Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 16 Feb 1930, p.8

Editorial.

Perlangkahan Kaum Ibu Kemajuan Kaum Bantu-Membantu.

Tidak boleh tidak dikehendaki sangat-sangat bantuan pihak Kaum Ibu itu atas tiap-tiap kepada yang berkehendak kepada kemajuan kehidupannya. Kerana tidak kuat atau tidaklah berani tiap-tiap perjalanan itu apabila dilangkahkan dengan sebelah kaki sahaja mana dia langkah yang berbilang-bilang atau bertubi-tubi kepada kemaraan itu apabila tidak dijalankan dengan kedua belah kaki mengikut tempat atau haknya yang dihakkan kepada masing-masing.

Kaum kita sekarang ini tampaknya telah bersedia dan bersungguh-sungguh akan mencari jalan kemajuannya. Telah bertahun-tahun kita mendengar seruan dan ajakan kepada tujuan yang tersebut, akan tetapi belumlah juga berupa kepada perbuatan. Sekarang mari kita perhatikan, dimanalah sebab-sebabnya yang terutama menggalangi maksud itu. Jika difikirkan, tidak dapat tiada kerana lemah kemaraan. Yang demikian itu ialah disebabkan lemah perhatian ataupun perasaan batin sebagaimana lemah enjin itu daripada mendapati wap atau steam yang keras pada menjalankannya.

Kita ketahui suatu pesawat yang boleh menguatkan atau menghidupkan perasaan batin itu ialah dengan bantuan dan latihan kaum ibu-ibu kita. Kaum Ibu itulah yang dapat memberi latihan kepada anak-anaknya sehingga ia boleh mendapati roh menjadi orang yang berkemaraan kuat dan tetap, sebagaimana kaum isteri itu boleh membantu kaum laki-lakinya memikul kewajipan-kewajipannya di dalam tujuan perjalanan kepada kemajuan yang dicita-cita itu.

Bukan sedikit bangsa-bangsa di dunia ini yang telah bantu berbantu di antara pihak laki-laki dengan pihak-pihak kaum perempuannya di dalam ikhtiar dan usaha kepada kemajuan bagaimana yang dicita-cita dan disetujui olehnya.

Sungguh pun setengah daripada perjalanan mereka itu tidak diharuskan bagi kita, akan tetapi wujudnya memberi teladan kepada kita bahwa Kaum Ibu itu ialah suatu pihak yang boleh memberi bantuan kepada perlangkahan kemajuan bangsanya.

Bahkan, kita berkehendak kepada perbantuan Kaum Ibu itu menurut hak-hak dan batas-batas yang diharuskan bagi keharusan kita. Kehendak yang demikian ini akan dapat tercapai apabila kaum kita itu meluaskan tempat bagi perjalanan Kaum Ibu itu di dalam kewajipan yang teratur dan yang berhak mereka itu akan dia, bukanlah itu sahaja, bahkan kaum laki-laki inilah yang mesti membantu dan menyediakan syarat-syarat yang dikehendaki bagi perlangkahan Kaum Ibu itu.

Sesungguhnya tarikh bangsa kita sekarang ini telah menghendaki sesuatu negeri di mana sesuatu puak kaum ibunya akan terbit memimpin kaum jenisnya kepada perjalanan kemajuan kaum bangsanya khusus dan kaum seugamanya umumnya. Sebagaimana juga "sukarnya tiap-tiap permulaan" itu akan tetapi kita percaya dengan sebulat-bulat kehendak dan tujuan kaum kita sekarang ini tidaklah payah akan mendapati cita-citanya kepada kezahiran perbantuan Kaum Ibu itu, apabila disokong dan diseru bersama-sama kerana hajat bagi kebajikan dan kemajuan bangsa segenapnya.