Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 14 Nov 1935, p.12

Feature Article.

Punca Kemajuan.

Oleh Muhammad Noor Isa.

Motto: Dan Jangan Lemah Kamu dan Jangan Dukacita Kamu dan Kamu itu Tertinggi. Jika adalah kamu itu beriman -- Al-Quran.

Bahwa tidak sunyi tiap-tiap seseorang yang hidup di atas muka bumi ini dari mencari kelebihan dan kemajuan serta ketinggian pangkat di antara satu dengan lain, tidak seorang jua yang berkemahuan kepada kerendahan, kekurangan, atau sebagainya.

Tengoklah! Hingga menjadi peperangan antara sebuah kerajaan dengan sebuah kerajaan yang lain disebabkan pengaruh berkehendakan tinggi dan lebih, masing-masing mencari helah dengan berbagai-bagai buat mencari punca bagaimana supaya menjadi maju atau lainnya yang akan membawa kepada kebaikan. Tak usahlah kita layangkan jauh-jauh sampai ke Barat, ke Timur, ke Selatan, dan ke Utara.

Di Semenanjung kita ini pun tidak sunyi dari mencari jalan supaya boleh maju. Di pihak pujangga-pujangga tidak sunyi dari mensajikan buah fikirannya. Begitu juga ahli tenaga tidak sunyi juga buat mengorbankannya. Pendeknya apa-apa yang ada pada seseorang itu yang merasa cinta bangsa dan tanahair tidaklah dia berdiam diri dengan berwatan tubuh dengan berselimut yang tebal.

Malah sedapat-dapatnya mana-mana yang layak bagi dirinya dikerjakanlah. Tetapi malang sedikit kerana setengahnya tak tahu di mana duduknya dan bagaimana rupanya punca yang menjadi kemajuan itu. Hanyalah pakai adab dalam gelap sahaja, sudah kita ketahui kalau meraba-raba dalam gelap gelita itu tidakkan menjadi sempurna atau dapat apa yang kita hajati. Kalau begitu, soal yang akan diketengahkan iaitu apakah dia punca kemajuan itu?

Oleh itu, mari kita tilik kepada firman Tuhan kita yang di atas itu. Di sana nescaya dapatlah oleh kita akan bendanya yang menjadi punca kemajuan tadi.

Sudah terang dengan seterang-terangnya bagaimana firman Tuhan kita yang di atas tadi, adalah punca kemajuan dan ketinggian kita lebih lanjut lagi sekalian manusia di atas muka bumi ini, tidak lain bergantung kepada iman.

Saya percaya tidak sedikit jua pun umat-umat kita yang berugama Islam di Semenanjung ini yang tidak mengetahui dan juga akan ia punya perkataan iman serta apa artinya di dalam bahasa kita Melayu. Tetapi saya sebutkan juga di sini moga-moga yang sudah terang itu menjadi terlebih terang.

Iman: perkataan ini ialah dari bahasa Arab bererti, kepada bahasa kita Melayu "Percaya". Yang setahu saya umat-umat kita mempelajari akan rukun iman yang tersebut kerana ia satu daripada fardhu ain yang tidak boleh tidak mesti dipelajari buat kita berugama Islam ini.

Mana dia bukankah sudah kita ketahui iaitu mesti kita beriman ((percaya)) kepada Allah. Kepada segala malaikatnya, kepada segala kitabnya, kepada segala pesuruhnya, kepada hari kiamat, dan kepada untung baik dan jahat yang datang daripada Allah subhanahu wa-ta`ala juga. Di sini tak payah saya huraikan satu-satu yang kita imankan ((percayakan)) itu, kerana Tuan-Tuan sedia mengetahuinya. Tetapi saya hendak sebutkan sedikit dan bagaimana perhatian saya sahaja sekiranya kalau tergelincir dari landasan harap dibetulkan dan maafkan saya. Iaitu di bahagian rukun iman yang keenam itu.

Maka tentang untung baik dengan untung jahat inilah masih ada juga lagi umat kita yang berpegang kuat-kuat dengan membuta tuli sahaja tidak menyelidiki akan hakikat yang bersangkut paut dengannya, mereka beriman itu dengan secara ringkas sahaja. Iaitu tiap-tiap bahagian itu semuanya daripada Allah belaka, tak usahlah kita hendak mencari lebih lagi.

Buat saksinya cuba kita selidiki dengan sehalus-halusnya tidak dapat tiada nescaya terdapatlah oleh kita akan barang yang saya telah sebutkan di atas tadi. Misalnya: ada satu-satu perusahaan yang dibuatnya tiap-tiap perusahaan itu mundur atau hendak mundur, cuba kita tanya sebabnya boleh jadi demikian. Tak lain dari kita menerima jawabnya sudah dimenceritakan apa-apa hal yang telah berlaku, iaitu dengan perkataan sudah untung ((nasib)) kita diberi Allah, macam mana hendak membuat lagi. Dan pula rezeki secupak tak akan boleh menjadi segantang.

