Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 22 Feb 1932, p.8

Editorial.

Pegawai-Pegawai Melayu Bagi Pemerintahan Kerajaan Melayu Malayan Civil Service.

Kembali kita bersuara pada merundingkan permintaan bangsa-bangsa Timur asing ((Asiatik)) di dalam jawatan pemerintahan di negeri-negeri Melayu ini. Kerananya kita terima sepucuk surat daripada seorang pembaca kita yang dihormati yang kita salinkan setengah daripada perkataannya demikian:

"Fikiran saya tiadalah patut didiamkan sahaja suara atau bantahan kita berkenaan dengan maksud orang-orang asing akan campur memegang jawatan pemerintahan di atas negeri-negeri Melayu ini. Saya fikir sepatutnya kita menyokong jawapan-jawapan pihak kerajaan atasnya itu supaya dapat diketahui dengan terang bahasa perlindungan kerajaan atas hak-hak di dalam jawatan pemerintahan bagi orang-orang Inggeris dan Melayu itu disetujui dan dikuatkan oleh pihak anak-anak Melayu negeri ini.

Tinggalkannya dengan jalan apa kita menyokong alasan-alasan kerajaan itu supaya tiada dapat diulang-ulang lagi oleh pihak yang meminta. Maka iaitulah yang terlebih patut kita rundingkan di dalam suratkhabar kita yang dibahagiai ini".

Inilah kehendak Tuan Penulis itu yang kita fikir tentulah disetujui juga oleh kaum kita Melayu negeri ini amnya. Yang sebetulnya masalah ini tidaklah patut kita diamkan dengan begitu sahaja sebagaimana kita merasai tidaklah patut kaum kita itu akan membiarkan percampuran orang-orang asing di dalam jawatan pemerintahan kerajaannya daripada siapa-siapa yang tiada patut berhak itu.

Seperti khabar yang telah kita wartakan dahulu bahwa pihak kerajaan telah menyatakan jawapannya bagi menolak permintaan-permintaan orang asing itu. Akan tetapi, tampaknya yang demikian ini belumlah memasukkan hati kepada pihak yang meminta, oleh itu kita fikir adalah sesuatu jalan lagi iaitu supaya orang-orang Melayu seluruhnya memperdengarkan suaranya menolak kehendak-kehendak yang tiada munasabah bagi kaum dan kerajaannya di negeri-negeri Melayu itu. Iaitulah dengan jalan mengambil persatuan dan persetujuan kebulatan suaranya di dalam sesuatu majlis mesyuarat mengambil yang dihadiri oleh segala wakil-wakil perkumpulan dan ketua-ketua himpunan Melayu di seluruh negeri ini, suara mana supaya kelak disampaikan dengan beberapa hormatnya bagi menyokong jawapan pihak kerajaan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan di Singapura itu.

Maka Majlis Mesyuarat am kaum Melayu ini eloklah rasanya jika dibangun dan diadakan di Kuala Lumpur di mana sebuah negeri Melayu yang boleh dikatakan menjadi pusat pertengahan dunia Semenanjung ini. Inilah lagi yang patut dirundingkan iaitu siapa yang akan memimpin dan mengatur mesyuarat itu dengan sempurnanya. Kita fikir yang sebaiknya ialah salah suatu perkumpulan kaum Melayu yang bekerja bagi kepentingan pelajaran dan kemajuan kaum bangsanya putera bumi Melayu ini.

Tiadalah rasanya kurang orang-orang besar Melayu kita di negeri-negeri Melayu dan di negeri Selat ini yang sudi menjadi Pengerusi di dalam mesyuarat bagi kefardhuan kaumnya itu.