Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 17 Okt 1935, p.12

General Article.

Sifat-Sifat Kemajuan.

Oleh Jabas.

Orang-orang Melayu belum boleh berteriak mengatakan yang kaum-kaum Melayu beransur-ansur kepada kemajuan dan panduan dunia sekarang sekiranya belum sempurna kepada diri tiap-tiap seorang, sifat-sifat yang telah gemari Tuhan, iaitu sifat-sifat hamba Allah yang mulia. Di bawah ini adalah saya huraikan dan misalkan sedikit bagaimana sifat-sifat yang terwajib diperbuat oleh orang-orang Melayu supaya dapat mencapai martabat-martabat kemajuan dan sampai mereka ke halaman yang dikatakan kemajuan itu dengan tak payah berteriak dan berlaung-laung sahaja lagi.

Amanah, Kepercayaan.

Iaitu, perbendaharaan harapan yang kekal bagi sesuatu pengaruh yang dikehendaki oleh seseorang, sama ada mata benda atau rahsia-rahsia percakapan. Maka wajiblah ia menyimpannya dengan tulus ikhlas dan peliharakan daripada segala merbahayanya. Sampai jangan terhurai-hurai apa-apa rahsia yang terkandung. Begitu juga akasnya wajib ialah menyampaikan apa suruhannya yang kebajikan.

Maka tanda-tanda hati yang bersih lagi tulus ikhlas itu boleh diuji dengan beberapa jalan seumpama yang bersyarikat, bahwa di situ dapatlah kita kebenarannya sifat amanah dan kepercayaan. Yang demikian belum didapati khususnya kepada umat-umat Melayu amnya kepada ilmu Islam yang sekarang ini. Itulah dia suatu daripada tanda-tanda yang maha terang sekali iaitu satu daripada sebab-sebabnya yang persyarikatan orang-orang Melayu di Semenanjung ini tiada jaya kecuali sebuah dua di dalam alam Semenanjung yang sebegini luas.

Bahkan, sifat-sifat amanah dan kepercayaan suatu daripada sifat-sifat Rasulullah wajib bagi umat Islam, mengutamakannya. Kebanyakan orang-orang Melayu tidak menghiraukan sedikit pun bagi menjadi dirinya sendirinya, malahan menjadi buah butir kepada mereka mencela-cela orang lain, jika tersalah bawa.

Maka inilah yang dinamakan kuman di seberang lautan kelihatan, gajah di tepi mata tak nampak.

Tidaklah ajaib kita sekiranya dikatakan oleh orang-orang Jepun yang melawat ke negeri Melayu ini katanya orang-orang Melayu asyik memberitakan kemajuannya tetapi mereka tidak sedar adalah mudiknya makin ke hulu-hulu.

Maka inilah suatu daripada sebab-sebabnya keunduran Islam yang dipeluk oleh umat-umat Melayu zaman ini, kerana ulama-ulamanya tidak cukup bersifat amanah dan kepercayaan bagi mengajarkan ugama Islam. Begitu juga kejatuhan kemajuan kampung-kampung Melayu, seperti teriak Tuan Pemuda Melayu pada Majlis keluaran 8 Oktober yang lalu.

Maka satu daripada sebab-sebabnya ialah penganjur-penganjur yang diharap itu ialah pula menggantikan pacat-pacat yang disangkakan tak ada pada orang-orang Melayu, iaitu dengan sedikit hal main duit sahaja, mengena mahu terkena tak mahu. Dengan hal yang demikian apa-apa tujuan anak-anak buahnya, yang bersih itu menjadi tawar.

Berani.

Sungguh pun telah banyak pertunjuk-tunjukkan yang bermakna pemberangsang yang kelak menggirangkan orang-orang Melayu membuat kewajipannya sendiri, atau dengan syarikat. Tetapi belum cukup kefahaman pada sisi umat Melayu. Adapun sifat berani yang ada pada diri mereka itu sekarang ini ialah setagas ((sekali modal)) sahaja.

