Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 19 Jan 1933, p.8

Surat Kiriman.

Kemajuan Melayu.

Tuan Pengarang,

Oleh banyak sudah penulis-penulis melaung kaum kita bertentangan dengan kemajuan bangsa kita sendiri ingin pula saya menyertai saudara-saudara kita yang berperasaan dan yang amat dikasihi itu.

Yang berturut ini ialah setengah daripada perkataan pendita yang saya terjumpa di dalam alam tadbir fajar siddik bagi kemajuan satu-satu bangsa itu bolehlah disaksikan dengan mengira berapa adalah makna jimat dan cermat di sini ialah jimat dan cermat tentang menggunakan:

1. Tanahair-tanahair.

2. Harta Benda.

3. Anggota.

4. Fikiran.

5. Ilmu.

6. Wang.

Dan juga jimat dan cermat banyak peratusnya daripada bangsa itu yang telah menghidupkan tabiat jimat dan cermat tentang membuat suatu pekerjaan mendidik kaumnya serta mengasuh anaknya masing-masing.

Wahai Tuan-Tuan Pembaca yang amat dikasihi dengan ikhlasnya saya pinta Tuan-Tuan tatap dan timbangkan perkataan di atas ini. Jika benar pada fikiran Tuan, marilah kita bersama-sama menyiasat berapa banyak peratusnya daripada kaum kita yang telah menghidupkan tabiat itu.

Adalah pada pendapatan ataupun pada sangkaan saya sebanyak-banyaknya lima peratus sahaja daripada orang Melayu yang boleh dikatakan ada mempunyai tabiat itu.

Jika sangkaan saya ini benar, lama benar lagi masanya kaum kita baru boleh bersayang-sayang dengan bangsa asing di atas serba serbi kemajuan. Pada fikiran saya marilah kita bersama-sama mencari jalan dengan membentangkan fikiran kita masing-masing di dalam suratkhabar-suratkhabar di Semenanjung ini supaya lekas besarnya, peratus bangsa kita yang menghidupkan tabiat itu.

Tetapi ikhtiar sahaja tiada berguna jika tiada kita bersama-sama memperusahakan ikhtiar itu. Dengan jalan ini barangkali dapatlah kita kemajuan Melayu yang terbina di atas asas yang kukuh. Tetapi kita selama-lamanya mau sabar dan juga bersungguh-sungguh serta yakin meletakkan satu-satu batu yang kecil-kecil serta concrete bagi asas binaan yang dicita-cita itu mau pun juga binaan itu, tiada sudah mana hidup kita ini. Tetapi jika perbuatan kita itu elok dan kukuh, nescaya anak-anak ataupun cucu-cucu kita pula berdukacita.

Ibni Mahmud, Kuala Lumpur,

13.1.1933.