Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 31 Oct 1935, p.6

Editorial.

Sokonglah Perniagaan Kita.

Di dalam keluaran kita hari ini, kita muatkan tambahan Majlis yang terkandung di dalamnya satu seruan dan satu puram untuk pembeli share bagi kedai Persekutuan Melayu Beranang Limited, iaitu sebuah kedai kepunyaan Melayu yang baru diregisterkan menjadi Company Limited baru ini.

Ahli-ahli anggota kedai Persekutuan itu menyeru kaum bangsanya minta sokongan walau pun satu share, yang mana wajib sangat diraikan dengan segala keraian dengan jalan membeli share-sharenya ataupun dengan jalan menghebahkan kepada sahabat handai yang tidak sampai kepadanya seruan-seruan itu supaya dibukakan oleh Tuhan subhanahu wa-ta`ala akan mereka itu menyertai dan menyokong kedai yang baru nak tumbuh.

Pada fikiran kita Tuan-Tuan Pembaca Majlis telah sedia maklum akan kedai Persekutuan itu dari berita berita dan rencana rencana yang kita siarkan bertalu-talu di dalam akhbar kita ini. Kita yakin menurut berita-berita yang kita baca itu adalah kedai Persekutuan Melayu Beranang ini akan maju dan jaya sekurang-kurangnya menurut jejak saudara saudaranya yang di Kajang dan di Sungai Segamat itu ataupun lebih daripada kedua-duanya itu.

Oleh itu tidaklah rasanya kita berseru atau melaung lebih daripada yang terwajib di atas kita memohon dan meminta akan kaum bangsa Melayu seumumnya menyertai menyokong dan membantu perdirian dan perjalanan kedai-kedai bangsanya terutama sekali kedai-kedai yang baru hendak bertunas seperti kepada Persekutuan Melayu Beranang Limited itu, supaya moga-moga dengan berkat Tuhan seru sekalian alam bersama-sama kita doakan ianya maju jaya dan jayalah kedai-kedai itu menurut cita-cita yang dimimpikan dan yang dikehendaki oleh hati dan perasaan bangsa kita Melayu adanya.