Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 30 Jun 1932, p.6

Editorial.

Kesusahan Orang-Orang Melayu dari Getah Tak Berharga.

Sedikit masa dahulu kita telah mengisytiharkan satu iklan dari pihak kerajaan berhubung dengan cukai atau hasil tanah dengan mana kerajaan tidak memberani Tuan-Tuan tanah membayar wang notis yang biasanya mesti dibayar apakala notis-notis itu telah ditulis sahaja di dalam Pejabat Tanah, jang disebut kalau notis-notis itu telah disampaikan kepada Tuan Tanah masing-masing.

Tetapi tahun ini Tuan-Tuan Tanah tak usah runsing akan bayaran notis-notis itu. Sekalipun notis-notis itu telah diterimanya dengan syarat hendaklah cukai-cukai tanah itu dibayar terlebih dahulu dari 1 August di belakang mana kelak notis-notis itu akan hidup semula sebagaimana biasa.

Kita menyangka bahwa timbang rasa kerajaan membebaskan rakyat dari keberatan notis yang tak syak lagi bahwa kerajaan telah memasukkan Zaman Meleset ini ke dalam hitungan akan mendatangkan lega kepada orang-orang Melayu. Tetapi rupanya di dalam setengah-setengah jajahan adalah sebaliknya.

Menurut keterangan penulis kita dari Kajang, sebagaimana kita muatkan di dalam keluaran yang diiringkan oleh keluaran ini, bahwa orang-orang Melayu di dalam jajahan Ulu Langat telah menyembahkan sepucuk surat permohonan kepada kerajaan meminta kendurkan cukai-cukai tanah getah dari empat ringgit menjadi seringgit sahaja, hingga kepada masa mereka dapat bernafas dari kelemasan mereka yang sedang tenggelam di dalam lautan getah itu. Begitu pula kononnya pada setengah-setengah tempat di dalam Selangor sedang berkira akan menyembahkan surat permohonan yang seperti itu.

Permohonan orang-orang Melayu yang demikian itu tak patut ditolak bulat-bulat sahaja, oleh kerana apabila dibanding kepada pertolongan kerajaan bagi bangsa-bangsa lain. Di dalam Zaman Meleset ini, orang-orang Melayu tidak merunsing kerajaan meminta belanja pulang Tongsan dan tidak pula mereka itu pernah mendatangkan huru-hara semata-mata berselindung di bawah nama kulit ((susah)) itu dan tidak pula mereka pernah dibantu dengan derma-derma. Tetapi kita khuatir kalau-kalau menolong orang-orang Melayu dengan jalan ini akan menggalakkan adanya kebun-kebun getah yang bakal akan menyembuh harga, meski pengharapan mereka masih bergantung kepada kebun-kebun getah yang tak boleh diharap itu.

Tidakkah lebih elok bagi orang-orang Melayu itu menukar ((syarat)) tanaman tanahan daripada getah kepada buah-buahan?

Pada fikiran kita, bahwa kerajaan tidak akan menolak permintaan-permintaan orang yang telah menjadikan kebun getah mereka kampung.