![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 18 Jul 1932, p.6
Editorial.
Adat Menjadi Rakyat: Sungutan Bangsa Malayan Berdengung.
Sedikit masa dahulu, seorang penulis bernama Mr. H.L. Windcott dari Kelantan telah membentangkan tawarikh kedatangan orang-orang Melayu ke Semenanjung di dalam suratkhabar Malayan Tribune Singapura, di dalam mana Mister yang patut bergelar Imam Bangsa Malayan itu telah berkata bahwa negeri ini ialah negeri Sakai!
Maksudnya, bukanlah akan mempertahankan hak orang-orang Sakai, akan tetapi maksudnya ialah supaya disahkan bahwa orang-orang yang lain daripada Sakai di sini mestilah sama-sama berhak di dalam pemerintahan negeri.
Pendeknya, bangsa Malayan dan bangsa Melayu itu sama.
Di dalam keluaran Malayan Tribune bertawarikh 4 Julai, Mr. Windcott telah menulis lagi dengan panjang lebar membahas undang-undang kerajaan Kelantan yang mempernaungkan hak anak negeri Kelantan daripada himpitan bangsa luar ((barangkali Mr. Windcott satu daripada mereka itu)) daripada siapa Raja dan Kerajaan Kelantan telah berfikir wajib rakyat Kelantan diperlindungkan.
Dengan malangnya tulisan itu telah disokong pula oleh Malayan Tribune di dalam keluarannya pada 5 Julai, iaitu menerusi lidah dan ruangan pengarangan sendiri.
Apa yang boleh difaham daripadanya iaitulah sungutan yang terhadap kepada kerajaan Kelantan atau dengan lain-lain perkataan tak puas hati atas adanya undang-undang tanah di sana yang bermakna akan melindungkan muslihat dan hak anak itu. Bukannya sekadar undang-undang melindungkan tanah sahaja, akan tetapi mereka bersungutan kepada segala bawaan yang akan memberi sedikit muka kepada orang-orang Melayu mau pun di Kelantan atau di luar Kelantan.
Sungutan yang demikian ini sememang telah berlaku dan lagi akan berlaku serata Semenanjung. Tidaklah bangsa Malayan itu pernah berhenti dari melongket-longket jasa mereka membuka negeri. Setelah mereka puas memekikkan yang mereka tulang belakang Semenanjung, mereka bangung serentak menggelarkan diri Bangsa Malayan. Sekarang pula mereka akan mengaku rakyat raja di dalam negeri mana mereka telah diperanakkan. Di sebelah lain orang-orang Melayu belum pernah mengungkit budi mereka membiarkan dan membenarkan bangsa-bangsa asing datang mencapai nikmat hidup sekali pun tanah perkuburan tok nenek mereka telah dibongkar dan kampung halaman mereka telah lucut dan akan lucut. Tak syak lagi akan tiba masanya orang-orang Melayu itu akan mengungkit jasa dan budi mereka kepada bangsa asing yang sekarang tergelar-gelar Bangsa Malayan itu, iaitu sebagai suatu balasan.
Kita berkepanjangan dan barangkali tidak akan berhenti-henti sebagaimana laku Semenanjung Tanah Melayu untuk Malayan itu mula-mula dinyanyikan oleh orang-orang Melayu apabila tak tahan mendengarkan lagi yang direka oleh bangsa Malayan itu, iaitu Malaya untuk Bangsa Malayan!
Cuba kita orang kita sedikit, mereka tak berhenti-henti berkata bahwa mereka datang dijemput. Kata mereka suatu isytihar dari Tuan Colonial Secretary bertarikh pada 25 January 1875 itu bermakna jemputan dan sebab jemputan itulah mereka datang membuka negeri Selangor pada zaman al-Marhum Sultan Abdul Samad.
Baik! Sebelum surat isytihar itu, iaitu sebelum January tahun 1875, orang-orang Cina belum adakah di Semenanjung? Atau pun khasnya belum ada di dalam Selangor? Kalau memang sudah ada siapa menjemput mereka?
Dan bagi orang-orang yang mendakwakan datang sekalipun dengan jemputan al-Marhum Sultan Abdul Samad, tetapi adakah al-Marhum Sultan Selangor itu berjanji akan memberi hak di belakang hari?
Kita berkata bahwa bangsa-bangsa asing itu datang ke sini semata-mata berahi diruntun oleh kekayaan dan kemakmuran negeri ini, sebagaimana boleh diukur dari peri kedatangan mereka.
Bolehkah orang-orang yang datang ke sebuah negeri dengan membawa kain sehelai sepinggang atau bantal buluh dikatakan datang hendak membuka negeri orang?
Kita boleh berkata lebih jauh bahwa undang-undang tanah dan lain-lain perkara yang berjalan di dalam Kelantan misalnya disangka menghalang bangsa luar hendak bermaharaja-lela di sana, tetapi bangsa luar masih datang hendak membuka negerikah?
Lagi satu, berapa banyak orang-orang luar yang telah dihukum buang atau dihalau oleh mahkamah negeri ini dan sekalipun mereka sedar bahwa mereka akan bertunang dengan penjara seumur hidup juga, mereka balik. Tetapi mereka datang juga. Mengapa?
Hendak mendatangkan kekayaan untuk negeri Melayukah?
top |