Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 12 Apr 1930, p.1

Leader Article.

Sambungan Surat Terbuka.

Oleh Abdul Rahim Kajai.

Pemandangan di atas keunduran Melayu.

Sungguh pun dari beberapa masa yang lalu amat kita Melayu ini telah sedar bagaimana bahayanya himpitan dan tundasan bangsa-bangsa luar ((terutamanya oleh kaum yang selalu mendakwakan menjadi tulang belakang Semenanjung ini)) tetapi belumlah begitu hebat dan rata sebagaimana masa yang ada kita di dalamnya ini di mana pemuka, dan penganjur-penganjur kemajuan yang boleh juga dipandang sebagai utusan dari suara amatnya telah mengeluh tersedan-sedan menarik nafas yang amat panjang hingga terkadang-kadang ratap tangis yang boleh merayukan hati kaumnya ini menjelma menjadi pangkal dan punca rencana satu-satu dari akhbarnya di mana kepala rencananya seboleh-bolehnya dirupakan dan dijadikan sebagai suatu letupan yang terlalu hebat supaya menarik dan membangkitkan hati pembacanya.

Meski umat Melayu itu boleh dipandang sebagai suatu umat yang suka kepada pertengkaran, maka dibandingkan kepada ((1)) pertengkaran ulamanya di dalam hal yang berhubung dengan sunnah dan bidaah yang tak diharap akan bertemu dengan suatu kesudahan atau keputusan dan kepada ((2)) pemuka-pemuka kemajuannya di dalam hal yang berhubung dengan perubahan atau pergaulan hidup ataupun pelajaran di mana jarang-jarang benar atau tak pernah sama sekali bertemu dengan suatu persetujuan yang boleh dicontoh menurut secara harusnya seperti amat-amat yang berkemajuan di muka bumi ini yang demikian itu bolehlah dipersaksikan kepada syor-syor atau cadangan yang pernah terbit dari buah fikiran penganjur-penganjur atau pemimpin-pemimpin yang mana tidak dapat tiada adalah sahaja pembangkangnya yang a`nad [?] hingga kebanyakan atau kesemua syor-syor yang difikirkan berguna itu terpaksa ditinggalkan hingga menjadi hampa dan sia-sia.

Tetapi tidaklah pernah mereka itu tertengkar atau berbantah di dalam hal yang berhubung dengan kejatuhan kaumnya bahkan telah nyata dan tetaplah kejatuhan kaumnya dari kemuliaan kepada kehinaan dan dari kekayaan kepada kemiskinan yang boleh dimaknakan kepada kejatuhan umum di dalam pergaulan hidup yang mesti berjiwa dengan maruah dan pelajaran yang telah lenyap dari genggaman anak-anak bangsanya hampir-hampir tak disedari disembur oleh kaum pengaruh yang tiada berbudi dan yang tiada diharap boleh mehargakan jasa sekalipun budi dan jasa itulah yang telah menaikkan dia ke atas keunduran mulia dan kaya raya itu.

Apakah sebabnya kejatuhan ini sunyi dari puak pembangkang? Apakah sebabnya kejatuhan ini telah menjadi buah mulut dan telah diikrarkan oleh tiap-tiap lidah yang ringan menuturkan Semenanjung ini watan kami?

Seumumnya mulai dari kaum yang sehina-hina daripada mereka itu hingga sampai kepada kaum yang semulia-mulianya dan dari golongan yang sehabis-habis miskinnya hingga sampai kepada golongan yang sehabis-habis kayanya, malah kita dapati barangkali di sinilah sahaja amat-amat kita itu berdiri di dalam suatu ijtimak yang sunyi daripada ikhtilaf tidak lain, begitulah baktinya bencana racun yang amat biasa yang mampu liar dari sungai kepapaan ditunggak itu ke Tanah Melayu.

Kita tak hairan dan harus percaya jika soal kita di ke atas sebenar-benarnya disuakan tidak dapat tiada tiap-tiap anggota yang mengalir padanya walau setitik pun dari darah Melayu itu kelak akan mencuba sama serentak bahwa umat kami telah sedar dan sama-sama merasa kesakitan yang bercabul dari penyakit kayu araan yang berbahaya itu.

Ihya al-Kaum! Meski hak kita telah nyata dikayu-arakan atau dihari-rayakan orang tetapi adakah kita akan berputus asa dari suatu pengharapan? Marilah kita sama-sama kembali memperhatikan beberapa buah fikiran pendita-pendita kita yang telah sedia terdedah di dalam ruangan tiap-tiap akhbar yang berhubung dengan hal membaiki kerosakan asas perdirian kita itu.

Marilah kita sama-sama memperhambakan diri kepada tiap-tiap punca dan sebab-sebab yang boleh membaiki perhimpunan kaum dan watan kita yang akan dikemudikan oleh pemuka-pemuka dan penganjur-penganjur anak bangsa kita. Marilah kita mempersekutukan diri ke dalam tiap-tiap perhimpunan yang boleh dimaknakan kepada faedah umum yang akan diatur oleh ketua-ketua kita dengan apa kita berharap mudah-mudahan sekurang-kurangnya dapatlah kita menahan penyakit "kejatuhan" itu dari melenyak kita walau kena kita belum sempat menghapus dia sama sekali memadailah dahulu asal dapat ditahan setakat mana adanya mereka itu pada hari ini asal jangan semakin mara yang mana jika dibandingkan bencana lajaknya kemaraan mereka itu melenyap kita di dalam masa setengah kurun yang lalu nescaya dapatlah kita mengagak di manakah kelak perdirian dan kedudukan amat kita di dalam masa setengah kurun lagi tak usahlah diagak adakah amat kita kelak masih termasuk di dalam bilangan amat-amat yang menjadi pandai-bumi apabila perniagaan alam kita ini telah dilebarkan dan dihubungkan dengan alam al-Marikh ((Mars)) pada masa mana kelak lenyaplah pengharapan kita sama sekali.

Tetapi pada hari ini kita harus percaya bahwa kita masih di dalam suatu masa di mana kita masih di dalam pengharapan akan memperoleh suatu penawar yang boleh menyembuhkan. Kita harus percaya bahwa kita masih sempat merombak atau mewangi akar dan umbi kayu ara yang berbahaya itu tetapi terlebih dahulu mahulah dengan syarat setia kepada roh penawar yang diharap boleh menyembuhkan dia itu.

Setengah daripada roh penawar yang harus diharap ((menurut sekadar pemandangan Tuan rencana ini pada masa meneruskan dia ialah:

Akan disambung.