Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 14 Jul 1932, p.6

Editorial.

Giliran Umat Melayu: Tangga Kemajuan Sedang Terbuka.

Di faham daripada pidato Yang Berhormat Raja Sir Chulan dan Yang Berhormat Datuk Rembau serta dengan jawab kerajaan menerusi lidah Yang Berhormat Tuan Chief Secretary bagi kedua-dua pidato itu, bahwa telah tiba masanya giliran orang-orang Melayu akan memperoleh peluang yang lebih luas di dalam pejabat-pejabat kerajaan Persekutuan Negeri-Negeri Melayu yang sebelum ini telah dibolot oleh anak-anak bangsa asing dengan sebab-sebab yang kita tak suka mengungkit lagi.

Umat Melayu amnya telah menjunjung tinggi di atas jemala akan madah Yang Berhormat Tuan Chief Secretary yang bermakna bahwa anak-anak Melayu mesti didahulukan pada masa memilih jawatan dan akan dikemudiankan pada masa memilih orang-orang yang akan ditolak dari jawatannya.

Lebih lanjut Tuan Chief Secretary telah menyebutkan kepada Datuk Rembau akan adanya suatu surat edaran yang baru yang telah diperedarkan kepada segala kepala Pejabat Kerajaan yang bermakna, bahwa kifayah membuang pegawai-pegawai kerajaan itu apa lagi kifayah memilih pegawai-pegawai yang akan diterima bekerja itu adalah daripada suatu perkara yang takluk di bawah tadbir policy kerajaan yang biasa iaitu yang pertama sekali diberikan kepada anak-anak Melayu dan yang keduanya kepada anak-anak bangsa India atau Asiatik yang diperanakkan di negeri ini.

Alhamdulillah! Jika madah itu benar pada lafaz dan maknanya, tak syak lagi bahwa tangga kenaikan bagi anak-anak Melayu pada masa ini dan pada masa akan datang telah terbentang asal bilangan dan kelayakan anak-anak Melayu menjalankan satu-satu pekerjaan itu dapat dimasukkan ke dalam hitungan kemudian daripada telah dipandang dengan pemandangan insaf yang* bukan menerusi mata bangsa asing yang selamanya sengaja dibuta-butakan atau sememang berat sebelah itu.

Umat Melayu akan sempat mengukur jika mereka suka berapa jauh benarnya madah mengutamakan anak-anak Melayu itu, siapa yang akan bertanya jika kedapatan satu pejabat yang dapat menerima tiga atau empat pegawai-pegawai baru, umpamanya hanya menerima seorang Melayu?

Siapa pula yang akan ke muka bertanya jika kedapatan seorang Melayu di antara dua atau tiga pegawai-pegawai yang telah dikais keluar dengan tadbir pengurangan orang itu?

Kepada siapa hendak mengadu?

Itulah barangkali suatu soal yang belum pernah dikemukakan oleh orang-orang Melayu meski setengah-setengah anak-anak Melayu yang sedang berpusing mencari pekerjaan itu telah menerima sepuluh pucuk jawab tiada kosong.

Mereka tidak berkecil hati jika jawatan yang dimintanya itu sebenarnya tiada kosong, tetapi jika jawatan itu didengarnya di belakang telah diberikan kepada Cina atau Keling, tidak dapat tiada mereka akan berkecil hati sebagaimana boleh diagak sahaja oleh semua bangsa manusia di dunia di dalam hal keadaan yang demikian itu.

Kita tidak berhajat kepada satu Kapitan Melayu atau Protectorate sebagaimana adanya Pejabat Chinese Protectorate dan Pejabat Kaum Buruh Labour Office itu, kerana selamanya kita berKapitan, bahwa segala pejabat kerajaan dan sekalian pegawaian adalah pejabat yang melindungi muslihat Melayu. Tetapi oleh kerana belum diadatkan yang orang-orang Melayu itu boleh atau pernah mengadukan hal yang berkenaan dengan jawatan berbuat meminta jawatan, permintaan Melayu dijawab tiada kosong, tetapi permintaan Cina atau Keling dikabulkan, kita patut bertanya bolehkah kita mengadu dan jika boleh kepada siapa?

Kita tidak syak atas policy kerajaan tentang menerima dan menolak kaki tangan kerajaan. Orang-orang Melayu amnya sangat-sangat gembira menyambut circular kerajaan yang baru itu sebagaimana keterangan di atas. Tetapi kita khuatir kalau-kalau policy dan circular baru itu hanya tertanggal di atas kertas sahaja bekal akan menjadi udara kosong atau anggota yang tidak berjiwa ataupun terangnya lain lafaz lain makna.

Kita bukannya tidak percaya kepada pegawai-pegawai orang putih yang mereka itu menjadi kepala di dalam satu-satu pejabat kerajaan itu, tetapi kita tidak percaya yang seribu macam helah dan kilah itu tidak akan terjadi selama kepala-kepala pejabat itu bergantung kepada otak Office Assistant di dalam urusan yang demikian itu.

Office Assistant itu ghalibnya ialah Perdana Menteri satu-satu pejabat; menerima dan membalas surat-surat itu kebanyakannya terserah kepada tangannya. Tidakkan berlebihan sangat jika kita cemburu bahwa tidak ada halangannya bagi Office-Office Assistant itu main kayu tiga pada masa menyusun surat-surat permintaan itu. Iaitu selain daripada syoran atau fikirannya yang akan diterima oleh Tuan tentang menerima atau memilih kaki tangan baru. Juga mencacat dan memuji kaki tangan yang ada seperti Si Anu tak layak atau speech digalikannya sesuatu lubang supaya orang-orang yang didengkinya kelak terjerumus.

Kita wajib meminta dengan beralaskan circular kerajaan yang baru itu supaya circular itu berjalan bagaimana lafaznya begitulah maknanya:

Pertama. Mahulah diperintahkan bahwa satu-satu pejabat itu tidak dibenarkan menerima pegawai-pegawai lain daripada Melayu, tetapi jika mustahak mahulah dengan kebenaran pejabat Tuan Resident dengan syarat hendaklah dipersatukan dengan sebab-sebab seperti tak ada Melayu ataupun pekerjaan itu dikhaskan bagi orang-orang yang bukan Melayu.

Kedua. Mahulah bakul surat-surat permintaan orang-orang Melayu itu terasing dari surat-surat lain supaya jangan berlaku permainan songlap pada masa menyusun surat-surat permintaan yang banyak itu.

Ketiga. Adakan dan khaskan suatu pejabat; Tuan Resident lebih patut; menerima pengdakwaan pegawai-pegawai Melayu yang ditolak dari jawatannya supaya dapat ditimbangkan halnya lebih halus menurut madah circular baru itu.

Tuhan Kekalkan Bangsa Melayu!