Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 5 Apr 1930, p.1

Leader Article.

Sambungan Surat Terbuka.

Oleh Abdul Rahim Kajai.

Sambungan Saudara Bilangan 80.

Pertama, dan yang terutama sekali: mahulah kita berhenti dan undur menarik diri dari menuduhkan dan menyalahkan atau semata-mata mengharapkan limpah kurnia kerajaan dan pembesar-pembesar kita sebagaimana yang telah lalu di mana selalu kita dapati tempelek dan rungutan di atas mereka itu kerana tidak tersembunyi lagi bahwa kerajaan kita sedia memang membukakan pintu-pintu kemuliaan dan telah sedia mengatur tangga-tangga kemajuan itu di hadapan kita dan kepada sesiapa sahaja yang bersungguh-sungguh berkehendakan dia bukan sahaja dengan peraturan sama rata tetapi hingga sampai anak-anak kita dipandang atau dilebihkan daripada bangsa asing itu. Padahal kita masih tertinggal di belakang sahaja.

Kerana yang demikian sememang nasib mereka-mereka yang mengharapkan belas kasihan orang. Kita tak bersetuju menyalahkan doktor-doktor negeri kerana berbangkit percabulan cacar atau cholera sekadar membanding penyakit pekerjaan yang diamanahkan kepada mereka itu sahaja. Kita tak bersetuju menyalahkan doktor sekadar membanding penyakit kita yang bertambah tenat itu. Jika kita hanya bergebar tebal di rumah sahaja meski akan sampai ajal dan maut sekalipun haruslah kita menyalahkan diri sendiri dan tiadalah seorang jua pun harus disesalkan.

Sebaik-baiknya kitalah yang terutama menjaga diri sendiri terlebih dahulu dari jagaan doktor-doktor itu yakni mahulah kita terlebih dahulu memulakan pergerakan bagi membaiki dan menawar penyakit-penyakit kesempitan kita itu terlebih dahulu daripada kita pohonkan bantuan atau sokongan dari Raja-Raja dan Pembesar-Pembesar kita atau katalah terus dari kerajaan kita.

Kedua: mahulah kita berhenti dari menyalahkan dan mengumpat hartawan-hartawan kita sebagaimana yang telah lalu di mana mereka itu selalu sahaja dibakhilkan menurut kemahuan lidah masing-masing kerana tidak tersembunyi lagi bahwa tiap-tiap hartawan kita telah pernah membantu dan terkadang-kadang memodalkan anak-anak bangsanya, tetapi hanyalah dengan suatu kesudahan yang harus di umpat dan menyedihkan hati hingga jarang-jarang benar atau belum pernah sama sekali pihak yang dibantu itu meninggalkan bekas yang harus dicontoh.

Sebaik-baiknya kitalah membantu diri kita terlebih dahulu dari bantuan-bantuan hartawan-hartawan kita itu, yakni kitalah menghimpunkan wang derma bagi perbelanjaan ubat penyakit kita ini terlebih dahulu daripada kita pohonkan bantuan dari hartawan-hartawan kita.

Ketiga: mahulah kita membaikkan perdirian kita di dalam golongan perniagaan negeri. Benih-benih yang sangat mustahak ini mahulah kita semaikan ke dalam dada anak-anak kita yang masih di dalam sekolah itu. Hendaklah kita cari dan usahakan apa-apa ikhtiar yang patut yang boleh dicambahkan dengannya benih yang berbahagia ini yang kita harap akan tumbuh dengan suburnya pada masa yang akan datang.

Hendaklah kita tebas tebang semula rimba-rimba yang telah bertambah benar di dalam dada anak-anak kita yang menghala kepada satu haluan makan gaji sahaja supaya adalah di dalam taman kehidupan kita bermacam-macam tumbuh-tumbuhan setengahnya haluan makan gaji setengahnya haluan berniaga setengahnya pula bercucuk tanam, dan lain-lain lagi, kerana tidak tersembunyi lagi bahwa kita tidak berhaluan melainkan ((belajar sekolah hendak makan gaji)) sahaja yang mana bolehlah dipandang sebagai satu daripada sebab-sebab kejatuhan kita juga.

Menyemaikan benih ini tidaklah akan berhasil jika tidak dengan tangan guru-guru sekolah kita yang ada di seluruh Semenanjung ini. Syarikat kanak-kanak sekolah yang masih berjalan di dalam sebahagian kecil dari sekolah-sekolah kita itu patutlah diluaskan dan patutlah dijadikan contoh oleh sekolah-sekolah yang belum mengadakan dia supaya dapat kita galakkan dan supaya dapat kita bangkitkan hati anak-anak bangsa kita kepada perasaan yang boleh meninggikan mutu bangsa kita di dalam pergaulan hidup yang semakin lama semakin sempit dan semakin banyak pengaruhnya itu.

Akan disambung.