Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 23 Dec 1935, p.7

General Article.

Perekonomian Orang Melayu dengan Kemajuan.

Oleh Pakcik Selangor.

Pelajaran tak payahlah saya butirkan apakah faedahnya pelajaran, kerana semua orang tahu. Tetapi bolehkah kita dapat ilmu dengan air liur basi sahaja pada masa sekarang ini?

Sedangkan belajar di kampung-kampung sahaja berkehendakan wang, apalagi jika kita terpaksa memberi pelajaran kepada anak-anak kita seperti pelajaran anak-anak bangsa asing. Tentulah berkehendakan banyak wangnya dan lama beramal kerana menyediakan wang itu. Jika tiada, melepaslah kita.

Rumah Tangga. Jika hati kita hendak tetap dan aman, wajiblah kita berumah tangga sendiri bagi pergunaan anak dan isteri kita. Jika tiada, tentulah kita tiada aman, maklum, rumah orang. Jika hendak membuat rumah tentulah berkehendakan wang pula yang sudah terkumpul dengan jalan perekonomian. Jadi terwajiblah kita menyimpan wang kerana membuat rumah tangga.

Kesihatan. Hendak kita amalkan kebersihan, mengadakan perkakasan perhiasan rumah tangga kita tadi, mengadakan pakaian kita yang secukupnya. Hendak tahu kita mencari atau membeli makanan yang wajib bagi tubuh kita dan anak isteri kita dengan secukupnya. Ini pun berkehendakan wang juga, terlebih baik beli satu tin susu bagi makanan anak kita daripada dibelanjakan wang itu kerana membeli tiket wayang gelap atau Opera, kerana wayang tiada masuk ke dalam jumlah perekonomian kepada kebanyakan manusia.

Perekonomian itu ialah satu perkara yang wajib diamalkan oleh satu-satu bangsa. Jika bangsa itu hendak maju kerana dengan maklumkan perekonomian itu, dapatlah bangsa itu menyimpan wang bagi persediaan pelajaran, rumah tangga, kesihatan dan perniagaan. Satu-satu bangsa bolehlah dikatakan maju jika sekiranya persediaan-persediaan ini sudah ada dan siap.

Patut kita mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat kita penulis-penulis di dalam suratkhabar-suratkhabar kerana tiada lalai dan jemu ianya daripada mengingatkan dan menyeru kita kepada kemajuan. Tetapi walau bagaimana selalu pun kita diingatkan dan diseru oleh sahabat-sahabat kita itu, jika perbezaan-perbezaan kita tadi belum ada atau siap lagi, iaitu kita belum maklumkan perekonomian; belumlah lagi kita boleh terkeluar daripada golongan tak maju. Dan tiadalah boleh kita saingkan bangsa kita dengan bangsa asing yang telah maju.

Jika pendapatan saya di atas itu betul dan dipersetujukan oleh kebanyakan penganjur-penganjur kita, saya pinta pada sekaliannya bait, marilah kita bersama-sama maklumkan perekonomian supaya kita dapat menunjukkan dengan jalan tauladan dan bukannya dengan jalan cakap seperti bola belon sahaja, melayang ke sana, melayang ke sini, dibawa oleh angin, lama-kelamaan pecah; didapati kosong sahaja.

Mari kita siasat satu persatu dan di atas jalan-jalan yang boleh dikatakan maju tadi.

Persatuan. Faedahnya bersatu tiadalah payah saya butirkan kerana Tuan-Tuan Pembaca lebih tahu daripada saya. Cuba lihat Allah Taala kuat sangat menyuruhkan kita bersatu dirinya lebih kepada orang-orang yang sembahyang beramai-ramai daripada orang yang sembahyang seorang diri. Sungguh pun pekerjaan sama sahaja, bahkan lebih kurang pekerjaan sembahyang beramai.

Kita berkehendakan masjid, madrasah, guru, sekolah, persekutuan, dan lain-lain lagi ini semuanya ialah jalan persatuan.

Jika tiada berwang, bolehkah kita mendirikan perkara-perkara yang saya sebutkan di atas. Tentulah tiada. Seumpamanya kita hendak mendirikan satu masjid dan madrasah pada masa sekarang itu, terpaksalah kita memungut ke sana ke mari berbulan-bulan hanya barulah sampai hajat kita itu, terkadang-kadang oleh terlampau lama perkiraannya tiada betul, sudah terbangkit pergaduhan di atas satu puak dengan satu puak.

Cuba kita di dalam satu tempat ada sedia wang kita untuk mendirikan masjid, madrasah, sekolah dan persekutuan. Tentulah tak payah kita merundung ke sana dan merundung ke mari kerana mengutip wang persatuan kita pun boleh aman dan tetap. Jika tiada bersatu, kempunanlah kita kepada kemajuan.

Perniagaan. Ini berkehendakan modal banyak. Jika kita orang-orang Melayu tiada menyimpan wang kerana hendak memodalkan perniagaan kita tiada boleh kita bercakap mari kita buat itu dan buat ini, tengok bangsa lain. Mesti kita sediakan wang dahulu menyediakan ini.

Ada Sambungan.