![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 26 Apr 1930, p.1
Leader Article.
Sambungan Surat Terbuka.
Sambungan Saudara Bilangan 81.
Keempat: Mahulah kita hidupkan perasaan tolong-menolong sama sendiri yang sememang tersimpul di dalam ikatan ugama kita dengan tali persaudaraan yang boleh menjadikan kita sekira-kira tubuh yang satu jua. Mahulah kita hapuskan sama sekali tiap-tiap sebab yang mendatangkan pecah-belah yang mesti menghilangkan persatuan dan menghilangkan timbang rasa dan maruah kebangsaan itu kerana tidak tersembunyi lagi kerana ketiadaan perasaan tolong-menolong dan kerana adanya pecah-belah itulah yang telah mencicirkan kita jauh di belakang dari sehari ke sehari hingga tertinggallah kita di belakang yang tiada belakang daripadanya di dalam pergaulan hidup di muka bumi Semenanjung yang dikatakan watan kita itu.
Adapun ((1)) tolong-menolong itu tidak akan berhasil melainkan dengan ((2)) kesatuan sedang kesatuan pun tidak akan berhasil melainkan dengan tolong-menolong. Dari sebab itu haruslah kita jadikan kesatuan itu tubuh yang satu dan tolong-menolong itulah jiwanya. Maka kekayaan, pelajaran, kesentosaan, kemuliaan, dan lain-lainnya itu hanyalah terhiasan baginya.
Terlebih dahulu dari adanya tolong-menolong dan kesatuan itu di antara umat kita marilah kita mengerti bahwa tolong-menolong dan kesatuan itu bukanlah sekali-kali perkataan kepunyaaan hartawan-hartawan sahaja, malahnya ialah kepunyaan hartawan dan kaum miskinnya sama. Sesungguhnya perkataan tolong-menolong ini telah lama dikenali oleh umat kita, tetapi sayang sekadar kenal ada biasa tidak. Sebabnya ialah kesalahan kita sendiri iaitu sengaja tak mahu mengerti.
Perhatikanlah perkataan tolong-menolong itu, selama-lamanya dibesar-besarkan benar hingga dipandang dia sebagai suatu perkataan yang amat ajaib dan sebagai suatu pekerjaan yang sehabis-habis berat kerana pada sangka kebanyakan kita bahwa tolong-menolong itu tidak akan berhasil melainkan dengan wang ratus dan ribu yang mesti berat dan membahayakan kita. Begitulah diertikan terus kepada hari ini hingga berubahlah rupa perkataan tolong-menolong yang berbahagia itu seakan-akan telah menjadi seekor harimau yang berbelang hebat!
Ya! Usahkan bertentang mata dengannya, hingga mendengar suaranya pun menggeletarlah anggota kita. Maka di mana-mana perhimpunan atau pergaulan yang disangka ada padanya perkataan tolong-menolong itu berlumba-lumbalah kita lari menjauhkan diri daripadanya hingga sampai sekira-kira tidak kedengaran suaranya lagi.
Sekarang marilah kita mengerti. Marilah kita pandangi seakan-akan bintang yang menerangi. Marilah kita gunakan cahayanya bagi menerangkan jalan-jalan kita yang di dalam gelap gelita itu. Marilah kita artikan dia dengan perkataan yang sehabis-habis ringan yang tidak sekali-kali bermakna kepada ratus dan ribu dan tidak sekali-kali berkehendak kepada modal.
Maupun seseorang mengeluarkan beribu-ribu ringgit kerana membantu seseorang saudaranya itu bermakna tolong-menolong jua, tetapi bukanlah tolong-menolong sesama sendiri yang kita kehendaki.
Adapun tolong-menolong yang kita kehendaki dan kita mesti berhajat kepadanya itu ialah barang yang tersimpul di dalamnya tiap-tiap perasaan kebangsaan iaitulah satu:
Tolong-menolong yang kita tidak Berkehendak kepada balasan.
Dan tidak sekali-kali akan membangkitkan umpat dan tempelek atau sesalan di belakang hari sebagaimana kesudahan tolong-menolong yang ada di dalam bahaya ratus dan ribu yang selalu kita dengar memutuskan persahabatan yang akrab dan memutuskan silaturahim di antara saudara dan saudaranya, malahnya membangkitkan permusuhan dan adwah [?] yang berpanjangan.
Ya! Sudah tolong-menolong ratus dan ribu yang mesti dibayar balik atau dibalas kembali lebih daripadanya atau sekurang-kurangnya seumpamanya jika tidak nescaya ada-ada sahaja yang akan menimbulkan sualtafahum ((jahat sangka)) dan menyakitkan hati salah satu atau kedua-dua pihaknya sekali ((si penolong dan si kena tolong)) tidakkah begitu?
