Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 22 Aug 1932, p.5

General Article.

Semenanjung dan Kebangsaannya.

Oleh Abhi.

Serata dunia menjaga kepentingan rakyatnya di negeri masing-masing terutama di tanah Eropah yang sebagai pembesar alam ini masing-masing negeri di Eropah kaum modalnya. Eropah telah menebarkan modalnya ke seluruh alam bagi muslihat kemegahan dan keuntungannya.

Tetapi masing-masing lagi berpecah walaupun Majlis Persatuan Eropah dan serba bangsa di dunia berkali-kali mengajak Eropah bersatu, masih belum tercapai, terutama buah fikiran Mr. Brian, Ahli Politik Perancis yang telah meninggal dunia beberapa bulan sudah.

Tetapi Eropah masih berpecah-pecah lagi sebab masing-masing menjaga kepentingan kaum modalnya di Geneva selalu berniat hendak mencari perdamaian tidak berhenti-hentinya Persekutuan Bangsa membahaskan tetapi dunia masih berkacau bilau jua selang di Timur Jauh pertempuran senjata masih bangkit. Begitulah caranya dunia ini dijadikan Tuhan.

Sekarang apalah pula pandangan kita pada Semenanjung dan kebangsaan?

Tidakkah Semenanjung ingin aman, ingin berdamai? Ya! Tentu Sahaja!

Tetapi amboi, kenanglah peruntungan nasib anak negerinya!!

Selagi suratkhabar Majlis ini membukakan dadanya bagi rencana saya, maka lajaklah jua pena saya buat mengeluarkan kenangan dan kesedihan hati saya yang tak akan orang gemar membaca dan memahamkannya, apa boleh buat!!

Saya sudah berkata negeri ini teramat cepat dibuka sedang orang-orang Melayu masih di dalam hal yang amat picik, walaupun dibuka beberapa luas kebun, dikorek beberapa luas lombong bijih, dijalankan beberapa buah kilangan berpusing tiap-tiap minit dan dibuatkan beberapa buah pekan pesara Orang Melayu tidakkan mengambil faedahnya barang sedikit pun. Hanya untuk mendatangkan keuntungan si bangsa asing sahaja.

Sebab orang-orang Melayu tidak mempelajari menggunakan tiap-tiap sesuatunya. Orang-orang Melayu dibiarkan sahaja berhidup di dalam hal kekarutan, kekusutan lama, saya tidak menyalahkan sesiapa pun itu sebagai nasib dan untung orang-orang Melayu kebangsaan Semenanjung ini bumi orang-orang Melayu tidak sekali. Akan tetapinya tampaknya perkataan Semenanjung negeri Orang Melayu sebagai sebuah perkataan yang telah hilang semangat tidak berjiwa cetek ejek bangsa-bangsa Timur asing sahaja dengan membukakan tarikh palsu. Hal kedatangan mereka itu ke alam Semenanjung ini kerana merekalah yang kaya raya di situ telah masuk bilangan kaum modal.

Sedang nasibnya orang-orang Melayu makin beransur arah ke tepi hingga mana semakin tertindih terdesak dari semasa ke semasa kerana masih jua berhidup di dalam hal zaman kekarutannya dan takut kepada segala apa kejadian alam yang baru.

Tidak ada pemimpin-pemimpin yang hendak membukakan mata kebangsaan kita kesudahannya bangsa-bangsa kita bertambah merana hidupnya hilang tanda-tanda kebangsaannya. Siapakah yang membiarkannya?

Jawabnya, ada di hati tiap-tiap pembaca yang dermawan dan bersehaluan dengan saya. Orang Melayu jua membinasakan kaum bangsanya.

Sekarang sampailah masanya kita mengenangkan nasibnya kaum kita dengan kenang-kenangan yang sehabis-habis hina pembaca yang telah berasa bersedih sebagai saya tentulah telah tahu pahit maungnya kesedihan yang demikian kerana dengan tak sedar sedang bercakap atau membaca air matanya ke tepi ....

