Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 23 Nov 1935, p.12

General Article.

Meluaskan Pencarian Anak Negeri Melayu.

Oleh A.B.P.

Adakah Jalannya?

Orang-orang kita di kampung-kampung bukan sahaja mereka itu duduk menongkat dagu dan menganga memandang di atas kesanggupan bangsa-bangsa lain mencari wang di hadapan matanya.

Mereka itu bukan tak pernah melihat orang Cina memikul raga dan berteriak "ayam-ayam" dan "telur-telur", melalui di kaki tangga rumahnya.

Tetapi apa Tuan rumah menjawab "tiada", apakah sebabnya tiada itu? melainkan mereka itu boleh menjawab ayam-ayam tiada mau, hidup dan padi tiada hendak memberi makan. Lain-lain perkataan, tentulah tiada yang boleh melepaskan pertanyaan itu, kita tidak menyorokkan kaum sendiri, apakala kaumku buruk, maka buruklah saya bersama-sama. Oleh sebab kita biasa dan sudah faham dengan kehidupan secara berkampung halaman dari semula jadi dan pernah memandang-pandang di atas pencarian orang-orang kampung di keliling kita.

Dengan sebab itulah, kita usaha mengusik-usik dan memberi sedikit nasihat kepada orang-orang yang diam di kampung supaya mereka itu lebih berfikir daripada masa yang ada hari ini. Orang-orang dan pemuda-pemuda di kampung bukan tidak ada mata pencarian daripada mula hidup sampai hari mati. Asalkan mahu berusaha dan tetap tujuan satu-satu. Kita pernah juga bercakap-cakap dengan orang-orang kampung darihal bertanam pokok pinang, lada hitam, kopi dan limau nanas; patutlah ditanam banyak-banyak pada suatu tempat. Apakala sudah banyak, senang hendak menjualnya. Tetapi orang-orang kita di kampung-kampung macam air jatuh di atas pasir sahaja. Hanyalah mereka itu lebih bercakap daripada menduga sesuatu pekerjaan.

Kebanyakannya berfikir apakala sudah banyak kelak, di mana pasar hendak dijualkan. Tetapi mereka itu tidak berfikir selain daripada itu, mengapakah barang-barang yang dibeli daripada kedai-kedai itu murah sahaja. Habis ditangannya??

Bahwa dengan fikiran yang kuno itu masih kuat dipegang oleh kaum kita selama itulah kaum kita hidup seperti hari ini dihimpit oleh bangsa-bangsa lain.

Dan lagi mari kita mengambil perhatian fasal kerbau lembu kambing biri-biri pula. Bukannya tak laku dan tak ada orang membeli, datang ke kampung-kampung itu, melainkan kerbau lembu juga yang tiada di kampung kita atau oleh seorang yang diam tetap di kampung itu. Maka pencarian tiap-tiap orang kampung itu tersangat seni, kalau-kalau disiasat pada tiap-tiap orang. Tetapi keluarannya terlalu besar. Tatakala itu, di manakah boleh mendatangkan kesenangan pada masing-masing kaum kita itu.

Bahwa dengan sebab-sebab itu, patutlah dibaiki pencarian orang-orang kampung anak negeri Melayu ini.

Maka dengan sebab kefaedahan mereka itu membela ternakan hidup-hidupan itu, ialah dengan sebab pengelola kampung kampung belum begitu sedar. Kalau sedar pun, bukannya bertukas hati dan tetap tujuan-tujuannya. Oleh yang demikian itu, ternanti-nantilah sahaja kepada pendengaran kita akan sebuah mukim atau kampung itu cukup kemajuannya yang boleh memuaskan hati. Sesungguhnya bertuah umat-umat Melayu beroleh penasihat-penasihat seperti pegawai-pegawai syarikat bekerja-kerjasama pada tiap-tiap negeri itu.

Maka dengan adanya pegawai-pegawai syarikat bekerja-kerjasama itu diharapkan boleh berjaya orang-orang kampung meluaskan pencariannya. Barangkali semasa ini orang-orang kita Melayu belum sampai masanya berniaga atau membuka kedai syarikat seperti mana kata pegawai-pegawai syarikat bekerja-kerja sama di dalam negeri ini ((Pahang)), yang kita pernah mendengar syarahannya itu.

Kalau menurut kata Tuan Pensyarah itu tentulah orang-orang kita Melayu sangat sempit mata pencariannya. Sekiranya orang-orang Melayu belum layak berniaga atau bersyarikat berniaga terlebih eloklah diperbaiki barang-barang jualan orang-orang kampung iaitu membanyakkan harta benda untuk jualan hari-hari bagaimana penghidupan secara kampung yang patut diputerakan yang pertama syarikat bekerja-kerja sama, bagi kemajuan am itu, dengan menyediakan perkebunan dan padang rumput bekerja-kerjasama dengan dikawali oleh pegawai-pegawai syarikat bekerja-kerjasama itu.

Kedai Sari.

Tentang pekan sari itu sudah tentu mendatangkan suatu mata pencarian orang-orang kampung yang tidak payah dibincang-bincangkan lagi. Sekarang kita hendak cakapkan ialah di kedai sari pula kita baru sahaja mendengar syarahan pegawai-pegawai syarikat bekerja-kerjasama Pahang. Ada sesuatu jalan lagi yang patut dicuba oleh anak-anak Melayu ialah membuka kedai sari. Terutama yang patut dicuba oleh orang-orang yang makan gaji. Buatlah begini beberapa orang yang berkehendak diputerakan dahulu jenis barang-barang makanan cukup dimakan bagi sebulan seperti di bawah ini:

1. Beras.

2. Gula.

3. Bawang.

4. Teh.

5. Kopi.

6. Susu.

7. Korek Api.

8. Rokok.

9. Minyak Tanah.

10. Minyak Kelapa.

11. Minyak Kacang.

Dan lain-lain.

Apakala sudah dapat kira-kira barang yang tersebut itu dan wangnya, hantarlah surat pertanyaan atau pergi ke Kuala Lumpur di mana sebuah kedai yang masyhur seperti R.A. Muhammad Kassim itu.

Barang-barang yang dibeli itu di jual balik kepada ahli-ahli syarikat itu; harganya sama dengan jualan di pasar-pasar tempat ahli-ahli itu tinggal. Pada suatu hari sahaja boleh selesai. Maka keuntungannya sudah tentu berpuluh-puluh ringgit pada sehari. Maka dengan pendapatan keuntungan itu, disimpan dahulu di Savings Bank, sehingga setahun. Barulah dibagi ataupun biarlah banyak-banyak dahulu, sehingga mendapat suatu modal yang besar, barulah dibuka kedai syarikat Company Limited, dengan tiada berasa susah hati kerana modal masing-masing tidak keluar poket dengan terang.

Kata pensyarah itu, inilah suatu jalan lebih kemas dan mudah diperbuat oleh orang-orang makan gaji atau wang kampung juga.

Silalah cuba semasa akan datang siapa-siapa mahu cuba pegawai-pegawai syarikat bekerja-kerjasama, sedialah menyokong perdirian yang baru ini. Janganlah kita membuang-buang masa lagi, jalanlah terus di atas suatu cita-cita di hati barulah boleh berjaya.

Was-salam.