Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 18 Jul 1932, p.6

General Article.

Kesusahan Negeri dan Isinya.

Diharapkan dengan seboleh-bolehnya janganlah kiranya menjadi umpat puji tentang karangan yang tidak dengan sepertinya itu.

Maka adalah kira-kira pada tiga haribulan Januari ((awal tahun ini)) di masa mana penulis duduk berdagang serta mengaji sekolah di dalam jajahan Segamat, Johor. Maka pada masa itulah penulis mendapat tahu serta telah membaca juga undang-undang ((Circular)) yang telah dikeluarkan oleh kemajuan Johor mengatakan iaitu daripada masa itu ke hadapan anak-anak dagang atau pun bangsa lain-lain tidaklah boleh diterima lagi membuat sebarang pekerjaan di bawah perintah ataupun di dalam pejabat-pejabat kerajaan Johor.

Maka pada masa yang tersebut itu penulis pun terlampaulah suka mendengarkan hal yang telah berlaku itu, dan diharapkan di dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu pun begitu juga, sebabnya ialah supaya dapat peluang bagi anak-anak Melayu kita yang masih lagi di dalam kegelapan ini di dalam pekerjaan pejabat-pejabat kerajaan mana yang dicinta-cinta siang dan malam.

Maka adalah lebih kurang tiga bulan kemudian daripada itu penulis pun berhenti sekolah serta baliklah penulis ke tanahair sendiri.

Kemudian penulis dapati undang-undang ((Circular)) yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu itu pun seakan-akan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Johor itu juga. Apatah lagi dengan serta merta itu juga penulis pun penuhlah dengan perasaan suka serta kembang hati tidaklah boleh hendak diceritakan. Oleh sebab memikirkan peluang-peluang yang tidak terhargakan itu, akan dapat digenggam anak-anak Melayu. Istimewa pula penulis pun ada juga cita-cita hendak merasa kelazatan nikmat yang akan disiramkan oleh kerajaan yang maha adil itu.

Sungguh pun begitu, akan tetapi pada masa ini di dalam negeri Selangor itu sahaja ada beratus-ratus anak-anak muda Melayu laki-laki yang tidak bekerja. Separuh daripadanya ada juga yang telah lulus di dalam peperiksaan di sekolah-sekolah Inggeris pangkat yang pertama ((Senior Cambridge Class)), dan setengahnya ada pula yang memegang sijil kedua sahaja ((Junior Cambridge Certificate)). Dan berpuluh-puluh lagi yang berhenti sekolah di dalam pangkat yang ketujuh dan ke bawah lagi. Lebih kurang semacam inilah pengetahuan anak-anak Melayu pada masa ini. Tetapi termusykil hati penulis memikirkannya, iaitu apakah fasalnya kebanyakan daripadanya duduk melepak di simpang-simpang kaki lima bandar-bandar dan terkadang-kadang menjadi kutu jalan sama sekali disebabkan oleh tidak mendapat pekerjaan yang dikehendakinya.

Jikalau menurut sepanjang fikiran penulis yang lagi picik ini, semua hal-ehwal kehinaan dan kepapaan yang tersebut itu disebabkan oleh kelalaian ketua-ketua pekerjaan Melayu belaka. Separuh daripada ketua kita itu nampaknya tidaklah mengambil susah sedikit tentang hal-ehwal anak-anak Melayu yang tersebut itu. Hanyalah yang mengambil berat sedikit akan bangsanya penulis dengar dan tengok ialah ketua-ketua pekerjaan bagi Negeri Sembilan dan Perak juga.

Syahdan, maka adalah lebih kurang sebulan yang lepas ada dua pekerjaan kosong di dalam jajahan Ulu Langat ini ((Selangor)). Tetapi belum pun sempat anak-anak Melayu membuka mulut hendak meminta kerja itu, dengan tidak semena-mena dua orang Keling yang telah dihantar oleh kerajaan dari Kuala Lumpur.

Mereka inilah yang memegang jawatan-jawatan itu hingga tawarikh ini. Kemudian anak-anak Melayu pun diam sahajalah dengan tebal muka! Oleh sebab tidak mendapat kerja-kerja yang tersebut itu.

Penulis dan anak-anak Melayu sekalian semuanya faham akan ketua-ketua pekerjaan itu semuanya orang yang terpilih, ternama dan bijaksana, serta juga sudah mendapat pengetahuan yang sempurna di dalam alam orang-orang Barat. Jangkanya tidaklah patut mereka itu meninggalkan bangsanya sama sekali seperti ini. Terkadang-kadang permintaan anak-anak Melayu tidak sekali-kali diterimanya.

Jikalau sekiranya hal ini berpanjangan, apakah jadinya bangsa kita pada masa yang akan datang? Dan apakah faedahnya dan maksudnya undang-undang yang dikeluarkan itu. Pada hal tidak dipakai? Dan apakah gunanya suratkhabar-suratkhabar yang dikarang begini banyaknya di dalam Tanah Melayu ini?

Jikalau penulis tak salah semuanya menyeru pada jalan kemajuan kaum dan tanahair. Jadinya sia-sia sahaja tampaknya membuang belanja dakwat kertas. Pada hal, semakin banyak suratkhabar-suratkhabar semakin ke bawah dan ke belakang bangsa Melayu.

Apakah gunanya ahli pengarang bermusuh-musuh menulis di dalam suratkhabar-suratkhabar itu? Pada hal, tak usahlah nak memakai dibubuh di tapak kaki pun tidak! Dan apakah faedahnya ketua-ketua yang dicadangkan bagi memajukan anak menyelamatkan anak-anak Melayu itu, dengan mendapat gaji empat lima ratus sebulan, tetapi tidak menghiraukan apa-apa kewajipan; yang terutama sekali diperbuatnya.

Pada fikiran penulis, maksud kerajaan tidak semacam yang tersebut itu.

Jikalau sekiranya lada tak pedas, garam tak masin, apakah jadinya bangsa Melayu?

Kasihan bangsa Melayu. Malang!!

Berbanyak-banyak saya menerima kasih kepada Tuan Pengarang Majlis oleh kesudian dan keredhaannya tentang memasukkan uraian yang tidak dengan sepertinya ini ke dalam ruangan Majlis adanya.

Was-salam.

Anak Negeri Kajang. Selangor.