![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 13 Dec 1935, p.12
Leader Article.
Negeri Melayu dengan Bangsa Asing.
Pihak Pemerintah Wajib Memperhatikan.
Bangsa asing yang dikatakan di sini kecuali Bangsa British.
Masalah Kehidupan Anak Negeri.
Kita harus mengerti bahwa kesusahan atau desakkan kaum bangsa kita di sini telah terbanyak tanggungan kehidupan di dalam kekolotan ((susah)) dari kerana kita anak negeri telah menderitakan kekalahan berbuat dengan bangsa asing di segenap perkaranya.
Kita selalu menghadapi musuh halus di dalam kalangan jual beli, bahkan di dalam kalangan nak makan gaji pun kaum kita Melayu sampai telah terhabis-habis dan terdesak dan terhimpit. Hal ini kita perhatikan sama ada di bahagian pejabat-pejabat kerja raya, tali air, surat-surat dan pejabat kereta api Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu.
Jikalau kita perhatikan bandingan bilangan bangsa-bangsa asing yang bekerja dengan pangkat-pangkat mereka itu. Maka sangatlah hancur dan lebur di hati kita memandangkan betapa sia-sianya kehidupan bangsa dan kaum kita anak negeri, meskipun di dalam negeri dan tanahair kita sendiri kehidupan dan pergantungan nasib anak negeri bolehlah dikatakan telah terhimpit dan terdesak sama sekali dari sehari ke sehari. Bahkan bulan dan tahun.
Jangan-jangan anak negeri cuma tinggal nama dan sebutan sahaja. Baru betul Malayan. Bukan Melayu! sungguh pun demikian, kaum-kaum penumpang belum jua berpuas-hati. Dengan yang demikian itu, yang mana kebanyakan daripada mereka itu masih meminta hak perasaan dengan anak negeri. Inilah yang dikatakan bangsa yang tidak mengenang di atas budi Raja-Raja Melayu yang telah bermurah hati melapangkan kehidupan mereka di dalam negeri Melayu ini.
Berhubung dengan suara-suara kaum penumpang di negeri Melayu ini buat meminta hak persamaan dengan anak negeri. Maka kerapkalilah kita jumpai di dalam suratkhabar-suratkhabar yang dapat kita baca di Semenanjung ini, berkenaan dengan suara-suara wakil-wakil Cina.
Satu daripadanya di Majlis Persidangan Negeri Selat sana, membentangkan segala hujah-hujah yang dibangkitkan untuk keselamatan kaum bangsanya dan memohonkan beberapa permintaan kepada pihak pemerintah supaya menerima kaum dan bangsa mereka sebagaimana kedudukan anak negeri. Selain dari itu, sampai pula kepada soalan bahasa am yang mana diminta oleh mereka bahasa dan tulisan Melayu itu jangan dijadikan bahasa am. Dan banyaklah lagi hujah-hujah yang dikemukakan oleh wakil-wakil Cina yang menaruh harapan itu. Lebih lanjut lagi suara mereka itu ialah di atas serahan kekuasaan kerajaan jajahan Dinding kembali kepada Raja Melayu dan kerajaan Perak, sehingga berani mereka membentangkan segala apa yang telah dipercakapkan berkenaan dengan penyerahan itu mendatangkan sombong kepada mereka dan jua percakapan yang dihamburkan oleh mereka terhadap kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Perak bolehlah dianggapkan sebagai perkataan yang bukan keluar daripada seorang manusia yang mempunyai akal dan fikiran terkecuali seorang yang bersifat ...
Sekarang menurut di atas kita seorang yang bersifat Anak Negeri wajib kita menolakkan segala sangka-sangka kaum penumpang yang mendatangkan keraguan kepada kita itu.
Bahkan kita yakin bahwa suara dari seekor anjing yang menyalak bukit tidak akan runtuh bukit itu oleh kerana salaknya.
Permintaan dan suara bangsa-bangsa asing ((Cina dan Hindu)) boleh dikatakan seumpama suara kaum yang tidak mempunyai tanahair sendiri melainkan semata-mata kaum penumpang pada segenap negeri dan rantau orang.
Suara Wakil-Wakil Anak Negeri.
Suara-suara dari wakil-wakil rakyat Melayu itu patut sekali kita memperhatikan dan mengambil berat apa-apa kandungan soal yang dibangkitkan oleh mereka itu di Majlis-Majlis Persidangan, kerana sekaliannya itu kita yakin untuk melindungkan kesengsaraan kehidupan kaum kita dan meluaskan keselamatan hidup bangsa kita supaya teratur dengan rapi. Di masa yang telah lalu dan di masa kini juga, kesengsaraan kehidupan rakyat Melayu telah nyata di pemandangan oleh kerana desakan daripada kaum bangsa asing sehingga pergantungan anak telah bertambah-tambah daif dan kusut sama sekali.
Kita sekaliannya patut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada sekalian wakil-wakil rakyat anak negeri yang telah mengambil perhatian yang berat dan menaruh timbang rasa yang cukup pada atas keselamatan dan kemuslihatan anak negeri iaitu kaum bangsanya daripada pengaruh himpitan dan desakan bangsa-bangsa asing.
Langkah-langkah yang telah diperbuat oleh kebanyakan wakil-wakil rakyat Melayu di Majlis-Majlis Mesyuarat Kerajaan itu kita percaya tidaklah akan memutuskan harapan hamba rakyat akan pemeliharaan mereka di atas keselamatan kehidupan anak negeri. Begitu jua kita harus berkata inilah suatu daripada harapan dan tempat perdirian hamba rakyat yang teguh buat menyelamatkan di atas pergantungan nasib mereka supaya senantiasa mendapat urusan yang teratur yang mana telah beberapa lama penanggungan anak negeri, bahkan rakyat Melayu seumumnya telah menderitakan segala jenis penyakit yang telah ditanggungi dan diidapi. Tetapi penyakit itu meskipun ada juga, janganlah hendaknya dibiarkan semacam selama-lamanya jua.
Harapan kita wajiblah bersama-sama mengubati akan segala penyakit itu dari kerana tak akan terderita oleh si penanggung dengan berkelamaan kelak. Oleh yang demikian wajib wakil-wakil dan pihak yang berkuasa memperhatikan sebelum menjadi kerebakan yang besar dan mendatangkan kekeliruan kehidupan anak bumi putera adanya.
top |