Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 15 Aug 1932, p.6

Surat Kiriman.

Kekayaan itu menjadikan Lalai.

Ayuhai kaumku dan bangsaku yang dikasihi lagi dicintai selama-lamanya cubalah panang dan perhatikan baik-baik keadaan tanah kita Semenanjung ini dengan lain-lain negeri umpama Eropah, Amerika, India, Cina, Jepun dan lain-lain yang seumpamanya.

Maka dari sini dapatlah kita menilik dengan tilikan yang bermakna kepada kaum bangsa, kemajuan, kekayaan, kelalaian, kepantasan dan serba-serbinya.

Perhatikan dengan sempurna keadaan Semenanjung ini, iaitu tentulah kita dapati Semenanjung bertanah subur, segala jenis tumbuh-tumbuhan boleh bertumbuh dengan cukup sempurna. Isi negerinya tidak sebegitu ramai umpama negeri-negeri lain. Dan lagi hawanya cukup baik dan sihat. Maka itulah sebab kekayaan dan kecantikan negeri kita inilah yang menjadikan kaum bangsaku senantiasa dalam lalai dan leka serta masih tidur dengan nyedarnya ((sebesar-besar tuah, hanyalah negeri kita)) mereka tiada kuasa berusaha lebih daripada cukup makannya sehari-hari itu.

Mengapa jadi demikian fikiran mereka?

Inilah yang menyebabkan jadi seperti itu, katanya, jika aku tidak berusaha mencari makan dan wang pun dapat jua aku makan. Dan tidak pula menjadikah susah pada aku, kerana pada tiap-tiap masa pun boleh aku mencari nafkah dengan sedikit-sedikit untuk hidupku dan belanjaku.

Maka tentang fikiran ini sudah tertanam dengan kuatnya di qalbu tiap-tiap orang bangsaku, melainkan sedikit-sedikit sahaja yang tiada berfikiran seperti ini, barangkali telah mereka mengetahui bagaimana kelalaiannya yang telah dilakukan itu, lagi pula agaknya mereka telah mendapat didikkan yang sempurna dari sekolah-sekolah dan ibu bapanya serta dengan pandangannya sendiri. Itu pun belum ada sepuluh peratus yang mengetahui tentang kelalaian yang telah dilakukan mereka selama ini. Tiada syak dan waham lagi yang menjadikan kaum bangsaku menjadi begitu semata-mata ialah kekayaan negeri ini ((Semenanjung)).

Bangunlah hai kaumku yang dikasihi! Sedarlah! Pandanglah! Segala kekayaan negeri kita telah direbut oleh bangsa-bangsa asing-asing! Tidak insafkah kita???? Tidak sayangkah??? Marilah segala kita beransur-ansur berjalan ke medan kemajuan berusaha pada merebut kekayaan negeri kita yang telah dirampas oleh bangsa-bangsa asing itu.

Ha! Sekarang! Cubalah pula kita perhatikan bersama-sama bagaimana keadaan sesebuah negeri itu boleh maju?

Mudah-mudahan dapat pula kita mengikut jejaknya yang baik itu, umpama benua Eropah, Amerika, Jepun, Cina dan sebagainya itu yang telah kita ketahui sedikit-sedikit negeri-negeri ini tanahnya kurang subur; tambahan pula hawanya sejuk dan kurang sihat. Kedua-dua perkara ini yang menyebabkan beratus-ratus jenis tumbuh-tumbuhan tak boleh tumbuh dengan subur di sana.

Dan lagi, anak-anak negerinya ramai, maka oleh sebab inilah yang kehidupan anak-anak negerinya susah. Pendeknya, jika diperbuat sebagaimana kelakuan anak-anak Melayu di sini tentulah mereka akan berkepanjangan mendapat kebuluran, kemiskinan, kehinaan, kebodohan, dan ... dan...

Tetapi sememangnya pula mereka itu tidak berkelakuan seperti yang telah dinyatakan tadi, bahkan semakin panjang fikiran dan ikhtiarnya supaya bangsa-bangsa mereka itu hidup termasuk ke dalam golongan maju, usaha, kaya-raya, terpelajar ... dan ... dan ... dan tiada lain perbuatan yang boleh menyenangkan melainkan bekerja itulah semata-mata. Dari sebesar pekerjaan hingga sekecil-kecilnya pekerjaan, dari semulia-mulianya hingga sehina-hinanya, dari sehabis-habis senang hingga sehabis-habis susah pekerjaan dan lain-lain lagi pekerjaan yang dikerjakannya. Hingga menjadilah sebuah negeri yang maju, makmur, kaya dan sebagainya bagaimana seperti negeri-negeri yang kita ketahui masa sekarang.

Tauladanilah hai kaumku jalan yang cukup sempurna itu supaya dapat balasan baik itu di kemudian hari. Buangkanlah segera selimut kemalasan itu.

Disudahi dengan berbanyak-banyak maaf kepada sekaliannya. Was-salam.

Rose Affandi Setawar. 2.8.32.