![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 28 Jan 1932, p.8
Leader Article.
Buah Fikiran dan Surat Kiriman. Nasib sebuah Negeri dan Anak Negeri.
Adapun nasib sebuah negeri itu bergantunglah kepada keadaan tanahnya iaitu ada mengandungi isi yang baik seperti emas, Perak, bijih timah, arang batu dan sebagainya.
Kalau ada benda-benda ini, tentu sahaja termashyur namanya di seluruh dunia. Sebab apa? Ialah ada gunanya dan besar penghasilan kepada negeri itu. Maka keduanya tanah-tanahnya elok subur dan elok perdiriannya ((rata)), tidak kegunungan dan berbukit-bukit. Iaitu senanglah anak negeri membuka tanah persawahan. Kebun dan kampung halaman serta mudahlah membaikkan hidup-hidupan.
Maka jadilah negeri itu negeri yang makmur dan kaya dan termegahlah namanya di seluruh alam ini. Oleh itu terdirilah beberapa tempat yang berguna seperti College, Sekolah Tinggi, Rumah Pertukangan dan Rumah Perniagaan yang besar-besar.
Kerana tempat-tempat yang elok dan rata itu boleh dijadikan bandar dan rumah-rumah yang hebat dan cantik dan di sanalah diperbuat beberapa jalan raya dan keretapi dengan perbelanjaan yang sedikit. Manusia yang datang melawat ke negeri itu menarik hati dan perkenan. Kadang-kadang hawa kesihatan badan terlalu baik.
Pahang, sungguh pun sebuah negeri yang besar ataupun boleh dipanggil "benua Pahang", ((atau benua Pam, kata seorang penulis di dalam Dewasa bilangan 19 tahun 1931)), dalam Semenanjung Tanah Melayu ini.
Tetapi Pahang belum terbuka benar kepada pihak kemajuan di atas serba-serbinya. Lebih-lebih pula di dalam masa meleset ini segala perkara tertahan dan tergalang.
Lihatlah dengan 1926 sudah kejadian suatu bahaya bah yang teramat besar dan beberapa banyak kerugian dan kehilangan harta benda dan nyawa hidup-hidupan dan beberapa jalan kemajuan terbantut. Kemudian pada tahun 1929, telah jadi bah yang kedua pula. Sungguh pun bah 1929 itu tidak berapa besar, tetapi anak-anak hilir Pahang ada menanggung kesusahan dan kerugian juga.
Hatta pada 16.12.31, sehingga 20.12.31, itulah masanya anak-anak sungai Pahang memenuhkan airnya. Maka terjadilah bah bilangan yang kedua besarnya daripada tahun 1926 itu. Kerugian dan kesusahan anak-anak tepi Sungai Pahang merasalah waktu itu. Sungguh pun agaknya kerugian kerajaan seperti jalan keretapi dan jalan raya tidak begitu banyak seperti tahun 1926.
Akan tetapi tentang kemajuan anak-anak negeri di tepi Sungai Pahang, tersangat tergendala. Demikianlah pula beberapa keelokan dan kecantikan kebun-kebun dan taman-taman Sekolah Melayu tempat pandangan dan tauladan anak kampung telah dijahanamkan oleh bahaya bah itu. Maka guru-guru semasa bah itu tentu sekali tidak berasa menentang hati kerana menyelamatkan jiwanya dan perkakasan sekolah dan rumahnya; dan bila surut airnya pula hati guru-guru dan murid-muridnya telah menanggung penat jerih bekerja membasuh sekolah, rumahnya dan membuat kebun dan taman bunga yang baru ((bongkar semula)).
Inilah nasib negeri ini dan anak negerinya berlainan benar seperti di Selangor, di Melaka, Negeri Sembilan, di Singapura dan lain-lain itu.
Nasib negeri ini tidak hendak diadukan kepada siapa-siapa melainkan di dalam rahsia Tuhan seru sekalian alam sahaja yang mengetahuinya.
Di dalam begitu pun marilah kita memandang balik kepada keadaan tanahnya yang luas itu dan masih diliputi oleh hutan rimba raya lagi itu dan tempat perhimpunan segala binatang-binatang liar dan buas-buas itu.
Di Pahanglah lagi tempat yang senang berburu rusa, kijang, dan harimau, gajah dan menembak segala burung-burung bangau di mana sahaja kita berjalan, adalah kesan-kesan binatang-binatang liar itu.
Maka buah-buah kayu hutan masih mewah benar di dalam hutan negeri ini, dan barang-barang hutannya tidak sedikit kalau dikerjakan, iaitu boleh mendatangkan keuntungan dan kekayaan kepada orang-orang yang suka membuat dan mengusahakannya.
Begitulah!! Jika kita berjalan dan bertanya-tanya orang di dalam negeri ini.
Oleh itu, tidak hairanlah kita memandangkan nasib anak negerinya melainkan nasib segala kayu-kayu dan tanahnya masih baik lagi, tidak dirosakkan oleh orang akan dia. Tanahnya tidak bergaduh sakit digali atau dijijak oleh manusia; kerana menjadikan sawah dan kebun serta lombong.
Maka kayu kayan bersenang hati tidak kena bahana oleh kapak dan beliung. Begitulah ketuntungan makhluk yang dijadikan itulah Tuhan yang maha besar itu di dalam negeri ini.
Sekianlah kebaikan anak negeri kita di sebelah sini semasa sekarang dan tahun-tahun yang lalu itu. Pada masa akan datang bumi dan kayu kayan. ((Bersambung di halaman 8))
top |