Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 11 Jul 1932, p.6

Editorial.

Kemuslihatan Melayu dibincang di dalam Mesyuarat Federal Council.

Umat Melayu Am bolehlah bermegah. Yang Berhormat Raja Sir Chulan telah bersuara bermohon supaya pintu jawatan Malayan Civil Service itu dibukakan lebih luas lagi dari masa-masa yang telah lalu bagi pegawai-pegawai Melayu dan Yang Berhormat Datuk Abdullah Datuk Undang Rembau boleh diaku telah menyumbang lidah umat Melayu di dalam segala hal yang berhubung dengan kemuslihatan anak-anak bangsanya iaitu di dalam hal yang berhubung dengan membuang pegawai-pegawai kerajaan dan di dalam hal yang berhubung dengan meluaskan tanah pusaka Malay Reserve.

Dan kedua-dua permohonan itu telah disambut baik oleh kerajaan menerusi lidah Yang Berhormat Tuan Chief Secretary sebagaimana terjemahnya yang tersiar dan akan disiarkan di dalam Majlis ini. Dengannya patutlah orang-orang Melayu bergirang hati.

Di dalam perkataan Tuan Chief Secretary telah menerangkan bahwa suatu Lembaga telah dibangunkan sedikit masa dahulu oleh Tuan Yang Terutama High Commissioner kerana menyelidik berapa banyak jawatan Malayan Civil Service yang tertentu kepada pegawai-pegawai Orang Putih itu boleh dicabut dan digantikan dengan pegawai-pegawai yang lain daripada orang-orang Putih dengan mana kelak bilangan jawatan-jawatan yang akan dipegang oleh pegawai-pegawai Melayu itu akan bertambah-tambah banyak.

Lebih jauh, Tuan Chief Secretary telah berkata bahwa kerajaan telah beruntung benar kerana adanya beberapa banyak pegawai-pegawai Melayu dan juga oleh kerana tak sanggup menanggung beberapa banyak pegawai-pegawai orang-orang putih sebagaimana masa yang telah lalu. Lebih besar harapan kita bahwa setengah daripada jawatan yang dipegang oleh pegawai-pegawai Malayan Civil Service kelasnya lima itu akan digantikan dengan pegawai-pegawai Melayu sahaja.

Kita tampak apabila jawatan yang teruntuk kepadanya dan pegawai-pegawai orang putih itu berkurangan bahwa jawatan-jawatan dan pegawai-pegawai yang bukan orang putih itu akan bertambah.

Dan meski Yang Berhormat Tuan Chief Secretary telah membanyakkan yang pegawai-pegawai Melayu itu akan bernasib, tetapi oleh kerana pegawai-pegawai Melayu itu juga boleh dikata akan berkurangan oleh kerana berserap, dan oleh kerana belum diterima pegawai-pegawai baru semenjak tahun yang lalu kita khuatir kalau-kalau pegawai-pegawai yang bukan Melayu yang sedang menganga itu akan memperoleh pintu baru naik setingkat lagi di atas darjah Office Assistant, Registrar, Assistant Auditor, State Treasurer dan lain-lain seumpama yang dahulunya juga teruntuk bagi pegawai-pegawai Malayan Civil Service itu.

Kita patut cemburu kerana bahwa jawatan Asiatik Inspector di dalam jawatan polis yang ada sekarang ini dahulunya bernama Malay Inspector yang bermakna teruntuk kepada orang-orang Melayu sahaja. Tetapi tak berapa lama dah jadi Asiatik Inspector terbuka kepada semua bangsa.

Kita tidak cemburu kepada bangsa-bangsa asing diangkat sekadar menjadi Inspector untuk faedah polis, asal jangan sampai menjadi Chief Asiatik Inspector atau OCPD, apa lagi jika sampai menjadi ASP! Tetapi kita mesti merasa terhina jika jawatan Malay Administrator Appointment itu bertukar pula menjadi Asiatic Administrator pada lafaz dan maknanya. Sama ada kelak dikatakan oleh kerana mustahak atau Melayu kurang layak atau oleh kerana mustahak atau Melayu kurang layak atau oleh kerana kekurangan orang-orang atau lain-lain sebab maupun dilindungkan atau disembunyikan di bawah sebarang nama; sebagaimana Super Scale Appointment berjalan pada masa ini pada hal mereka memegang jawatan yang dahulunya dipegang oleh Malayan Civil Service itu.

Untuk keselamatan orang-orang Melayu iaitu bangsa yang mempunyai negeri-negeri Melayu ini patutlah jawatan pegawai-pegawai Melayu itu ditambah lagi pada tiap-tiap masa supaya bilangan mereka itu cukup menanti dan menunggu bukan sahaja menunggu jawatan yang teruntuk kepada Malayan Civil Service Kelas Lima itu, tetapi ialah jua untuk menanti jawatan-jawatan yang dipegang oleh pegawai-pegawai yang berlindung di bawah nama Super Scale dan Special Grade; yang sememang bergaji mahal yang kita berharap akan dihapuskan itu.

Bukannya begitu sahaja tetapi kita berharap bahwa jawatan segala Office Assistant itu hendaklah dihapuskan sama sekali digantikan dengan Chief Clerk sahaja.

Jika Office-Office Assistant itu perlu hendaklah diuntukkan kepada pegawai-pegawai Melayu Khas, Allah peliharakan negeri Melayu daripada tuntutan bangsa Malayan yang sedang teraku-aku dan sedang bertopengan negeri-negeri Melayu ini Negeri Mereka!