Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 21 Oct 1935, p.6

Editorial.

Cina Mencuba Menyekat Kemajuan Pekan-Pekan Mingguan Melayu.

Kaum perniagaan Melayu Pekan-Pekan Mingguan Melayu di Alor Setar, Kedah, sedikit masa yang lalu telah terpaksa merungut kerana apabila pasar Melayu itu ditutup kepada ahli-ahli perniagaan bangsa asing, mereka telah mencuba menyekat kemajuan pekan atau pasar itu dengan membawa atau mengandar barang-barang keperluan dapur dan lain-lainnya ke muka pintu pembeli-pembeli daripada kaum Melayu atau lainnya. Perbuatan mereka yang seumpama itu mengganggu kemaraan dan kemajuan Pekan-Pekan Mingguan yang di Alor Setar itu.

Baru-baru ini pula bangsa Cina di Batu Kurau, sebuah kampung yang kira-kira 15 batu jauhnya dari bandar Taiping, Perak, telah mencuba pula hendak menyekat kemajuan Pekan-Pekan Mingguan kaum Melayu di tempat itu. Ikhtiar mereka itu ialah menerusi tangan yang berwajib dengan alasan bahwa disebabkan oleh pasar Melayu yang diadakan seminggu sekali itu, perniagaan mereka telah terganggu. Lebih jauh kita hidangkan di sini berita yang kita kutip daripada Straits Times, katanya:

Kaum pekedai Cina Batu Kurau, sebuah kampung yang kira-kira lima belas batu jauhnya dari Taiping, telah menghantar surat petition kepada penguasa-penguasa Sanitary Board di Taiping, membantah Pekan-Pekan Mingguan Melayu yang diadakan seminggu sekali di tempat itu, kerana perbuatan itu mengganggu perniagaan mereka.

Perkara itu telah di bawah ke dalam Mesyuarat Sanitary Board, Larut dan Matang, yang diadakan sebulan sekali itu. Kata Ketua Mesyuarat, bahwa adalah pasar itu satu daripada perkara yang sangat-sangat afdal dalam perkawalan hidup kaum Melayu dalam jajahan itu dan juga satu daripada aliran mata pencarian orang-orang Melayu kampung Perak itu.

Majlis itu berkeputusan akan menyiasat dan akan memberi reportnya pada awal tahun yang akan datang ini.

Sekianlah berita penulis suratkhabar itu dan dengan berita ini tampaklah kepada kita bahwa apabila helah yang lain tidak telap lagi. Maka kaum Cina itu mencuba pula mengelirukan fikiran Majlis Sanitary Board di Taiping dengan alasan bahwa perbuatan orang-orang Melayu itu ((dengan pasar mingguannya)) mengganggu perniagaan mereka. Dan seolah-olahnya mereka hendak menyebut, kamilah yang banyak membayar cukai itu dan ini. Tetapi mereka lupa yang melakukan perniagaan mereka itu ialah kaum Melayu.

Majlis Sanitary Board itu patut selalu berpandu dengan pendapatan ketuanya itu dan patutlah ingat bahwa kaum Melayu itu mengadakan pasar mereka itu Cuma sehari sahaja dalam tujuh ((7)) hari.

Kita berani mengaku bahwa pasar yang sehari itu tidak sekali-kali dapat "mengganggu", perniagaan kaum Cina itu.

Lebih-lebih lari jikalau lulus jarum Cina Batu Kurau itu nescaya lulus pula jarum Cina-Cina yang di Changkat Jering itu yang juga akan berkata "mengganggu perniagaan mereka" pula.

Sebuah kota yang besar seperti Kuala Lumpur ini tidak bersungut "Mengganggu" perniagaan oleh Pekan Ahad yang dipunyai oleh kaum Melayu itu, sekerat pun kaum bangsa Melayu tidak dibenarkan berniaga di situ, tetapi belum pernah kita mendengar pekan itu "mengganggu" perniagaan lain-lain bangsa.

Demikian jua Beranang, di Gombak, dan di lain-lain tempat di dalam Selangor dan Negeri Sembilan ataupun Pahang, tetapi kaum Cina di Perak sudah berani berkata pasar mingguan Melayu itu "mengganggu" perniagaan mereka.

Dalam pada itu pun kita nampak bahwa Pekan-Pekan Mingguan Melayu Batu Kurau itu jaya dan maju. Maka itulah yang mencemburukan bangsa Cina itu, hingga mereka mencari ikhtiar mengelirukan Majlis Mesyuarat di Taiping supaya dapat dirantaikan pekan itu atau sekurang-kurangnya dipindahkan ke tempat yang agak jauh sedikit supaya kemajuannya yang ada atau yang akan bertambah-tambah itu tersekat atau susut yang mana lama-kelamaannya langsung padam.

Kita harap kaum Melayu Batu Kurau akan berusaha lagi mengadakan kedai-kedai keperluan dapur sendiri pula sebagaimana yang telah dijalankan oleh kaum bangsa mereka di tempat-tempat yang lain seperti di Ulu Langat, di Setapak, di Parit, di Padang Rengas, dan lain-lainnya di mana kaum bangsa Melayu tidak payah lagi pergi ke kedai bangsa asing hendak membeli walaupun seduit belacan.

Kita yakin kaum Melayu akan memandang perkara yang seumpama itu sebagai pencubaan Tuhan semata-mata dan dalam pada itu pun maulah kita kaum Melayu senantiasa celikkan mata untuk memerhati dan merenung satu-satu perkara itu untuk keselamatan diri dalam pergaulan kita sehari-hari untuk menempuh gelombang hidup kita di dalam dunia ini sebagai satu umat yang mempunyai bangsa yang termulia.