![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 16 Dec 1935, p.6
Editorial.
Bangsa Asing dengan Malayan Civil Service.
Senang lenang kehidupan mereka dari sebab banyak jumlah mereka di dalam pejabat-pejabat kerajaan. Banyak memegang teraju-teraju perniagaan dalam negeri-negeri ini, banyak mempunyai perusahaan-perusahaan, banyak memiliki estate-estate, kebun-kebun yang luas dan lombong-lombong yang besar-besar itu tidak juga memuaskan hati bangsa-bangsa asing yang tinggal menumpang di dalam negeri-negeri kita ini.
Tetapi mereka masih juga bersuara menunjukkan tamaknya meminta supaya jawatan Malayan Civil Service yang hanya terbuka bagi bangsa pemerintah dan anak-anak Melayu putera bumi itu pun hendak dituntut oleh mereka dengan muka yang tebal; berlindung di sebalik tirai nama British Asiatic.
Di bawah ini kita salinkan satu rencana tulisan yang bertandatangan "Waris", yang terbit di dalam Malay Mail, kata ia demikian bunyinya:
Tampaknya penduduk-penduduk yang bukan Melayu tidak mengerti sindiran kerajaan pada beberapa tempat bagi menjawab permintaan mereka hendak masuk ke dalam jawatan pemerintah negeri ini. Maka sekiranya mereka mengerti tidaklah mereka berulang-ulang mengulangi soal yang tersebut itu daripada sesuatu masa kepada suatu masa dan saya berharap mereka tidak menanti supaya dicakapkan berterus terang.
Supaya dilantik menjawat jawatan Malayan Civil Service itu boleh jadi cita-cita yang tinggi bagi bangsa-bangsa yang bukan Melayu itu, tetapi ialah cita-cita itu termasuk adanya, kerana mereka tiada mempunyai hak yang jati bagi jawatan itu mengaku bernegeri seperti kelambu* itu. Bukanlah hajat supaya berhak mendapat bahagian di dalam pemerintahan negeri itu, saya berkata seperti kelambu* itu ialah bangsa asing itu tidak sekali-kali pernah disuruh atau diminta supaya mengaku Malaya ini ialah negeri mereka. Istimewa pula pengakuan mereka itu tidak sekali-kali akan dikenali oleh bangsa Melayu bumi putera negeri ini.
Saya mengaku yang bangsa-bangsa asing itu ada banyak menyokong kemajuan alam negeri ini dan sokongan mereka itu telah berpengaruh besar di dalam hal kemajuan negeri ini. Tetapi benarkanlah saya berkata bahwa usaha dan kerja mereka itu tidak dikerjakan untuk muslihat negeri ini, tetapi ialah bagi temuluk mereka semata-mata. Bangsa-bangsa yang bukan Melayu ((Non-Malay Asiatics)) itu asalnya datang ke Malaya ini mencari untung. Maka patutlah mereka hidup demikian selama-lamanya.
Sepatutnya mereka syukur akan hak dan kebebasan yang diperolehi mereka dengan aman di bawah naungan bendera Inggeris itu.
Maka kuranglah saksama mereka jika mereka cemburu kepada hak yang ditangan Inggeris, dan kebebasan Melayu pada menjadi pemerintah negeri ini. Pegawai-pegawai Inggeris sebaliknya dikurniakan hak-hak itu dengan treaty diperbuat oleh Raja-Raja negeri-negeri Melayu dan kerajaan Duli Yang Maha Mulia King.
Maka hak pegawai-pegawai Melayu itu di atasnya dengan dipakai tetapi tuntutan bangsa-bangsa asing itu tidaklah terkandung di dalam syarat-syarat yang dua di atas itu. Maka bingunglah saya memikirkan bagaimana hendak melayan tuntutan mereka itu dengan tidak melanggar treaty?
Pada masa ini Malaya diperintah pegawai-pegawai Inggeris dengan cukup saksama dengan sokongan pegawai-pegawai Melayu. maka tidak wajib beredar daripada policy ini pada fikiran saya. Dan jika sekiranya bangsa-bangsa asing itu memikirkan yang mereka terlalu layak sebagai pemerintah, saya syorkan kepada mereka supaya mereka berubah haluan kepada negeri mereka, pada negeri mana mereka sangat-sangat dikehendaki.
Tanah Melayu ini terlalu kecil benar untuk diperintahi oleh beberapa bangsa.
Sekianlah tulisan Warta Malaya dan pada fikiran kita sangatlah molek kiranya dijadikan satu panduan bagi kerajaan negeri-negeri Melayu kita ini.
top |