Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 18 Jan 1930, p.7

Suara Suratkhabar.

Kemajuan dan Kemakmuran! Perbezaan Dahulu dan Sekarang.

Di antara beberapa perkataan Yang Maha Mulia Raja Perlis di dalam perjumpaannya dengan seorang wakil Straits Echo dalam bandar ini kita dapati keterangan Yang Maha Mulia itu lebih kurang demikian:

Pada masa negeri Perlis di bawah kerajaan Siam dahulu adalah keadaannya terlalu sangat miskin. Akan tetapi bila telah terserah di bawah naungan kerajaan British di mana Yang Maha Mulia itu masih menjadi Raja hingga sekarang ini, negeri yang tersebut bertambah-tambah makmur dan maju hingga sampailah sekarang.

Hal ini berbukti kebenarannya, di mana sekarang jalan-jalan dan pejabat-pejabat serta juga pegawai-pegawai jawatan kerajaannya telah teratur sebagaimana yang layaknya. Terlebih lagi jika hendak menyaksikan perbandingan ini hendaklah kita menilik kepada negeri-negeri Melayu yang masih bernaung atau yang diperintahi oleh kerajaan Siam itu. Dengan lekas kita boleh melihat kepada negeri Setul dan Patani.

Apabila pergi ke dusun-dusun negeri itu sebagaimana kita telah melawat 5 tahun dahulu ke jajahan negeri Setul, yang didiami oleh orang-orang kita Melayu atau juga bangsa sama-sama yang masih dikatakan Orang Melayu dan beragama Islam itu. Maka kita boleh jumpai di antara mereka itu yang agaknya masih belum mengenal akan nama kemajuan di alam dunia itu.

Kesemuanya ini menunjukkan kepada kita bahwa mereka itu bukanlah sahaja belum mendapati keluasan pengetahuannya, akan tetapi belum mengetahui apa artinya pelajaran itu, sungguh pun di antara mereka itu masih ada mempunyai orang-orang besar Melayu dan ulama-ulamanya yang berdamping atau berkhidmat kepada kerajaan Siam itu.

Kerajaan Melayu yang rasmi daripada kedua negeri Melayu itu sebagaimana yang ada di Perlis hingga sampai sekarang ini, tidak ada lagi di sana. Dalam segala sesuatunya negeri Setul dan Patani itu menjadi jajahan dan hak milik kerajaan Siam semata-mata, sungguh pun dahulu keduanya itu daripada kerajaan Melayu yang hanya bernaung atau bertakluk di bawah perintahan kerajaan Siam. Sungguh pun kita hampir putus harapan yang kaum kita Melayu di bawah kerajaan Siam itu akan boleh mendapati kemajuannya dengan sebab pelajaran yang terdapat daripada pihak pemerintah di dalam negerinya sendiri sebagaimana yang boleh didapati oleh orang-orang Melayu anak jajahan kerajaan-kerajaan lain, melainkan haraplah mereka itu menuntut pelajaran keluar-keluar negerinya. Lain perkara jika sekarang mereka itu mahu berikhtiar dan berusaha sendiri akan mengadakan sekolah-sekolah atau madrasah-madrasah bagi memberi pelajaran kepada anak-anak mereka itu yang munasabah dengan kefardhuan bangsa, agama dan negerinya.

Akan tetapi, tampaknya maksud yang demikian ini masih jauh lagi akan tercapainya bagi negeri-negeri Melayu yang tersebut sedangkan di Perlis dan di negeri-negeri Melayu itu pun amnya belum didapati lagi sekolah-sekolah yang berguna didirikan oleh ahli-ahli negerinya sendiri. Bilakah perjalanan kemajuan kaum kita Melayu ini dapat berlumba terus menerus dengan mempunyai perasaan kegembiraannya yang hidup!