Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 23 Dec 1935, p.27

Aliran Arus Umat Melayu.

Oleh Pegawai Syarikat Bekerja-Kerjasama.

Kepada seorang yang mengambil perhatian yang sebenar dan tatapan yang halus, maka tak dapatlah tentulah terbentang kepadanya bahwa keadaan di Semenanjung pada hari ini telah jauh sangat perbezaannya daripada keadaan yang sepuluh tahun dan lima belas tahun dahulu. Apatah lagi dua puluh tahun dahulu.

Perubahan telah berlaku di dalam golongan siasat, di dalam medan perniagaan, dan dilingkungan perusahaan; dan tiada pula perubahan itu sunyi daripada memberi bekas di atas kehidupan orang-orang kita Melayu. Dan pada hari ini kita boleh berjumpa dengan beberapa tokok tambah tentang peraturan adat resam dan pergaulan hidup yang telah ditiru dan diambil daripada beberapa bangsa-bangsa yang mendiami Semenanjung ini, dijadikan satu bahagian kepada adat resam Melayu sejati.

Umat kita Melayu tiada mau ketinggalan daripada mengambil bahagian di dalam medan perubahan dan menderu-deru kita mengikut perjalanan masa dengan tiada menghiraukan perjalanan masa dengan tiada menghiraukan ke manakah arah dan di manakah akan sampainya perjalanan yang kita tujui itu.

Kejadian yang demikian telah membangkitkan suatu perasaan khuatir di sisi penganjur-penganjur dan ahli-ahli fikiran Melayu dan di dalam sedikit tahun yang lalu dunia surat akhbar Melayu telah bergoncang oleh perbahasan di antara mereka itu dan tiap-tiap seseorang telah mengeluarkan buah fikiran masing-masing menunjukkan kekurangan umat Melayu; serta menyeru umat Melayu kepada kemajuan.

Ada yang menyeru orang Melayu pada mendirikan syarikat perniagaan. Ada yang menyeru umat Melayu kepada bersekutu. Ada yang menyeru hartawan-hartawan Melayu pada mengorbankan harta dan masanya bagi bangsa dan negeri. Ada yang menyeru pada menimbulkan perasaan kasihkan bangsa dan negeri dan berbagai-bagai lagi seruan dan buah fikiran yang telah terbentang di halaman suratkhabar-suratkhabar. Tetapi dukacita saya penat lelah suara saya itu tiada berapa memberi bekas.

Dan jika sekalipun berbangkit sesuatu perdirian kerana panggilan itu, perbuatan itu masih juga lagi di dalam keadaan yang tiada memuaskan hati. Apakah sebabnya jadi demikian? Pada menjawabnya saya berkata barangkali juga kita belum dapat umbi kesilapan umat Melayu yang sebenar.

Dengan perkataan ini, saya tidak berhajat hendak menidakkan jasa penganjur-penganjur dan ahli-ahli fikiran Melayu, dan bagi susah payah mereka itu saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Tetapi saya berasa musykil adalah dengan jalan berbahas di medan suratkhabar itu kita boleh dapati apa dia penyakit bangsa Melayu yang sebenarnya.

Saya percaya bahwa yang kerap kali timbul daripadanya ialah persengketaan dan kecil hati di antara seseorang dengan lain. Setengah daripada penulis-penulis suka menempelek hartawan-hartawan Melayu di atas kekhilafan mereka itu sebab tiada mau menyokong dan memberi modal kepada perusahaan dan perniagaan Melayu. Perkataan yang demikian tiada baik. Sepatutnya kita bermegah-megah dengan keadaan mereka itu; dan tiada pula jadi hina jika kita bertanya kepada mereka itu bagaimana mereka itu dapat mencapai darjat itu supaya boleh kita jadikan ikutan.

Kita tiada boleh hendak memaksa mereka itu menaruh kepercayaan dan menyerahkan harta mereka itu ke dalam urusan kita. Jika kita tiada dirikan kepercayaan di atas diri kita terlebih dahulu. Hal keadaan diejek-ejekkan sahaja oleh mereka itu akan kita dengan perkataan, orang itu pandai menulis dan bercakap sahaja. Sesungguhnya tiada akan berdiri suatu syarikat perniagaan atau perusahaan itu dengan kuat melainkan syarikat itu diurus oleh hartawan-hartawan yang ada berkepercayaan di antara seseorang dengan lain dan tiada kepercayaan itu akan terdiri melainkan tiap-tiap seseorang setelah mendirikan nama masing-masing di dalam urusan kekayaan. Sekiranya kita hendak mencari apa dia yang membantutkan kemajuan Melayu.

Sambungan.