![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 30 Aug 1930, p.4
General Article.
Kaum Melayu Tak Jaya Muafakat.
Bahawasanya tiadalah tersembunyi dan terselindung agaknya kepada pemandangan Tuan-Tuan yang ariffin malah tidak akan alpa dan lalai kiranya siasah terbayang-bayang juga di mata hati kita masing-masing di atas segala hal keadaan perdirian tentang kemajuan kaum kita Melayu yang masih tertinggal jua di belakang bangsa-bangsa lain di dalam perlumbaan mengejar ke padang kemajuan.
Sedanglah rancaknya pendita-pendita dan pembuka-pembuka kita berhemah tinggi berseru dan merencanakan buah-buah fikirannya dan mengaturkan satu persatu atas jalan kebajikannya, persetiaan dan lain-lain di mana-mana halaman suratkhabar-suratkhabar dan majalah-majalah supaya kaumnya mendirikan maruah, menghamburkan tulisan ikhlas, mengukuhkan tali muhibbah, menyerukan pelajaran, ugama, membantingkan berbagai-bagai syor, menggalakkan kewajipan, memberangsangkan kebulatan muafakat, menyuruh bersyarikat pada bantu membantu tolong menolong dan lain-lain sebagainya kerana menunaikan bidalan "bulat air kerana gopong, bulat manusia kerana muafakat, tuah tanam-tanaman kerana baja", banyaklah misalan yang lain lagi Tuan-Tuan pun telah sedia maklum.
Tetapi hanya semacam mencurahkan air di dalam daun keladi sahaja! Apa tidaknya, mana yang sudah jadi dan jaya baik seperti kemajuan bangsa lain-lain bangsa itu?
Bahkan dicuba jua pada mendirikan beberapa persekutuan di mana-mana pekan dan kampung dengan berlangkah bertatih, maka setengahnya ada jua yang tegap perdiriannya oleh kerana keteguhan tiangnya dan kekuatan sokongnya. Maka hiduplah ia dengan panjang umurnya tetapi yang kebanyakannya belum pun sempat merasa madu kemanisannya sudahlah tumbang dengan simpang perintang tak tentu hilir mudiknya. Ahli-ahlinya pun mengikut haluan masing-masing melainkan yang tinggal namanya jua.
Sampailah bak seperti bidalan "setahun kemarau panjang kerana hujan sehari", habis liput teluk dan rantau. Maka kejadian yang demikian ((tumbang)) itu tidaklah pula boleh pelik dihairankan sanya oleh tersangat kuat diruntun oleh Cina-Cina kami berkenaan dengan hal itu di halaman "Saudara" ini. Maka mendahuluilah kami minta maaf kepada Tuan-Tuan Pembaca yang budiman. Jika ada apa-apa salah silapnya kerana kami ini bukanlah ahlinya pada tentang karang-mengarang hanya oleh kerana ingin rasanya hendak menumpang bersalam-salam melafazkan fikiran. Maka berteganglah kami kepada bidalan yang mengatakan "tak pecah ruyung di manakan dapat sagu", dan "takutkan salah tak dapat benar", sedemikian jua seperti tanaman-tanaman yang subur tetapi jika diulang-ulangi dengan siraman yang bersih tentu bertambah-tambah subur bukan! Setelah itu berkatalah kami:
Bermula sebab-sebab kejatuhan dan keciciran kaum kita ke belakang itu ialah tidak semuafakat, tidak bersatu hati, tidak amanah, tidak bersamaan rundingan, tegasnya lain orang lain tujuan fikirannya. "Kepala sama hitam pendapatan masing-masing".
Maka dengan bidalan yang sekomen ini hilang luputlah kepercayaan mereka itu di antara satu dengan lain.
Bahwa pada perasaan kami adalah kejadian yang demikian itu digalang oleh tiga alangan yang sebati kerat teguhnya:
Yang pertama, ialah benih keturunan anak-anak Melayu di Semenanjung ini tidak sebangsa: ada yang daripada Minangkabau, Bugis, Jawa, Arab, Hindi, Cina dan lainnya.
Oleh itu masakan boleh bercantum jadi seberkas fikiran mereka yang bermacam-macam keturunannya itu. Kerana tiap-tiap benih itu tiada sekali-kali baginya mengubah rupa, tabiat dan adat dan lainnya.
Misalnya benih jagung ditanam dalam kawasan padi tak akan ia mengikut resmi padi! Jika demikian bilalah akan majunya kaum kita Melayu? Orang di negeri Amerika Syarikat yang telah maju sekali dalam dunia ini tidakkah keturunannya daripada berbagai-bagai bangsa? ((Ya! Tetapi umatnya bebas berfikir bukan tertonjol hidung mereka dengan tali taqlid buta. Pengarang)).
Yang kedua: anak-anak Melayu kebanyakan belum cukup pelajarannya dan belum sampai kepada rahsia-rahsia kejadian dan belum dapat dipadankan dengan sifat-sifat keadilan keinsafan kebetulannya pada menimbang rasa di atas perjalanan masa. ((Kita tak bersetuju kerana Melayu cukup insaf dan adil. Toh! Sabar! Pengarang)).
Yang ketiga: kebanyakan kaum kita Melayu ialah masih baru celik dan jaga daripada keturunan dan juga daripada ketiduran yang lena, bahkan baru sahaja dalam lebih kurang dua puluh tahun lamanya terhidang pelajaran dihadapannya; itu pun bukannya pelajaran tinggi, oleh sebab itu senantiasalah berbalahan fikiran cara tua dengan fikiran cara muda: pihak orang muda-muda menghela kepada kemahuannya, kemahuan yang mana supaya mengikut perubahan dan peraturan.
Di zaman kini, tetapi pihak orang tua-tua bukan sahaja tak suka mengikut kemahuan orang-orang muda itu, tetapi dia menarik lebih lagi kepada kehendaknya yang kolot itu juga. Maka dalam hal berkuat-kuatan tarik-menarik inilah maka terjadi berpecah belah fikiran hingga membantutkan persatuan itu. ((Tarikan kolot kepada taqlid buta tetapi tarikan muda kepada al-Quran. Pengarang)).
Syahdan, tiap-tiap penyakit itu adalah baginya ubat. Maka keadaan penyakit yang meredap semacam ini bergantunglah bomohnya kepada guru-guru! Sama ada guru-guru sekolah mau pun guru-guru yang mengajar cara ugama itu dengan bersungguh-sungguh menanamkan budi pekerti dan pengetahuan yang sempurna ke dalam otak atau ke dalam hati murid-murid yang sedang dilatih dan yang akan dilatih. ((Ya! Tetapi kita diajar taqlid sahaja. Pengarang)).
Kerana dari rebungnyalah dapat luntur mudah-mudahan beransurlah banyaknya fikiran bersatu itu. Dan fikiran cara tua mana yang tiada bersetuju atas kemajuan pada zaman tamadun ini akan tinggal dengan sendirinya.
Dan lagi, siapa-siapa yang telah menjadi ketua anak-anak Melayu dan juga penghulu-penghulu kampung hendaklah senantiasa memberi fikirannya yang berharga kepada orang-orang yang dibawahnya atau anak-anak buahnya, demikianlah adanya fikiran saya serta mendahului dengan banyak-banyak maaf kepada Tuan-Tuan Pembaca yang budiman dan berbanyak-banyak menerima kasih kepada Tuan Pengarang kerana ruangannya.
top |