![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 8 Feb 1930, p.8
Editorial.
Kesukaran-Kesukaran Jalan Penghidupan Bumi Melayu Mengurangi Suburnya.
Sudah berturut-turut minggu kita menerima surat-surat daripada saudara-saudara kita pembaca akhbar ini, menyatakan beberapa hal baiknya kesusahan yang dikhuatiri akan menimpa umat Melayu kita di negeri ini, kerana kemunduran-kemunduran yang sangat atas beberapa jenis hasil usaha penghidupan mereka itu, di antara surat-surat itu kita ambil maksudnya yang dari Perak menyatakan demikian:
"Kesempitan penghidupan kaum kita sekarang ini telah dirasai. Demikianlah di Bagan Datoh kerana perniagaan buah kelapa sekarang bukanlah harganya sahaja yang telah jatuh kira-kira 30 atau 40 persen akan tetapi keluaran buahnya juga sudah beberapa kali turun ini berkurang kira-kira 50 persen. Getah boleh dikata tiada mencukupi harga bagi perbelanjaan mengerjakannya dan padi tampaknya teramat kurang jadinya daripada yang diharapi".
Sekianlah maksudnya surat itu yang kita ambil keringkasan isinya sahaja bagi menunjukkan bagaimana perjalanan perusahaan kaum Melayu kita di dalam dunia berkebun kelapa itu.
Dan surat dari Selangor pula memberi kenyataan demikian:
"Yang Pertama, sekali perusahaan getahlah yang menjadi punca bagi jalan penghidupan kaum Melayu di dalam Selangor ini dan juga pada bahagian-bahagian yang terbesar di negeri-negeri Melayu ini. Akan tetapi sekarang getah itu tiada melebihi kehasilannya daripada berkebun jagung. Baik juga orang-orang yang berkebun sayur-sayur boleh hidup berkecil-kecil dengan kehasilan penjualan sayur-sayurnya.
Akan tetapi orang-orang yang berkebun getah bukan sedikit tanggungan yang mesti dibelanjakannya sedang pun wang simpanannya daripada harga-harga getah masa mahal dahulu telah dihabis kepada motokar-motokar dan berseronok-seronok orang yang bertuah sekarang ini di antara yang berkebun-kebun getah itu orang-orang siapa yang tidak berhutang terutamanya kepada bangsa Chetti atau Benggali-Benggali yakni daripada segala hutang ringgit berbunga itu.
Siapa sangka kehasilan getah-getah sekarang ini yang kebanyakannya tiada mencukupi belanja dapur sekalipun tak usahlah kata hendak membayar "bunga ringgit" akhirnya kebun akan terlelong. Maka yang punyanya akan balik kepada asal sedia kala menjadi papa kerana kesalahan sendiri".
Dan suatu surat dari Ipoh maksudnya menyatakan demikian:
"Terutama perniagaan barang pakaian dan kesenangan sekarang ini boleh dikata termakan modal sahaja, artinya seberapa laku digunakan bagi perbelanjaan makan; dua tiga orang kaum Melayu kita berjualan rempah-rempah barang makanan di pasar itu susah akan dapat mengganti barang-barang kedainya mana-mana yang laku sedikit-sedikit itu. Betapa tidak demikian, kerana kehasilan yang terutama daripada negeri ini iaitu bijih dan getah telah jatuh harga sangat-sangat dengan kejatuhan yang belum pernah dirasai walaupun di dalam masa atau lepas bahaya peperangan yang besar baru ini.
orang-orang Cina atau bangsa asing masih dilihati ramai di dalam perniagaannya masing-masing kerana wang perusahaan mereka itu masih dapat berputar lagi pada merata-rata sama mereka, itu pun beberapa banyak bangsa mereka itu yang keluar daripada pekerjaan bijih tentulah kelak akan membawa kesukaran kepada jalan penghidupan alam".
Suatu surat dari Singapura maksudnya menyatakan demikian pula:
"Sekarang di sini di dalam dunia perusahaan kaum kita Melayu atau Islam tampaknya terang-terang dirasai di dalam keadaan sejuk belaka perniagaan yang berhubung keluar negeri seperti ke Borneo, Sarawak, Banjarmasin, Pontianak dan lain-lain itu dan seperti ke Sumatera, Jambi, Palembang, Siak, Bagan Api-Api dan lain-lain hanya berjalan perlahan dan sedikit-sedikit sahaja demikian juga ke Tanah Jawa. Kerana barang-barang hutan yang meramaikan perniagaan daripada negeri itu hanya didatangkan sekadar mencukupi makan sahaja.
Jika tertampak sedikit-sedikit sekarang kaum kita masih berjalan perusahaannya di dalam Singapura ini ialah kerana gerakan menyambut masa puasa ini dan juga musimnya kedatangan jemaah Haji dari luar-luar negeri itu.
Itu pun berlaku dengan keadaan yang cermat sekali. Rumah-rumah kosong telah bertambah-tambah banyak, perniagaan-perniagaan bertambah-tambah undur. Akan tetapi pada negeri besar ini sukarlah akan merasainya dengan pemandangan mata atau dengan pemandangan telinga sahaja. Hanya apabila melihat perubahan-perubahan yang daripada sedikit kepada sedikit itu, kita khuatirlah bahwa kesukaran penghidupan itu akan lekas mengenai kepada kaum kita yang pada segala sesuatunya di dalam keadaan yang kelemahan itu".
Dan suatu surat dari Kedah yang maksudnya menyatakan lagi demikian:
"Dalam negeri Kedah District Kubang Pasu pada tahun 1930 ini tampaknya akan mendapati susah di atas kaum-kaum kita Melayu, sebabnya yang terutama ialah kerana pertanaman padi yang telah diusahakan berbulan-bulan itu terlalu sangat kurang jadinya dan terbinasa kerana ditimpa oleh panas yang amat kuat sehingga padi-padi itu kesemuanya habis mati. Hujan pun tiada turun. Tempat-tempat yang sangat tiada jadi padi itu iaitu.
Maka dalam empat tempat ini melainkan Allah dan Rasul sahajalah yang akan tahun kecemasan kaum-kaum kita sekarang ini, maka tentulah ini kemudian kelaknya akan memberatkan beban pula kepada kerajaan kita kerana hal penghidupan mereka itu terutama bagi perempuan-perempuan dan kanak-kanak".
Nah! Pembaca yang budiman! Inilah keadaan yang kita kutipkan di sini, elok buat jadi cermin bagi pemandang kaum kita kepada masa yang akan datang. Cukuplah menjadi pengetahuan apa yang dinyatakan oleh berita-berita itu, maka fikiran kita tiadalah fardhu disertakan lagi dibawahnya.
top |