![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 19 Jul 1930, p.8
Editorial.
Anak Melayu -- Bangsa Melayu.
Di dalam keluaran "Malayan Tribune" dua haribulan ini kita dapati suatu tulisan oleh Mr. "Layak bin Patut" berkaitan ((Jawatan Melayu di dalam Pejabat Kerajaan)) dengan panjang lebar Mister itu membahas roh perjalanan kerajaan yang tersimpul di dalam perkataan "Preference is given to Malays", jelasnya Mister ini, meleburkan anak-anak bangsanya yang bukan dari Melayu itu supaya disamakan dengan bumiputera di dalam jawatan kerajaan, begitulah Mister itu mengemukakan ucapan Yang Berhormat Datuk Abdullah di dalam Federal Council yang baru lalu itu di mana Datuk Yang Berhormat itu menerangkan bilangan-bilangan anak-anak Melayu dan juga bilangan anak-anak bangsa asing yang telah diterima di dalam jawatan keretapi.
Menurut bilangan ini, jika dibandingkan di antara 120 anak Melayu seumumnya yang diterima itu adalah 670 anak bangsa asing. Belumlah kita mengerti dimanakah adanya kekurangan timbang rasa kerajaan yang akan diluburkan itu?
Atau adakah semata-mata kerana perkataan ((Preference)) atau pun kerana Minangkabau diaku sebagai Melayu?
Bilangan anak Melayu yang dikenakan 120 itu tentulah telah termasuk anak-anak Melayu Minangkabau atau anak Riau atau anak Wak Komok, bersihnya telah diakui semuanya sebagai anak Melayu jati.
Di dalam perbahasan itu kita dapati pula tulisan-tulisan yang menuntut keterangan akan makna "Melayu" itu terhimpun dari anak-anak mana-mana yang datang dari luar, katalah dari Minangkabau atau tidaknya, haruslah kita terangkan kepada Mister Layak bin Patut dan yang seumpamanya supaya diketahuinya bahwa anak Sutan Lela Mengkuta dan anak Wak Joyo Utomo ataupun anak cucu Bacu Nati sama sahaja pihak keMelayuannya dengan putera jati Semenanjung, bahasanya, pakaian, makanan sama-sama mengharamkan babi, resam, ugama dan seumpamanya mengaku bertuan raja kepada Raja-Raja di mana sahaja mereka menumpang tetapi sebaliknya, Mister Chong Ching Chau tidak sama malah hatinya bulat ke Tongsan selama-lamanya, jelasnya semuanya mesti berlainan selain dari sama-sama manusia sahaja, walau kena moyangnya telah diperanakkan di Melaka pada zaman Sultan Ahmad sebelum zaman Portugis atau Belanda. Begitu juga Mister Panabalam atau Mister Tambiyah Manikam, hatinya dan resamnya atau kulitnya tidak akan berubah dari resam moyangnya walau kena diperanakkan dia di kemuncak Gunung Bubu sekalipun, sementelaahnya Raja-Raja dan katalah kerajaan kita sememang tahu akan perhatian manusia yang tergenggam di dalam tangannya.
Walau anak Riau atau anak Tembusi tidak berkehendak kepada masa atau berhajat kepada celupan supaya ditukar rupanya atau tabiatnya kepada "Melayu" sementelaahnya pula mereka memang diaku oleh Raja-Raja dari hamba rakyatnya.
top |