terasing sendiri atau dengan lain-lain perkataan sahaja, berdiri dengan kemakmuran sendirinya sahaja. Di dalam zaman meleset ini, kita tak tahu dimanakah sebuah negeri yang terkecuali daripadanya.
Meski begitu, tetapi keselamatan negeri sendiri itu lebih afdal dari keselamatan negeri orang, apa lagi keselamatan anak negeri sendiri, tentulah sepuluh kali afdal dari keselamatan anak negeri orang.
Kejatuhan perhematan atau ekonomi dunia yang membawa jatuhnya ekonomi Semenanjung tak dapat disusul. Meski persekutuan bangsa di dunia tak berhenti-henti bersidang di Geneva mencari ikhtiar hendak meniup roh aman dan juga roh makmur alam bagi dunia umpama perlucutan senjata dan mata wang, tetapi kejayaannya masih tertinggal bagi masa yang akan datang.
Terlebih dahulu dari zaman dunia persekutuan bangsa pendita-pendita atau professor-professor satu-satu umat itu bekerja dengan segala tenaganya mencari ikhtiar atau jalan membunuh manusia dari jalan yang senang kepada jalan yang terlebih senang lagi hakikatnya supaya lebih senang dengannya dikalahkan satu-satu musuh di dalam peperangan kelak.
Pendita-pendita yang boleh mengetengahkan pendapatan yang bagus-bagus itu akan dipuja oleh kerajaan dan oleh kaumnya dengan tidak berharga; tetapi rupanya pendapatan-pendapatan yang demikian itu telah terbukti hanya merosakkan dunia.
Oleh itulah persekutuan bangsa itu mencuba akan menghapuskan segala rupa senjata dan perenggannya bagi satu-satu umat dunia ini tak syak lagi akan tiba pula putaran baru di dalam mana dunia ini akan memuja pendita-pendita yang boleh mengetengahkan pendapatannya yang boleh dengan melucutkan senjata kelak.
Di dalam perhematan ekonomi tidak begitu. Setengah-setengah pendita di Eropah dan di Amerika yang berpendapatan bahwa kerosakan ekonomi dunia ini ialah disebabkan oleh hutang perang. Dan hutang perang itu telah mendatangkan papa bagi setengah-setengah negeri yang menjadi syarat kepada perhimpitan dunia. Sedang setengah-setengah pendita pula berpendapatan bahwa ilmu jentera atau ilmu pesawat itulah yang telah menghumbankan bermillion-million manusia ke dalam daftar penggangguran tiada berpekerjaan kerana segala pekerjaan manusia itu telah diganti dengan jentera sahaja.
Belum kedengaran persekutuan bangsa itu pernah bersidang hendak mengurangkan jentera dunia meski fikiran-fikiran kuat sedang menjuru dari Amerika dan juga dari Eropah sendiri mengesyorkan supaya hutang perang yang telah membahayakan dunia itu dihapuskan sahaja.
Getah dan timah, iaitu dunia daripada syarat hidup Semenanjung telah terhempas ke bumi bersama-sama dengan negeri lain yang bergetah dan bertimah disentapnya oleh kemelesetan dunia; di dalam mana lain-lain hasil bumi seperti gula, teh, tembakau dan hingga lada pun tertarik sama dan tidaklah barangkali satu benda pun di dunia yang akan terkecuali. Dan akan berkekalan begitu selagi punca perhematan dunia kusut.
Pada zaman getah dan timah diutamakan oleh pasar dunia, pada masa itulah dunia jentera mulai hidup. Kapal korek bekerja di sana sini serata dunia mengorek timah dengan lekas dan lebih banyak dengan tak payah menggunakan kuli yang banyak. Pada masa itu juga, kaum manusia berlumba-lumba melebarkan guna getahnya dan bad grading, iaitu membanyakkan susu getah pun datang mengambil bahagian semata-mata hendak berlumba membanyakkan pengeluaran getah masing-masing.
Sekarang telah dikatakan bahwa kejatuhan harga getah dan timah itu ialah disebabkan oleh terlalu banyak pengeluarannya dari pergunaannya. Sebab itulah pula bermacam-macam ikhtiar telah dijalankan supaya dapat dibanyakkan pergunaan getah dan meski pencarian di Singapura dan di Paris hendak menjadikan getah itu hamparan jalan raya, telah berhasil tetapi belum ada kepercayaan yang pergunaan getah itu kelak boleh menimbang pengeluarannya.
Barangkali akan tiba pula zamannya yang dunia ini berkehendakan pendita yang boleh mengubah udara dunia supaya dapat disedikitkan pengeluaran getah dari pokoknya dan timah dari buminya dengan udara baru itu, dengan tidak memakai nama sekatan atau kupon melainkan atas tabiatnya sendiri.
Barangkali di sinilah adanya keselamatan dunia!!
top |