Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 18 Jul 1932, p.6

General Article.

Pahang.

Zaman Meleset dan Tersemu.

Dari semenjak dipuja kupon ((sekatan)) pada mengeluarkan getah mensabitkan kemelesetan pula! Betapa tidak, disebutkan dalam masa diutamakan harganya hingga menerbitkan hebah nama masyhur perihal kemakmuran bumi Semenanjung kita ini dengan kerana indah khabar itu menjadikan bersalahan fahaman kaum-kaum kita akan makna perkataan sekatan itu ((tahun keluar banyak)) oleh kaum kita ditukarkan dengan berlumba-lumba mengambil hutan baru; maksudnya membanyakkan getah pula, dan wang disimpan pun habis diperbelanjakan dan pula setengah daripada setengahnya lalai lekalah dengan kemewahannya tiada lain pekerjaannya, hanyalah menjaju [?] hawa nafsunya sahaja ((syaitan)) dan hilang tadbir ilmunya dan hati ((yang selamat)) itu.

Oh! Apatah lagi mereka-mereka yang sedia menumpang tiada khali mengambil peluang yang berbahagia itu pada menarik hak dan pati-pati tanahair kita ini ke negerinya. Lama-kelamaan serta beramai-ramai, hingga menerbitkan kekeringan sedemikian ini. Dan suara pengarang pemuda Melayu pun tidaklah sunyi dari Utara Selatan Timur dan Barat. Dan begitu juga di tempat penulis di mana jua ada bandar dan kampung tempat perkumpulan kaum-kaum kita, riuh rendah dengan perkataan aduh! Susah! Dan ada pula yang menukarkan wajah yang jernih kepada kekeruhan sambil berkata demikian; sekarang kita hampir semua sudah putus asa berikhtiar pada menunaikan keperluan kita. Tampaknya berserah sahajalah kepada kerajaan yang maha adil ini. Bukanlah kita kerana anugerahnya disebabkan sudah mati mata pencarian kita, kaum kita sekarang! Sebagai tersemu dan karam yang pertama di dunia ini.

Oleh mana taufik dari Tuhan akan jadi pengajaran yang besar ke atas kaum kita wahai nasib badan!

Kesedaran dan Tanggungan.

Wahai Tuan-Tuan Pembaca! Kaum kita makin sehari semakin sayup dan terjauh dengan hal cara kekayaan, kesenangan dan kepandaian; habis tahun berganti tahun, begitulah juga semakin beransur undurnya ke belakang lagi; kerbau dari manalah dapat menahannya! Peluang mana kita nanti? Lailatul Qadar mana akan turun? Perdirian siapa dan pergaulan mana akan ditauladani lagi?

Lamun di kenang-kenang semakin bertambah-tambah sayu perasaan kita.

Jika hendak mengadakan suatu hal, laksana tanduk diberkas. Dalam hal itu, porak-perandalah ke hutan ke padang hendak melepaskan pucuk masing-masing wahai kaum bangsa!!!

Tegal itu jemputlah bangun dan tilik pandang, hari kita hampir akan petang, marilah bersama-sama kita melangkah dan bertanam untukkan bagi kaum bangsa dan tanahair kita. Kerana hidup mencari nama dan mati meninggalkan zaman, pilih ambillah mana yang baik, campak buang sejauhnya mana yang jahat. Dan begitu juga pohonkanlah kurang mana yang lebih dan yang kurang pula mintalah tambahi lagi sebagaimana petanya terbentang pada sisi pemandangan dan pendengaran kita.

Bahagian Tuntutan Kaum.

Maka kembalilah penulis mengulangi penyakit ramai kita ini, barangkali tiada lain ikhtiar dan ubatnya, tentang hasil tanah getah dan cukai barang-barang masuk; itulah kita pohonkan beramai-ramai kepada kerajaan supaya ia menurunkan sekadar layak dengan harganya dan pendapatan kita zaman meleset ini, agaknya adalah harapan kaum bangsa boleh mendapat sederhana perjalanan kehidupan kita.

Maka pada 5.7.32, dengan tabah persatuan kaum kita Melayu, dari bandar Temerloh, telah membuat sepucuk surat permintaan kepada Tuan Pegawai jajahan untuk memohonkan supaya kerajaan menurunkan hasil tanah-tanah dari dua ringgit kepada lima puluh sen bagi sementara menanti getah berharga dengan melalui Yang Berhormat Tuan British Resident Pahang, Kuala Lipis, akan mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pula.

Bahkan di lain tempat harap boleh berikut juga. Oleh mana tidak diseru kepada bersatu semua, adalah kekuatan suara dari persatuan itu tidak gampang ditolak dan lebih-lebih gemuruh kepada telinga kerajaan.

Tambahan pula, dikecualikan pada negeri yang sudah sedia adanya bahkan penat sangatlah kita pohonkan kepada kerajaan supaya ia mengadakan orang freeman akan jadi Ahli Mesyuarat Negeri atau Member State Council, mudah-mudahan dengan mana dapat ia mendirikan galah untuk kaum bangsa supaya menegahkan perhematan keselamatan kita. Pilihan itu harap terjatuh ke dalam jajahan Temerloh.

Peluang Bekerja.

Adalah dengan kata seruan Pengarang Pemuda kita, katanya, peluang berfikir sudah lama terlepasnya kiranya menurut oleh mana seruan itu, jemputlah Tuan-Tuan Pembaca yang dapat ketahui dengan wasitah ini sila masuk menyamai atau memberi pertolongan kadar tulus ikhlas, sementelaahnya pula hukum Syarak sudah menjanjikan demikian, tiap-tiap berbuat baik wajib dibalas dengan baik ((Pahala)), iaitu dari setinggi-tinggi darjat hingga serendah-rendah darjahnya, kerana penulis pada masa ini mengambil peluang pada membina sesuatu bangunan untuk kaum bangsa dan tanahair kita. Dalam masa ditarik oleh pergiliran musim dengan menurut kemahuan zaman, oleh yang demikian haraplah Tuan-Tuan Pembaca persetujukan.

Hubaya! Hubaya! Moga-moga janganlah terkecewa lagi pada zaman melalui garam yang kedua kelak ((Mati)). Sebagaimana menepati bidalan Melayu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian berpanjangan. Di bawah ini ada disalinkan dari copy seruan khas ((Pahang)) akan jadi seruan pula kepada alam di Semenanjung ini.

M.B.H.