Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 30 Aug 1930, p.8

Editorial.

Kemuslihatan Melayu.

Suatu pesara yang dibangunkan dengan nama "Persekutuan Ilmu dan Pertukangan Tanah Melayu", telah dibuka pada 8 Ogos di Raffles Hotel, Singapura, beserta dengan Tuan J.W. Harris menjadi sekretarinya sebagaimana sebutan di dalam keluaran kita pada 16 haribulan ini, maksudnya: Menghidupkan perusahaan dan pertukangan Melayu.

Di dalam keluaran kita hari ini dapatlah pembaca berita yang barangkali harus menyukakan hati tiap-tiap Melayu yang mana anuan "Pelajaran Tinggi bagi Anak-anak Melayu" tak syak lagi bahwa kerajaan Negeri Sembilan berniat akan membaiki perdirian putera-buminya dengan menggalakkan pelajaran ke Raffles College dan ke sekolah doktor di Singapura dari itu telah didirikan suatu jawatankuasa yang boleh diharap, maksudnya: meninggikan mutu Melayu.

Selain dari itu kedapatan lagi suatu anuan "Perusahaan Tanaman Padi di Tanah Melayu" beserta dengan jawatankuasa yang telah diangkat oleh Tuan Gabenur kita, maksudnya: menyelamatkan kebuluran Melayu.

Jika kita kembali sebentar kepada masa kira-kira lima atau enam bulan dahulu teringatlah kita kepada suatu jawatankuasa yang terdiri atau dibangunkan di Kuala Lumpur. Anuannya jika kita tak salah adalah "Committee menolong anak-anak Melayu mencari kerja", maksudnya: menolong kesusahan anak-anak Melayu.

Di dalam Federal Council, Yang Berhormat Datuk Sedia Raja Abdullah, Undang Rembau, bolehlah dikatakan tak pernah lupa mengemukakan masalah anak-anak Melayu di dalam jawatan kerajaan terutama sekali di dalam pejabat keretapi meski di dalam masa adanya perkataan "Pilihan Akan Diberikan Kepada Melayu", di dalam roh perjalanan kerajaan di dalam hal yang berhubung dengan jawatan, maksudnya: membantu Melayu.

Terlebih dahulu daripada itu Yang Berhormat Raja Sir Chulan Raja di Hilir Perak pernah menggalakkan jawatan "Pegawai Melayu" di dalam Federal Council, maksudnya: meninggikan darjah Melayu.

Yang Maha Mulia al-Sultan Perak telah bertitah beberapa kali kepada rakyatnya sebelum masa kesusahan ini supaya tekun dan menggalakkan perusahaan padi iaitulah sesuatu perusahaan yang kekal bagi keselamatan rakyat, maksudnya: menyenangkan umat Melayu.

Yang Maha Mulia al-Sultan Selangor telah bertitah pada dewasa pertinjauan di Kuala Lumpur dahulu dihadapan Tok-Tok Kadhi dan Guru-Guru agama sebagaimana kita muatkan di dalam keluaran kita dahulu supaya membaiki perjalanan ugama di dalam sekolah-sekolah Melayu, maksudnya: membaiki ugama Melayu.

Di dalam perintah Selat sememang telah terdiri "Majlis Penasihat Islam", di Kelantan, Majlis Ugama Islam pula namanya sedang tiap-tiap negeri itu lengkap dengan Sheikh ul-Islam yang pilihan, maksudnya: akan menjalankan teraju keadilan ugama Melayu.

Maka tidaklah rasanya ketinggalan atau kekurangan lagi bagi umat kita pada zaman ini di dalam hal yang berhubung dengan pimpinan tetapi kekurangan kita hanyalah sampai ke manakah pimpinan itu?

Marilah kita sama-sama menadahkan tangan, kita berharap janganlah kiranya pimpinan itu sebagai menghulurkan bakul kepada ayam yang terjatuh kepada dalam perigi buat pada hal ayam yang akan diselamatkan itu lari daripadanya.