![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 23 Jun 1932, p.6
Editorial.
Kekurangan Pekerjaan.
Pernah kedengaran dari pihak yang boleh disangka sebagai ahli fikiran bahwa oleh kerana ahli-ahli pekerja Cina telah banyak pulang Tongsan, dan ahli pekerja Keling pula pulang ke negeri, akan tertinggal lebih banyak pekerjaan bagi orang-orang Melayu, tetapi sayang kerana yang sebenarnya tidak begitu.
Asal pekerja Cina dan Keling itu keluar dari negeri ini ialah kerana diburu oleh penyakit tiada pekerjaan. Oleh itu tidaklah mereka akan meninggalkan pekerjaan di belakang mereka yang boleh dipakai oleh orang-orang Melayu.
Penyakit tiada berpekerjaan itu bukannya tidak bercabul di antara orang-orang Melayu, tetapi oleh kerana orang-orang Melayu itu lebih sabar dan ghalibnya suka mengerang seorang-seorang sahaja, tidaklah ratap tangisnya mereka itu pernah mendatangkan hingar kepada telinga jiran-jirannya atau pembesar-pembesarnya sebagaimana ratap tangis yang datang dari pihak lain sedang pembesar-pembesar mereka itu bukannya biasa merunsingkan anak-anak bangsanya yang di bawah sebagaimana pembesar-pembesar Cina dan India itu. Kalau ada pun barangkali belum kedapatan sejenis kecil juga dibandingkan kepada bangsa lain.
Pencarian seorang-seorang pada masa ini dengan getah dianggarkan setinggi-tingginya hanya 9 sen sehari. Telah ada di antara orang-orang Melayu kampung yang meninggalkan rumah tangganya pergi berkuli sedang kedapatan pula beberapa banyak orang-orang Melayu yang menukar adat hidupnya dengan menjual getah yang masih basah sementara nasinya berselang dengan ubi dan jagung ataupun makan nasi induk setiap hari.
Sungguh pun tiap-tiap mukim sedang membuka tanah baru untuk perhumaan orang-orang kampung, tetapi terlebih dahsyat pula bagi mereka-mereka yang tidak bermodal yang boleh menahan hidupnya menanti hasil perhumaan baru itu. Pendeknya, jika tak disebut boleh jadi kedapatan seribu macam lagi sengsara hidup yang sedang dihidap oleh orang-orang Melayu pada masa ini.
Kesusahan yang demikian ini tidak dapat tiada ditolak dengan berkata sudah nasib apa boleh buat! Iaitu pengajaran yang kerap diterima dari tok-tok alim salleh-salleh kucing itu dan tidak pula dapat dibantu dengan nazar ke kubur-kubur wali keramat, bahkan hingga tok-tok khalifah keramat hidup pun tak akan berdaya.
Manatah wali-wali yang menjadi imam menolak bala itu? Di dalam zaman makmur dahulu, tak berhenti-henti mereka mengimamkan ratib tegak sekeliling kehidupan menghalau penyakit. Minta murah rezeki, minta sihat badan, dengan menjampi-jampi sedingin yang bekal akan digantungkan di muka pintu dan menjampi-jampi kain kuning bakal akan digalangkan pada lengan.
Pada fikiran kita, inilah masanya tok-tok wali yang hidup dan yang mati itu bangun menolong kaumnya dengan doa-doa yang makbul itu.
Jika doa-doa itu tidak makbul lagi sebagaimana zaman makmur dahulu, eloklah orang-orang Melayu itu memutar haluan lain.
Kita suka bertanya siapakah anak-anak bangsa kita dari pejabat atau sekolah tanam-tanaman yang di Serdang itu yang boleh menerangkan selok belok ilmu bertanam padi?
Dan siapakah seorang lagi dari pejabat syarikat bekerjasama itu yang boleh membentangkan selok-belok ilmu syarikat bendang dengan menganggarkan belanja dan pendapatan padi di dalam semusim?
Berapa modal membuka 1,000 ekar sawah dan berapa pula hasilnya boleh dianggarkan?
Membuka 1000 ekar sawah misalnya dengan niat supaya mengadakan pekerjaan bagi orang-orang Melayu kita barangkali akan bererti baik bagi orang-orang Melayu. Jika hasilnya boleh diharap akan mencukupi belanjanya tidak ada halangannya bagi orang-orang Melayu mendirikan syarikat bendang dengan peraturan yang sempurna.
Kita percaya jika kedapatan seorang penganjur yang boleh memimpin satu syarikat bendang yang boleh diharap akan berhasil akan disokong oleh orang-orang Melayu dari segenap penjuru.
top |