Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 9 Jan 1932, p.5

Editorial.

Bahasa Kita Melayu.

Sungguh pun bahasa kita Melayu masih tercicir jika dibanding kepada bahasa bangsa-bangsa yang telah berkemajuan di muka alam ini. Tetapi kita harus berharap mudah-mudahan bahasa kita juga akan berjalan beransur-ansur menyamai kemajuan kita.

Tidak ada halangannya perkataan-perkataan baru mana-mana yang perlu untuk bahasaan kita pada suratan mau pun pada pertuturan datang menambah lepas satu, satu perkataan lagi dengan meminjam bahasa lain ataupun mereka perkataan baru apabila sahaja dipersetujui dan munasabah pada pemandangan ramai.

Sebenarnya, anak-anak kita yang akan menjadi putera bumi Semenanjung di dalam kurun yang akan datang akan berkira sendiri menambah dan mengatur bahasa mereka itu apabila mereka merasa wajib padanya untuk pergunaan mereka pada zaman itu.

Tetapi tidaklah pula patut bagi kita berdiam diri sama sekali pada zaman kita ini. Bahkan, patutlah kita memandang bahwa satu daripada kewajipan kita pada zaman ini mestilah memulakan langkahnya sekadar yang munasabah pada zaman kita. Langkah mana akan diulas pula oleh anak-anak yang di belakang kita hingga menepati kehendak mereka itu pada bahasa.

Penulis-penulis yang tidak bersenang hati di dalam Saudara sedikit masa dahulu, atas ejaan Melayu yang tidak berfaedah dan yang memang bersalah-salahan itu patut menerima pujian, walaupun fikiran mereka yang bernas itu belum dihargai bangsanya. Tetapi Inshallah fikiran mereka itu tidak akan kekal tertinggal pada tulisan sahaja, malah masanya telah hampir dan perubahan ejaan kita akan datang sendiri.

Kita khuatir menokok fikiran itu kerana beberapa sebab yang kita fikir belum patut dihuraikan. Tetapi wajiblah kita berkata bahwa kita akan menyertai fikiran-fikiran yang demikian itu bila-bila masa asal perubahan itu daripada yang baik kepada yang terlebih baik, dan lain-lain seumpamanya.

Sementara itu, kita wajib berseru mengajak penulis-penulis kita mengubah susunan rencana atau karangan, sebagai langkah yang pertama pada zaman kita ini yang mustahak tidak pula kurang dari ejaan itu.

Penulis-penulis di dalam suratkhabar-suratkhabar itu ghalibnya memulakan rencananya dengan pendahuluan yang panjang di dalam mana peribahasanya kuno akan mengambil bahagian seringkas-ringkasnya penulis-penulis itu akan meminta maaf lebih dahulu kemudian mengaku kononnya mereka tidak atau belum biasa mengarang, belum pernah masuk ke gelanggang, karangan janggal, banyak tak kena dan lain-lain seumpamanya dengan maksud merendahkan diri istimewa pula pada penghabisan karangannya, jarang-jarang atau tak pernah pula penulis-penulis itu lupa menyebut merebahkan kalam dan minta maaf kepada pembaca-pembaca, terlebih lagi kepada Pengarang, kerana ruangannya, dan lain-lain lagi yang semuanya akan menghabiskan masa dengan sia-sia. Jangan disebut gaya atau gurindam karangannya yang semata-mata hanya umpama menjual kelapa tebal sabut.

Boleh jadi karangan-karangan yang demikian itu terpuji pada zaman tiga atau empat puluh tahun dahulu, sebelum orang-orang kita Melayu tahu yang bumi ini bulat. Tetapi pada zaman sekarang karangan-karangan yang sia-sia itu tidak akan dipuji orang-orang lagi.

Zaman dahulu orang-orang Melayu memang memuja karangan-karangan yang panjang gurindamnya, tetapi zaman sekarang orang meneliti isinya, lain tidak.

Kita masih ingat Warta Malaya Singapura sedikit masa dahulu meminta dengan keras kepada penulis-penulisnya supaya meringkaskan karangan-karangan dengan susunan yang kemas dan tepat kepada tujuan. Maka permintaan itulah juga kita ulas dan kita halakan pula kepada penulis-penulis kita yang dikasihi.

Moga-moga pada masa yang akan datang penulis-penulis kita suka mengikhtibarkan yang membawa kita kepada satu anak tangga kemajuan lagi.

Lebih jauh, Warta Malaya meminta bahwa perkhabaran-perkhabaran yang dikirim untuk disiarkan itu mahulah semata-mata perkhabaran yang bersih daripada fikiran atau bahas kerana fikiran-fikiran itu memang disediakan ruangan yang lain. Maka permintaan itulah juga kita ulas untuk ingatan penulis-penulis kita.

Perubahan karangan yang kita kehendaki itu adalah kira-kira seperti berikut:

1. Ringkas.

2. Kemas.

3. Menuju kepada bahas.

4. Jangan mengandungi cerca.

5. Jangan disulam dengan gurindam merendahkan diri sebagaimana sebutan yang telah lalu di awal atau di akhirnya.

6. Perkhabaran hendaklah bersih perkhabaran sahaja.

7. Apabila berbahas, jangan meleter-leter keluar dari muncung bahas.

8. Tiap-tiap karangan hendaklah disudahi dengan tarikh dan tempat penulis seperti "Kuala Lumpur, 28 Disember".

9. Hendaklah bersih dari menyinggung diri orang yang ditentang.

Sungguh pun telah ada di antara penulis-penulis kita yang mengarang sebagaimana yang kita kehendaki. Tetapi masih banyak yang tidak. Atas ini dengan hormatnya dipinta penulis-penulis itu mengiktibar perubahan yang disyorkan di atas yang semuanya untuk faedah kita bersama. Kemudian daripada itu kita boleh berharap yang karangan-karangan dan buah fikiran penulis-penulis bangsa kita akan bertambah-tambah bernas.

Wassalamualaikum wa-rahmatullahi.