Sesungguhnya haruslah kita tak usah berhajat kepada tolong-menolong yang demikian. Marilah kita tolong menolong dengan yang lain daripadanya yang kita sekali-kali tidak berhajat kepada suatu balasan hanyasanya balasannya sendiri mengalir kembali kepada kita sama kita. Apakah dia? Iaitulah:
Membaikkan perniagaan kaum kita yang masih tertinggal sedikit-sedikit di kaki-kaki lima atau di sudut-sudut rumah perniagaan kaum pengaruh di bandar-bandar Semenanjung ini terutama sekali perniagaan yang berhanyutan dipukul gelombang dan taufan perniagaan bangsa asing hingga terselit melarikan diri ke dalam kampung-kampung dan dusun-dusun yang disangkat ada keselamatan. Di situ itu pun masih diburu dan dihimpit dan dihasut oleh kaum pengaruh yang tiada berbudi itu mau pun tertentu ke dalam kawasan yang dikatakan kampung Melayu atau Malay Reserve itu hingga jadilah kita pada hari ini seakan-akan rusa diburu harimau.
Kita tidak meminta tolong-menolong kepada kaum kita supaya mengadakan modal yang banyak, tetapi kita meminta hanya "perasaan tolong menolong yang ada di dalam dan boleh didapati dengan membiasakan membeli di kedai bangsa sendiri". Tidak syak lagi faedahnya!
Ayuh! Marilah kita usung, hasut, berangsangkan, gembirakan, girangkan kaum kita dengannya rata-rata pegawai-pegawai yang boleh berhubung supaya anak bangsanya, Datuk-Datuk Penghulu Mukim, Ketua Kampung, Ketua Bendang, kepala satu-satu perhimpunan, jika tidak akan memulakan sendiri, haruslah menasihatkan anak-anak bangsanya di mana-mana dan bila-bila masa ada peluang supaya membiasakan membeli di kedai bangsa sendiri, bahkan haruslah kita menasihatkan anak-anak kita yang masih kecil itu hingga jika akan suruh membeli sekotak mancis sekalipun, supaya bertumbuh perasaan tolong-menolong itu dengan suburnya.
Kita tahu bahwa kedai-kedai Melayu itu belum mendapati bagi hajat atau kefardhuan kita tetapi kita percaya apabila perasaan membeli di kedai bangsa sendiri itu telah hidup, insha´Allah akan berbuat-buat juga kaum kita membuka kedai dengan barang-barang yang dikehendaki hingga tidaklah akan mengendalakan mereka itu memesan barang-barang dari apa jua jenisnya hingga jika akan dipindahkan barang-barang yang ada di dalam pasar London itu sekalipun.
Kita ketahui juga bahwa sebab-sebab yang telah memejalkan hati anak-anak bangsa kita membeli di kedai bangsa sendiri itu:
2. Barang-barangan yang lapuk.
3. Bungkusnya tak memuaskan hati.
Tetapi semua perkara kecil sahaja yakni boleh dibaiki dengan sekejap mata, asal kita ikhlas memberi sedikit nasihat sedang di kedai-kedai bangsa asing pun mesti kedapatan begitu melainkan harga tinggi kerana sekatinya 13 tahil ((kadang-kadang)) dan bungkusnya elok kerana mahirnya sahaja.
Ya al-Qayyum! Hendaklah kita ingat bahwa membeli sesen di kedai bangsa sendiri itu artinya:
Dan membeli di kedai bangsa asing itu artinya kerugian kita bersama dan itulah juga. Lintah racun yang amat bisa yang akan menghisap darah anak-anak bangsa kita.
Marilah kita bandingkan misalnya seorang Melayu mesti membelanjakan harta paling dibahunya, katalah 30 sen sehari. 9 ringgit sebulan. Katalah perniagaan itu berfaedah 10 persen. Jika sebuah kampung itu mempunyai penduduk katalah 100 kepala sahaja. Bukankah mereka itu mesti membelanjakan 900 ringgit sebulan yakni sudah terang 90 ringgit faedah atau untungnya. Jika faedah itu kembali kepada anak-anak bangsa kita bukankah seolah-olahnya kita telah membantu kehidupan sekurang-kurangnya 3 saudara kita sendiri?
Iktibarlah wahai kaumku inilah bantu-membantu atau tolong-menolong yang kita merada di dalam tulisan ini yang sekali-kali tidak berkehendak kepada ratus dan ribu. Tetapi jika faedah yang kita sebutkan di atas masih akan dikaut juga oleh bangsa-bangsa asing itu dari hari ini tak syak lagi tak berapa lama lagi akan sampailah masanya di mana kita akan ditelan bulat-bulat oleh kaum pengaruh itu.
Tetapi apabila kita sedar bahwa membeli di kedai sendiri itu artinya faedah umum dan membeli di kedai bangsa asing itu kecelakaan. Insha´Allah tak berapa lama lagi akan kita dapati kedai-kedai yang lengkap di mana-mana sahaja dijalankan dan dikemudikan oleh anak-anak bangsa kita dengan rapinya dari satu tangga ke satu tangga hingga sampai kita akan melihat kilang-kilang dan ketukangan kebangsaan dengan ((Si-Anu Engkau Limited)) hingga terpaksa didirikan sebuah "Malay Chamber of Commerce" bila? Di mana?
top |