Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 1 Dec 1935, p.8

General Article.

Gadis-Gadis Melayu dengan Pekerjaan Luar. Ibu Bapa Patut Berfikir Panjang.

Oleh Terompet.

Suatu perkara yang patut kita bahaskan sekarang ialah berkenaan perempuan-perempuan Melayu dengan pekerjaan-pekerjaan luar pergerakan Kaum-Kaum Ibu Melayu kita hari ini ada semakin maju. Kehendak-kehendak dan angan-angan mereka pun semakin tinggi, tanggungan-tanggungan mereka pun semakin berlain-lainan daripada sifat yang tertentu tanggungan baginya!

Terutamanya anak-anak gadis bangsa kita yang di dalam negeri-negeri Melayu yang bersekutu dan sedikit-sedikit bilangannya yang di lain-lain negeri di Malaya ini. Syabas!

Telah diketahui oleh Orang Melayu kita yang umum iaitu ada sedikit-sedikit bilangan anak-anak gadis kita yang berpelajaran ((educated)) telah bekerja dengan kerajaan seperti menjadi pelayan di hospital ((nurse)), telefon operator, dan ... dan ... dan ...

Maka itulah sekarang nampaknya telah menjadi suatu contoh yang hendak diikuti oleh anak-anak gadis kita yang telah lulus pengajiannya dan yang masih di bangku sekolah pun berangan-angan nak bekerja juga dengan kerajaan seperti kaum laki-laki pula!

Keberanian kita berkata begitu ialah kita telah lihat bagaimana keadaan anak-anak gadis Melayu yang berpelajaran Inggeris itu boleh dikatakan tidak cukup pun bilangan anak-anak jari tangan kita yang menyempurnakan syarat-syarat keperempuanannya di dalam rumahtangganya sendiri dengan mengikut undang-undang kewajipan seseorang ‘perempuan’ yang dikatakan sebenar-benar kehendak yang dituntuti oleh ugama dan adat yang dipuji oleh manusia yang sempurna fikiran dan pemandangan. Akan tetapi mereka nampaknya telah mulai meringankan perkara-perkara yang sebenar-benar bagi kelayakan mereka itu dan mulai tak merempuh perkara yang lebih daripada garisan kewajipannya bagi seorang ‘perempuan’ yang sebenar-benarnya perempuan.

Tidaklah dapat kita menetapkan agaknya kita ini. Akan tetapi memandang pada barang yang zahir daripada keadaan mereka itu percayalah kita iaitu mereka tak suka, bahkan benci agaknya dengan pekerjaan rumah tangga; misalnya tak suka bekerja sekuat gadis-gadis kita yang tiada berpelajaran Inggeris itu melainkan setahu dan sekehendak mereka dengan hasil pendapatan yang diberikan oleh ibu bapanya itu dengan pelajaran Inggeris iaitu nak bekerja makan gaji bukan kerja jadi Raja Perempuan di rumahtangganya sendiri. Jika sudah bersuami kelak kerana perkara-perkara yang telah diiktiqadkan olehnya itu. Maka tidaklah ia berapa mengambil tahu berkenaan dengan rumah tangga semasa lepas dari sekolahnya itu, hanyalah semata-mata berkehendakan kerehatan dan kesenangan dirinya duduk berpinda atau di kerusi malas atau bermain-main seumpama kanak-kanak lagi dengan tidak menaruh sedikit pun sifat-sifat seorang "Anak Dara", yang patut sekali menjaga kehormatan dirinya di sisi kaumnya dan adat serta ugamanya.

Kita tidak berniat menahan anak-anak perempuan kita mengaji di sekolah-sekolah Inggeris kerana itu pun ada juga kegunaannya; maklumlah tiap-tiap yang dituntut itu tentulah yang difikirkan oleh ibu bapanya boleh memberi kegunaan yang besar kepada anak-anaknya di belakang hari kelak. Dan kita tidak menyekat dan memarahkan kepada anak-anak gadis kita itu bekerja di pejabat-pejabat kerajaan, bahkan walaupun mereka tak bekerja seperti kebanyakan perempuan-perempuan bangsa asing yang bekerja di kedai-kedai perniagaan dan menjaga tiket-tiket wayang sekalipun, maklumlah, bukan anak sendiri. Tentulah tidak boleh berkuasa dengan sepenuh melainkan terpulanglah kepada batu kepala ibu bapa mereka tentang baik jahat kemudiannya.

Akan tetapi, pada fikiran kita sendiri sangatlah tidak bersetuju jika dibiarkan lalu oleh ibu bapanya membenarkan anak-anak gadisnya itu bekerja luar, baik pun di pejabat kerajaan ataupun di kedai-kedai saudagar. Kita terangkan di bawah ini alasan-alasannya yang menyebabkan kita tak menyertai fikiran dan angan-angan anak-anak gadis kita yang berpelajaran Inggeris itu ((ingat tidak kita main serkap jarang. Atau pun main burungan sahaja, melainkan setengah daripada setengahnya!)).

1. Akan tidak berguna langsung bila-bila anak-anak gadis yang telah bekerja luar itu apakala mereka masuk di alam perkongsian hidup sebagai seorang isteri yang tau kewajipan membela rumahtangga, melayan dengan sepenuhnya kehendak-kehendak suaminya dan ... dan ... dan ... hanyalah mereka akan bingung bahkan malas daripada menyempurnakan tanggungan-tanggungan yang demikian itu. Terpaksalah suaminya menaruh orang gaji di rumah dan ... dan ... dan ... boleh menyebabkan sebab-sebab itu kelak tidak teguh ikatan kasih sayang mereka sebagai laki isteri yang dikehendakkan oleh manusia yang sempurna fikiran.

2. Akan menjadi buah mulut orang-orang lain ke atas diri anak-anak gadis itu dengan tuduhan dan perkataan yang menyakitkan hati ibu bapa mereka juga, walaupun anak mereka boleh bertegang urat leher, mengaku kebaikan dan keelokan akhlak dan nafsunya kerana menjaga kehormatan dirinya sebagai seorang Anak Dara dan maruah ibu bapanya, maklum mulut manusia.

3. Siapa tak percayakan harimau berkawan dengan kambing? Sebaik-baik dan sekuat-kuat iman seorang Anak Dara itu selalu juga termasuk mereka ke lembah kehinaan yang membawakan kejatuhan darjat keanak-daraannya dan menyapu arang ke muka ibu bapanya yang telah berpenat lelah memeliharanya dari kecil itu.

Sedang di dalam rumah tangganya sendiri pun telah jadi perkara-perkara yang menyebabkan demikian itu; inikan di tempat keluaran am yang menyebabkan lebih senang dan lebih banyak syaitan-syaitan yang akan merasuk mereka kepada berbuah kejahatan dengan jalan berkasih-kasihan.

Memadailah dengan tiga alasan itu sahaja, jika tak dituliskan tentu banyak lagi! Oleh itu, carilah sebab-sebabnya lagi oleh pembaca-pembaca sendiri. Dan diharapkan ibu-ibu bapa yang ada menyimpan anak-anak gadis hendaklah menjaga dan selidik dengan lebih luas lagi sebelum menyerahkan anak-anaknya bekerja dengan pekerjaan luar, supaya terlepas daripada perkara-perkara yang akan tidak digemari akhirnya.

Tetapi lebih eloklah jika tidak diberi pekerjaan luar, melainkan diajar mereka bagaimana sifat-sifat seorang "Perempuan".