Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 21 Oct 1935, p.10

General Article.

Perasaan Kemajuan.

Itulah Bahtera Kemajuan.

Bahwasanya telah tetap tiap-tiap bangsa amnya yang menduduki di atas muka bumi ini, sememangnya masing-masing itu termesti ada paku tambatan perasaan kemajuannya daripada serba perkaranya.

Maka bermaknalah perasaan kemajuan itu tiap-tiap seseorang terwajib adanya; sekadarkan masing-masing itu berlainan sahaja haluan dan perasaannya, umpamanya dia mahir berkenaan berniaga, dia mahu jadi askar, mahir berternak dan ... dan ... pendek kata, sebarang apa jualan yang ada perasaan kemajuan yang terlukis di hati seseorang itu, betapa tidak?

Tetapi, sayang kaum bangsaku Melayu! tersangatlah jauh ketinggalan perasaan kemajuan daripada segala bangsa yang bertamadun sekarang! Kebanyakan perasaan kaum Melayu lekas muram atau lekas putus harapan, juga cepat tertarik perasaan tidak seperti bangsa-bangsa yang bertamadun seperti yang disebutkan itu. Perasaan kemajuan mereka itu kalau dihitung 100 peratus agaknya, iaitu sebarang apa jua perbuatan perusahaan mereka serba serbinya termesti sampai yang dimaksudkan atau sampai ke kemuncak tujuannya walau seberapa besar halangan kesusahan sekalipun, sebetulnya bangsa-bangsa yang maju itu sebarang yang dimaksudkannya, sehingga sempurna dan berjasa barulah puas dan berhenti mereka daripada mengerjakannya. Maka bermaknalah perasaan kemajuan itu, tugas hati, bersungguh-sungguh daya upaya.

Syahdan, lagi adalah bangsa-bangsa yang ternama itu bukannya tiba-tiba sahaja majunya, kayanya, masyhurnya, mewahnya, bahkan ialah melalui berbagai-bagai azab kesukaran, kepayahan, dan berjenis-jenis halangan, kemalangan, tetapi mereka bersungguh-sungguh hati, daya upaya, sehingga pada hari ini dapatlah kita mendengar dan melihat umpamanya bangsa Jepun, Inggeris, Amerika, dan ... dan ... bangsa itulah memperkuasai mahkota kemajuan, kemasyhuran, ketinggian, dari sehari ke sehari, dari setahun ke setahun, menjulang-julang masyhurnya di serata alam dunia ini.

Maka bukanlah pula bermakna perasaan kemajuan itu berkenaan dengan berniaga berternak, bersyarikat, bertanaman sahaja, berkehendakan dengan bersungguh-sungguh hati. Sebenarnya, termasuklah segenap perkara mata pencarian hidup kerana meninggikan nama seorang atau sesuatu bangsa sesungguhnya bukanlah dua dan tiga sahaja jalan kehidupan itu dizahirkan Tuhan bagi manusia dan haiwan bahkan bilangan ribu pula.

Sehingga ini, terhentilah saya menyebutkan ... dan marilah saya bisikkan, uraikan, pada kaum bangsaku Melayu bangsa-bangsa yang maju itu saktikah? Matanya empatkah? Tangannya tigakah? Atau berlainan dengan kitakah? Tidak! Sebenarnya semacamlah dengan kita! Tetapi apakah agaknya malangnya kita tak maju seperti bangsa-bangsa itu! Dan kenapakah tinggal berlapis-lapis halangan ke belakang. Betapakah sayupnya itu! Hairan!!! Fikiran saya ialah gerangan penyakit lekas tertarik perasaan, tawar hati itu telah merebak dan mesra di seluruh anggota kaumku!

Ajaib!!! Maka memadailah dengan perkataan ini, sudahlah yang sudah! Dari hari ini ke hadapan, saya percaya termesti kaum Melayu berlumba-lumba menaikkan haluan kemajuan bangsanya yang sangat-sangat tak patut dilupakan dan dibiarkan lagi ini! ke kemuncak bangsa yang terbilang! Ringkas kata, bangsa lain boleh buat, Melayu boleh buat! Boleh buat! Walau sebagaimana kemusykilan sekali pun.

Baik sebaik-baiknya, patutlah sebarang kemajuan bangsa-bangsa itu diambil, ditiru, dijadikan ajaran dan tauladan pada kita kaum sebangsaku! Saya tak puas hati dilarangi berturut-turut bangkitlah bangsa Melayu! Sedarlah! Majulah! Buatlah bersungguh-sungguh daya upaya sebarang apa jua berkenaan dengan kemajuan bangsa! Sehingga menerima bintang kepujian dan kemegahan daripada kaum bangsa.

Lebih-lebih baik selalulah bangsaku berlanggan warta akhbar-akhbar yang terbit hari ini. Fikiran saya yang singkat itulah satu jalan bagi memperkuatkan dan memperkukuhkan tali tambatan perasaan kemajuan itu daripada ombak haluan gelombang yang mengurangkan dan merendahkan record kebangsaan itu, seperti kata: perasaan kemajuan bahtera kebangsaan.

Ialah semangat maruah kemuliaan sekira tidak bersungguh-sungguh dayanya. Matilah bangsa nama kehinaan ayuhai kaum bangsaku Melayu. Segeralah dibuat perasaan itu jauhkan daripada kecelakaan sesuatu. Sekiranya diturut merosakkan mutu bangsa kita sangat kekurangan. Pimpinlah kaumku perlahan-lahan, mudah-mudahan dengan ketugasan.

Pekerjaan yang sukar sudah dilawan tidaklah patut sedemikian gerangan. Segala bangsa menyebut kehinaan buatlah muafakat serta berbantu-bantuan. Itulah tangga mulia kebangsaan sehingga inilah ditamatkan karangan.

Berbanyak-banyak maaf Tuan Pembaca yang berpengetahuan diiringi pesan diturut-turutkan. Gerangan bangsaku membuat sedemikian saya yang hina!

Ibrahim bin Abdullah, Murid Darjah VI, Parit.