![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 7 Nov 1935, p.2
General Article.
Ke Mana Haluan Orang Melayu Sekarang.
Kita orang-orang sekarang tak usahlah membanyakkan menungan dan berfikir ke sana ke sini lagi jalan terus sahaja apa-apa kemahuan. Buat apa-apa yang disukai dan usahakan apa-apa yang boleh!! Peperangan Itali dengan Habshah orang-orang secara tua tak usahlah ditilikkan pula memang adat dunia begitu apakala sudah besar dan kuat mana-mana negeri yang lemah tentu sahaja hendak ditewaskan oleh sebuah negeri yang maha besar walau pun pernah kita dengar mesyuarat persekutuan dunia tak mau melakukan demikian aniaya dan berhaluan kepada hawa nafsu.
Tetapi orang-orang yang telah keras tangannya tak akan teringat apa-apa yang dikatakan semasa di dalam permesyuaratan atau perjanjian yang telah diaku terlebih dahulu daripada kejadian. Kemudian bagaimana kita dengar-dengar ada beberapa kali telah mungkir janji itu.
Kita orang-orang Melayu yang bersifat masih di dalam kelemahan serba serbinya janganlah menjadikan buruk besar dan menjadikan fasal pula peperangan Habshah dengan Itali itu kita tiada kena-mengena dengannya terkecualikan ada beberapa perkara sahaja yang kita mahu ingat sekarang di pihak kita orang-orang Melayu.
Pertama, ingatkan jimat cermat wang atau duit supaya kita tidak terkecewa apakala barang-barang jadi mahal.
Yang kedua, kita orang-orang Melayu di kampung mesti berusaha bersungguh-sungguh bertanam jenis makanan-makanan dan cermatkan jangan mudah-mudah dijualkan padi-padi itu; simpanlah untuk makanan kita.
Yang ketiga, tiap-tiap kampung sudah sewajib mengadakan syarikat kemajuan umum bagaimana tauladan yang telah dibuat oleh mukim Kancung Besar, Gali dan Dong dan lain-lainnya.
Yang keempat, orang-orang yang tahu membaca surat-surat huruf Jawi cubalah memandang-pandang hal dipersaudaraan Sahabat Pena Malaya itu; jikalau mampu membayar yuran 10 sen setahun cubalah menjadi ahlinya. Kerana tiap-tiap ahli itu disuruh membaca. Kita agak tidaklah tuli mendengar apa-apa kemajuan negeri-negeri atau jajahan lain. Nescaya ahli-ahli itu dengan mudah mengambil apa-apa tujuan sesuatu syarahan atau syor ketua-ketuanya.
Yang kelima, di dalam hal perniagaan sama ada dengan jalan bersyarikat atau bersendirian itu, patutlah kita utamakan dilatih dengan beransur-ansur. Lihatlah bagaimana latihan di sebelah Selangor yang diketuai oleh Encik Abu Samah yang terkenal itu.
Sesungguhnya seorang pegawai kerajaan itu tidak sepatutnya berusaha seperti mengurus pekerjaan seumpama itu tetapi boleh bersuara mengeluarkan nasihat dan sokongan kepada kaum bangsanya sekurang-kurangnya ada kelihatan di masa-masa mesyuarat atau perjumpaan bahwa seseorang pembesar itu tersangat memberi kesukaan dan berbesar hati sesuatu pakatan atau permesyuaratan kerana melihat rajah pembesar kaumnya kerana sifat semula jadi kepada suatu bangsa itu.
Yang keenam, di dalam hal secara ugama sewajiblah diuruskan dengan berlebih-lebih baik daripada masa yang telah lalu sebagaimana kepentingan secara persyarikatan ugama dengan bermodalkan wang untuk memajukan pelajaran ugama itu dengan tanggungan kerajaan serta disokongi oleh orang-orang ramai. Bagaimana harusnya bahwa tidaklah berpada-padakan dengan leteran dan sungutan kepada siapa-siapa pada fikiran kita kesemua orang-orang Melayu ((Islam)) sudah sedar bagaimana kepentingan orang-orang Kristian mengembangkan ugamanya dengan berpandukan wang dan usahanya di seluruh dunia ini bukan sekadar bercakap-cakap mulut yang kosong sahaja, ketua-ketua ugamanya sangat mengambil berat dan berusaha bersungguh-sungguh buat membela kemajuan ugamanya di muka bumi ini dengan menaburkan beberapa pengajaran dan nasihat-nasihat sehingga ke dalam hutan sekalipun diusahakan oleh mereka itu.
Kita harap orang-orang alim Melayu pun ada mencubakan pula begitu di masa akan datang!!!
top |