Lantas dengan itu timbul hawa nafsunya buat meneruskan lagi. Dan ada pula setengahnya dengan mengejek-ejekkan dengan perkataan yang boleh menumpulkan benda yang tajam dengan setumpul-tumpulnya, iaitu semacam kita ini tak akan layak menjadi atau menyaing bangsa lain di kalangan apa-apa pun. Dan ada juga yang melarang serta menasihatkan dengan kata jadilah untuk sudahlah setakat itu.

Maka akan kena pelemah pun terus tumpul nafsunya buat mengejar ketinggian dan kemajuan tadi disebabkan kurang selidik. Walhal, Tuhan kita menyuruh kita berikhtiar buat mencari ketinggian kita yang memang ada bagi kita yang disediakan kita sahajalah yang tak hendak.

Dengan segala apa yang saya sebutkan itu kita menghulurkan setakat mana iman ((percaya)) umat-umat kita di Semenanjung ini yang dikatakan ia beriman dengan sebenar-benarnya itu, atau sudah cukup imannya. Oleh itu, kalau menurut bagaimana firman Tuhan kita yang di atas itu boleh kita kata yang umat-umat kita di Semenanjung ini belum ada seperdua yang beriman yang ditentu dengan secukup-cukupnya, tak payah disebutkan lagi dengan segala apa yang saya tulis di atas tadi pun sudah memadailah buat saksi bagi kita.

Mengapakah boleh jadi begitu? Oh! Misalnya nasib bangsa kita rupanya tidak mempunyai iman secukupnya barangkali iman kita itu sudah direbut oleh bangsa lain seumpama mereka merebut kekayaan tanah di Semenanjung ini. Apa takut, boleh kita semacam itu, untuk memenuhkan kehendak yang saya tulis ini?

Sekarang saya tarik pena saya pula untuk memperbincangkan atas pemerhatian saya akan langkah bangsa lain kerana menuntut kemajuan dan ketinggian mereka di atas muka bumi ini. Saya tidak halakan jauh-jauh malah di Semenanjung kita ini pun sudah memadai.

Saya berani berkata sebesar-besarnya mereka inilah yang beriman ((percaya)) sekerat-keratnya kepada apa yang dicintainya. Mereka berpegang sungguh-sungguh seumpama pegang bara api, mahu menjadi arang.

Tetapi umat-umat kita tidak semacam itu. Mana dia yang saya kata mereka beriman dengan sekuat-kuatnya itu!

Tuan-Tuan Pembaca masih tidak lupa lagi dan boleh camkan dengan sebetulnya. Dalam Warta Malaya Bilangan 246 yang lalu dalam Rencana Pengarangnya, telah membentangkan satu masalah yang berkepalakan "Jemaah Siasat Bangsa Asing di Tanah Semenanjung", di antara mana disebutkan iaitu Mr. Lim Cheang Ean yang terkenal itu, seorang bangsa yang mengaku Malayan ((Cina)) yang sangat cinta kepada bangsanya dan hendak meninggikan bangsanya dengan setinggi-tinggi tempat yang mengorbankan dirinya jadi keluar dari Legislative Council tahun dahulu, iaitu dengan kehendaknya sendiri oleh cita-citanya terhadap kepada pemerintah telah tertolak. Sekarang sudah mengemukakan suatu ucapan terhadap kepada bangsa akuan-akuan Malayan seumumnya bagi menyeru kepada mempertubuhkan sebuah Kelab Siasat ((Politik)) guna supaya satu suaranya kelak akan menjadi lebih kuat dan lebih berharga kepada kerajaan iaitu di dalam Mesyuarat Agung yang diadakan di Dewan Town Hall Cina di Pulau Pinang.

Sungguh pun ianya tidak hadir, tetapi ucapannya itu dibacakan juga oleh setiausahanya. Bagaimana yang tertulis dalam Warta Malaya itu.

Bukankah sudah tetap mereka mempunyai iman ((percaya)) dengan sebenar-benarnya yang saya katakan tadi? Mereka percaya yang bangsa mereka boleh jadi tinggi dari yang sudah itu dengan sepenuh-penuh kepercayaan dan mereka tidak jemu walaupun suara mereka telah dihumbankan dengan sejauh-jauhnya. Tetapi oleh bimbit kepercayaan itu sudah ada dalam tubuhnya tidakkan menjadi halangan padanya. Dengan itu yang apakah halnya umat kita? Inilah satu soal yang akan dihadapkan bagi kita seumumnya. Jikalau berjalan sahaja jarum politik mereka, dan apakah kesudahannya umat-umat kita? Camkanlah.

Oleh itu, sudah memadailah dengan tulisan saya yang sedikit itu untuk permenungan kita tidak lain lagi punca kemajuan kita dan ketinggian darjat kita mesti kita beriman ((percaya)), walaupun beberapa butir peluru meriam bencana menembak bagi menghalangi kemajuan kita wajib kita teruskan juga jangan berasa sakit atau ngeri. Redhalah balik ketinggian kita dengan seboleh-bolehnya jangan dilepaskan sahaja. Kalau terlepas pada kali ini haruslah umat-umat kita akan tertindih dengan sekuat-kuatnya oleh bangsa lain, dengan itu, adakah suka kita ditindih oleh bangsa lain? Menungkanlah bersama-sama.

Was-salam secara kebangsaan dari saya,

B. Mertajam, Awal Syaba`an 1354.