Tiap-tiap suatu apa pergerakan yang bermakna kepada kemajuan mestilah didahului oleh penganjur-penganjurnya dengan menunjukkan sifat-sifat berani dan kegirangan yang mana kelak menjadi tauladan dan panduan yang amat besar kepada pengikut-pengikutnya. Mengeluarkan perbelanjaan yang terlebih dahulu kerana faedah alam itu sesuatu daripada sifat-sifat keberanian yang mana mesti dituntut oleh pengikut-pengikutnya dengan keyakinan dan hati tetap.

Akan tetapi saya berani berkata ada-adalah penganjur-penganjur umat-umat Melayu yang ada di sisi mereka pada hari ini sama ada ulama-ulama Islam tiada begitu. Mereka berharapkan keuntungan mereka sahaja, dan tiada pula berani mengeluarkan tenaga yang lebih bagi faedah ilmu.

Bahwa dengan sebab itu saya berani berkata adalah keberanian umat-umat Melayu pada zaman ini di dalam serba-serbi pertandingan kemajuan dunia seperti "hangat-hangat tahi ayam" sahaja.

Bangsa-bangsa lain berani beralah terlebih dahulu kerana faedah bagi bangsanya. Dengan sifat-sifat keberanian mereka itu berjaya dengan apa-apa maksud dan tujuannya.

Saksama.

Saksama itu bererti siasat yang halus lagi cermat. Adalah orang-orang Melayu sekarang ini ada juga pada darah masing-masing sifat-sifat keberanian dan kegirangan serta dengan tekunnya membuat atas apa-apa maksudnya. Akan tetapi perbuatan mereka didapati kerapkali pula tiada jaya dan tiada sampai ke had dan yang dimaksudkannya. Kerana adalah suatu daripada tabiat perangai orang-orang Melayu tamak dan haloba. Oleh yang demikian, apa-apa pun perbuatan dan pekerjaan mereka itu dengan bergopoh-gapah sahaja, tiada didahului dengan periksa dan selidik, yang cukup atas perkara itu.

Tambahan pula, mereka bekerja itu tiada dengan masa yang ditentukan.

Syahdan, perkara yang semacam itu tiada menjadi suatu keberatan kepada orang-orang Melayu. Tinggal yang demikian kerap kali cita-cita yang mulia itu menjadi hampa, yakni tiada berketentuan. Oleh itu, pada fikiran saya, jikalau hendak mulai membuat sesuatu perkara itu, terlebih dahulu hendaklah dibahas-bahaskan dengan akal sendiri. Adakah layak bagi keadaan kita atau tiada dengan hal demikianlah tentu dapat apa kelak kesudahannya, ingat! Jangan cuba seperti pipit menelan jagung! Kelak berbelakan!

Cergas.

Bahkan menyamai sifat-sifat yang di atas itu, hendaklah pula dengan pergerakan yang cukup, adalah cergas itu suatu daripada pergerakan yang sangat-sangat dikehendaki oleh tiap-tiap suatu sifat yang sihat. Sebaliknya, bergerak dengan lembab itu mendatangkan berbagai-bagai penyakit . Penyakit yang besar sekali di dalam pergerakan itu ialah malas, dihubungi sebagai pemberangsang kepada kecerdasan ialah jangan sekali-kali berputus asa.

Sebagainya kita percaya dengan segala apa yang kita katakan di atas ini, tersangat berkurangan kepada bangsa Melayu. Maka dalil-dalilnya telah kita ketahui dengan sah dan terang bagaimana satu perbahasan pakaian perempuan-perempuan Melayu secara modern, telah diperbincangkan di dalam suratkhabar sehingga beberapa lama.

Pada hal yang mana satu pun keputusannya belum diperoleh dan belum dapat disaksikan oleh ramai.

Syahdan, adalah sifat-sifat kemajuan itu tersangat banyak, tetapi had mana yang telah saya terangkan di atas itu sekiranya cukup dituntut oleh umat-umat Melayu zaman ini. Memadailah bagi sesuatu kewajipannya supaya mencapai martabat-martabat kemuliaan zaman kemajuan dunia sekarang ini adanya.