Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 7 Nov 1935, p.1

Leader Article.

Perusahaan Melayu Patut Disokong.

Oleh Teruna.

Dalam masa yang akhir ini, didapati ada banyak suara-suara dari suratkhabar Melayu pada membincang darihal perusahaan-perusahaan Melayu, tanah Semenanjung amnya dan sesebuah negeri khususnya.

Bagi pihak kita, hanya dapat berkata perusahaan Melayu itu patut disokong! Ketua-Ketua Melayu sepatutnya mengambil bahagian dalam hal ini. Iaitu menurut bagaimana contoh yang telah jadi di Selangor ((perusahaan Melayu Kelang)) lebih kelas kita menyebut ialah dengan usaha Yang Amat Mulia Tengku Laksamana Selangor.

Kita tidak berniat menyebut bagaimana perusahaan itu maju dibantu dan dapat sokongan dengan tenaga dari pembesar-pembesarnya, tetapi yang terafdal kita menyebut di sini bagi perusahaan Melayu Negeri Sembilan iaitu perusahaan yang masih terbit.

Negeri Sembilan tidak kurang daripada pembesar-pembesar yang berhemah dan berpelajaran serta berperasaan bahasa perusahaan anak negeri telah tirus-tirus dan hampir-hampir lenyap. Sedangkan begitu pun adanya anak negerinya tidak juga tinggal daripada berusaha dengan secara mampunya, tetapi apalah hal keadaannya sebagai kerakap tumbuh di batu sahaja. Apakah ada ilmu bagi anak Negeri Sembilan di dalam hal perusahaan ((bertukang))?

1. Bertukang kayu seperti membuat rumah.

2. Bekas murid-murid dari sekolah pertukangan, baik besi atau kayu.

3. Bekas murid-murid sekolah Melayu yang telah pandai mengecap kain, menjilid dan sebagainya.

Sekurang-kurangnya daripada tiga perkara yang di atas ini, maka pada fikiran kita Negeri Sembilan telah patut mengadakan satu committee atau jawatankuasa berhubung dengan hal memajukan perusahaan Melayu ((anak negeri)), manakala telah ditubuhkan jawatankuasa iaitu sebagai penganjur dan pemimpin di dalam hal ini. Tidak dapat tiada adalah dua pekerjaan sekurang-kurangnya dijalankan:

1. Memajukan ilmu perusahaan Anak Negeri sekarang.

2. Menambahi lagi pertukangan-pertukangan yang patut difikirkan.

"Modal" inilah perkara yang penting sekali di dalam kemajuan pekerjaan. Kita hanya boleh mengeluarkan suatu cadangan dalam perkara modal untuk memajukan perusahaan Melayu Negeri Sembilan.

Pertama sekali hendaklah dengan muafakat dan syarikat iaitu adakan syarikat Datuk Lembaga Negeri Sembilan. Maka daripada persekutuan ini khasnya kerana memajukan perusahaan Melayu Negeri Sembilan, kerana sepanjang pemerhatian sungguh pun ada banyak bermacam-macam persekutuan tetapi tujuannya tidak tetap kepada suatu muslihat kebajikan ilmu.

Dari itu kita syorkan persekutuan Datuk-Datuk Lembaga Negeri Sembilan ((agaknya kalau jadi)) menuju kepada suatu muslihat yang bulat kepada faedah kebajikan umum, iaitu semata-mata memajukan perusahaan Melayu Negeri Sembilan.

Sungguh pun Lembaga dan Datuk Negeri Sembilan itu telah ada masing-masing dengan tanggungannya tetapi perkara memajukan perusahaan ini tidak kurang perlunya dan tidak pulak berat, lamun dengan bersekutu, persekutuan Lembaga Negeri Sembilan kerana memajukan perusahaan Melayu Negeri Sembilan inilah nama yang kita angan-angankan. Kita pandangkan kasar sahaja. Jika persekutuan ini berdiri kelab-kelab Melayu dan lain-lainnya.

Pendeknya, di dalam masa yang singkat sahaja akan dapat modal untuk memulakan pekerjaan ini. Di sini kita mengerti bukannya tidak boleh, hanya sekadarkan belum terfikir sahaja lagi, dengan sebab itu kita tidak berjalan. Itulah yang membawa kita hanyut jauh, jauh! Tinggal ke belakang.

Bekas sekolah Melayu lama Kuala Pilah itu, cuma menantikan sahaja akan cadangan ini, dengan tak payah mendirikan sebuah rumah khas lagi, kalau dengan limpah kemurahan kerajaan, jadi tubuh perusahaan Melayu ini akan berlembaga di Kuala Pilah.

Pada fikiran kita, Kuala Pilah tak pulak kurang daripada layaknya menanggung sebagaimana cadangan kita ini. Kerana dia disebut pada hari ini, sebuah pekan yang ramai anak Melayunya.

Dan banyak kampung-kampung Melayu serta ramai berdatuk dan berlembaga. Ialah bandar yang akan berlampu elektrik, dan ialah jajahan yang terbesar dan banyak hasil di dalam negeri-negeri Melayu.

Jika ditambah lagi satu, iaitu tempat perdirian perusahaan Melayu di Negeri Sembilan, bukankah bertambah-tambah nama dan serinya.

Was-salam dan Hormat.

Negeri Sembilan, Oktober 1935.