![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 4 Jul 1932, p.6
Editorial.
Apakah Persediaan Orang-Orang Melayu Menyambut Kedatangan Sir Samuel Wilson?
Kita belum mendengar apakah persediaan umat Melayu menyambut kedatangan Sir Samuel Wilson yang barangkali akan tiba di dalam bulan September yang akan datang itu, lagi dua tiga bulan!
Kedapatan Sir Samuel Wilson ke Semenanjung semata-mata berhubung dengan perubahan baru. Kedatangan yang demikian itu iaitu utusan dari kerajaan yang mahar besar daulat Inggeris tidaklah sebagaimana disambut oleh umat Melayu dengan mengambil bahagian mendirikan anjung ataupun sekadar berjabat salam di Rumah Kerajaan ataupun dengan jamuan.
Tetapi mahulah dengan fikiran yang bersatu padu umat Melayu menerusi pembesar-pembesar dan penganjur-penganjur Melayu sekurang-kurangnya seperti Yang Berhormat Raja Sir Chulan dan Yang Berhormat Datuk Rembau berhubung dengan perubahan baru yang bermakna akan memulangkan kuasa Raja-Raja Melayu yang dahulunya tergenggam di dalam tangan atau Pejabat Chief Secretary.
Jika sebenarnya fikiran-fikiran orang-orang Melayu itu dikehendaki, hendaklah kita dirikan dua utusan; satunya lebih molek, disangka terbit dari pihak Sultan-Sultan dan Waris-Waris Negeri, dan yang satu lagi dari pihak am umat Melayu, atau pun katalah dari pihak rakyat, tetapi bagaimana adanya hendaklah kedua-dua utusan dari kedua-dua pihak yang tersebut sebulat dan bersatu.
Bagi pihak rakyat tidaklah akan lebih bermakna dari Member-Member Federal Council Melayu seperti Yang Berhormat Raja Sir Chulan dan Datuk Abdullah, yang keduanya memang Ahli Mesyuarat Melayu Yang Bukan Rasmi.
Lebih dahulu patutlah kita berakta bahwa menyambut kedatangan Brigadier General Sir Samuel Wilson itu bukanlah sekali-kali sebagai menyambut kedatangan kapal perang Malaya, ataupun lawatan Yang Teramat Mulia Prince of Wales, tetapi adalah satu kedatangan yang menepati hal-ehwal perubahan negeri bernaung di bawah bendera Inggeris pada masa yang akan datang di dalam mana orang-orang Melayu wajib berlindung diri dengan kerajaan Inggeris bukan sahaja dari serangan musuh dari luar, tetapi ialah jua dari serangan dan desakkan musuh yang sedia di dalam kain selimut sendiri itu.
Kita patut bersedia sebelum Sir Samuel Wilson tiba, jika kita akan membentangkan fikiran kita.
Satu dan yang awal sekali di dalam perjalanan langkah perubahan baru itu ialah akan menghapuskan jawatan dan pejabat Chief Secretary yang masih ada di kota ini.
Fikiran dari pihak yang bukan Melayu sebagaimana dapat difaham telah membayangkan akan membantah penghapusan jawatan dan pejabat Chief Secretary itu. Tak syak lagi tentulah oleh kerana kemuslihatan masing-masing pihaknya.
Kita tak usah mencari ataupun menyelidiki apakah kemuslihatan orang tetapi hendaklah kita menyelidiki kemuslihatan sendiri.
Apakah manfaatnya atau mudaratnya bagi Raja-Raja dan umat Melayu jika jawatan dan pejabat Chief Secretary itu dihapuskan ataupun dipindahkan ke meja tadbir Tuan Yang Terutama High Commissioner di Singapura?
Apakah pula soal di atas patut dijawab oleh orang-orang Melayu sendiri untuk faedah Raja dan Negeri sebelum Brigadier General Sir Samuel Wilson tiba supaya fikiran sebulat dan seturut di antara Raja-Raja dan Waris-Waris Negeri dengan umat alam Melayu diperolehi dan boleh dibawa ke hadapan Sir Samuel Wilson kelak menurut cara yang dikehendaki.
Pada fikiran kita patutlah suratkhabar-suratkhabar bangsa kita terutama sekali penghulu suratkhabar kita Warta Malaya Singapura memberi fikiran. Kemudian kita minta Saudara di Pulau Pinang dan Pengasuh di Kelantan, dan lain-lainnya memberi pemandangan supaya kita peroleh satu ketetapan yang menepati muslihat kerajaan dan negeri kita.
Kita berjanji akan membentangkan fikiran kita di dalam keluaran yang akan datang.
top |