Wahai bangsa wahai tanahair! Malangnya nasib bumi putera kebangsaan Semenanjung tidak dapat dikenangkan negerinya terbuka maju hidupnya porak peranda adalah seperti peruntungan nasibnya. Cerita Pak Kadok, ayamnya menang, kampung tergadai.

Begitulah hal kita kaum-kaum Melayu, barangsiapa siasat daftar banci tahun masehi 1921 dan 1931 tentu menggeletar tubuhnya apakala membandingkan keramaian tiga jenis bangsa di Semenanjung, iaitu Cina, Keling, Melayu hanya yang boleh dikata bernasib baik kelima-lima buah negeri tidak masuk bersekutu dan sebuah negeri bersekutu iaitu Pahang, masih ramai anak negeri jati enam buah negeri itu berasa sambung biarlah dia tinggal hutan rimba sementara menanti orang-orang Melayu ini bertambah bilangannya.

Bertambah sedih masa ini mengingatkan adalah kaum Melayu telah jadi kaum terjajah diperhambakan oleh kaum modal iaitu Timur Asing ((Cina dan Keling)) sememangnya kaum terjajah itu akan bernasib miskin sebab modalnya digenggam orang nyawanya kuasai orang, jadi kita orang-orang Melayu kelucutan hak.

Hanya hak-hak kita bergantung pada kekuasaan negeri sahaja, iaitu bagi negeri-negeri yang masih mempunyai rajanya, ketetapan hati bergantung pada pemerintah Inggeris, memperlindungkan keselamatan kuasa Raja-Raja Melayu dan dari kekuasaan Raja-Raja Melayu dan dari kekuasaan Raja-Raja Melayu diharapkan memperlindungkan hak rakyat negeri iaitu kebangsaan Melayu yakni memperlindungkan perusahaannya, perekonomiannya, jangan berlaku sebagai yang silam negeri ini dibuka dengan seluas-luasnya semaju-majunya untuk pengisi kantung bangsa asing anak negeri bernasib malang dengan sehabis-habis malang.

Amboi pembesar-pembesar kaum-kaumku! Insaflah dan tangiskanlah!

Di awal rencana ini telah dinyatakan tiap-tiap negeri sebagai mendirikan kota keselamatan untuk kepentingan umat dan kaum modal masing-masing supaya jangan terancam oleh musuh-musuh dari luar. Apa jadi di Semenanjung, ya Allah! Dari selapis ke selapis, kota keselamatan kaum kita untuk menjaga hak bangsanya makin terbuka dengan lemah lembut bunyinya. Wahai begitulah nasib kaumku yang terjajah ini!!

Tetapi dengan sepenuh-penuh kepercayaan akan pembesar-pembesar kita dan membina kota yang aman sentosa.

Berlinang-linang air mata saya tatakala saya membaca Majlis bilangan 66 Tuan Pengarang berkenaan dengan Malayan Civil Service itu, akan terbuka bagi Asiatic yang terzahir di Semenanjung ini bagi pemerintah Negeri Selat.

Cerita Pengarang Majlis itu memang mendukacitakan tiap-tiap umat Melayu berdarah kebangsaannya tulen, bukankah kaum kita makin terdesak jua?

Itukah maju kepada Orang Melayu?

Apakah pemerintah orang-orang Melayu yang akan datang?

Wahai kaumku Melayu! nasib kebangsaan Melayu menjadi kaum yang terjajah berdiri dengan sehabis-habis daif.

Bangkitkanlah persatuan lekas untuk mencari keselamatan bangsa menjaga hak-hak bangsa, mencari perdamaian, persetujuan, keamanan.

Saya mesti berkata lagi sehingga mana yang terupaya lamun kalau terbuka di dada Majlis ini untuk saya.

Salam Kebangsaan dari Saya.

Pahang. 18 August 1932.