Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 28 Jun 1930, p.8

Editorial.

Kawasan Melayu Singapura.

Sebagaimana telah diketahui bahwa perusahaan yang ditadbirkan oleh Yang Berhormat Encik Muhammad Eunos, Ahli Mesyuarat Pihak Melayu di dalam Majlis Legislative Council itu bagi memperoleh sesuatu kawasan Melayu di Singapura itu telah sampai kepada sesuatu tangga yang boleh diartikan telah berhasil; tanah seluas 165 ekar bagi perdirian 325 rumah telah diuntukkan dan urusan kawasan itu hampir-hampir siap pada masa ini.

Sungguh pun kebenaran menduduki kawasan itu bagi permulaannya sekali diharapkan di dalam bulan September, kira dua atau tiga bulan lagi, tetapi di antara 300 dan 400 permintaan telah sedia diterima. Pada fikiran kita yang demikian itu artinya kaum kita Melayu sangat-sangat berhajat kawasan yang seumpama itu.

Satu daripada syarat-syarat mendiami kawasan itu ialah: ((sebarang bangsa Melayu yang berugama Islam dan diperanakkan di dalam Singapura)) maka jelasnya pada pemandangan kita ialah diuntukkan atau dikhaskan bagi Melayu peranakan Singapura sahaja yakni bertikai dengan roh Kesatuan Melayu di Singapura itu. Kita tidak berniat hendak membahas perdirian kawasan Melayu itu kerana kita percaya telah beriri di atas asas yang telah dikukuhkan tetapi kita khuatir, mudah-mudahan janganlah hendaknya, haluan kesatuan Melayu itu mulai berSingapura, berPenang atau berMelaka.

Sungguh pun tiap-tiap Melayu serata Semenanjung khasnya P.N.M harus bersyukur di atas adanya kawasan Melayu Singapura untuk kediaman saudara-saudara mereka di sana tetapi haruslah mereka sedar, ingat, jaga bahwa nasib yang seumpama itu ((sangat-sangat berhajat kepada kawasan)) kelak akan menimpa mereka apakala haluan hidup yang terkandung di dalam roh bekerja-kerja sama itu tidak dihiraukan.