Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 14 Jun 1930, p.8

Editorial.

Encik, Mister atau Tuan.

Sebagaimana kita ketahui adalah adab perbahasaan yang diresamkan oleh kerajaan PNM dan terpakai di seluruh pemerintahan Selat di antara pegawai-pegawai kerajaan atau kaum bangsawan negeri seumumnya itu terbahagi kepada:

1. Encik: iaitu suatu adab atau perbahasaan terhadap kepada golongan kaum kita Melayu mulai dari golongan kerani hingga golongan pegawai tinggi ((kecuali putera-putera yang mempunyai darah Raja yang sememang kita Tengkukan dia dan sememang dipakaikan perkataan Raja itu lebih dahulu daripada namanya bersamaan dengan tempat-tempat yang kita Encikkan)) itu.

2. Mister: iaitu suatu adab perbahasaan jua, tetapi terhadap kepada golongan yang lain daripada kaum Melayu. Sama sahaja Cinakah ia atau Keling atau Eropah sekalipun melainkan haruslah diMisterkan pada tempat Encik di dalam perbahasaan Melayu itu ((kecuali sememang ada padanya darjah Sir atau Doktor)). Begitulah resamnya pada masa menggunakan bahasa Inggeris sama ada bertutur atau di dalam tulisan.

Baik! Apakah adab perbahasaan kita apabila menggunakan Bahasa Melayu? Sebagaimana kita ketahui dan selain dari perbahasaan Encik itu adalah kepada kita satu perkataan laki-laki, iaitulah Tuan.

Selamanya perbahasaan Tuan ini digunakan di dalam Bahasa Melayu kepada tiap-tiap kepala yang berdiri di atas tubuh ((1)), Syed ((Tuan Syed)) atau ((2)) guru-guru agama ((Tuan Guru atau Tuan Sheikh atau Tuan Haji)) atau ((3)) orang-orang yang terpandang dan ternama sama ada dari jasanya, pangkatnya atau terkadang-kadang menilik umurnya ataupun orang Arab ((Tuan Anu)), dan ((4)) yang sehabis-habis masyhurnya perkataan Tuan itu kita pakaikan kepada orang-orang Inggeris ((termasuk juga sebarang bangsa kulit putih)) hingga apabila disebut orang "satu Tuan" mengertilah kita bahwa maknanya "satu orang kulit putih".

Adapun perbahasaan yang selalu kita gunakan di antara kita sama kita pada masa menyebut nama-nama Cina itu ialah Baba atau jika ia daripada kaum Peranakan atau Towkay atau jika Cina Tongsan. Tetapi tidak kita perdapat perbahasaan yang seumpama ini dipakai di dalam bahasa Inggeris. Meski dalam masa kira-kira 15 tahun dahulu akhbar-akhbar Inggeris itu menggunakan Towkay. Kita masih ingat iaitulah pada zaman akhbar-akhbar Inggeris itu masih menggunakan Chinaman pada tempat Chinese.

Sekarang tetapi perbahasaan itu telah dibantah oleh kaum Cina hingga berubah menjadi Mister dan One Chinaman itu pun menjadi One Chinese. Apakah sebabnya kaum Cina itu membantah dan tak suka diTowkaykan dan diChinamankan? Mustahil dari muslihat menuntut kemuliaan bangsa.

Sekarang adakah enak kita gunakan perkataan Tuan itu kepada Cina atau Hindu hingga jadilah misalnya Tuan Chilau Ching atau Tuan Goparanasamy? Inilah kemusykilan kita kerana pernah melihat setengah-setengah akhbar kita menggunakan perkataan Tuan yang kita fikir bukan tempatnya.

Kita tidak menyalahkan atau sengaja menghinakan kaum-kaum yang tersebut itu tetapi kita berharap akan memperoleh suatu resam yang layak atau patut menurut fikiran kita bersama supaya akan jadi pandu perbahasaan pada masa yang akan datang.

Fikiran kita molek sangat sekiranya kita sama-sama suka menggunakan perkataan Tuan itu seperti biasa dan tiap-tiap nama dari Cina atau Hindu itu dipakaikan Mister, misalnya Mister Arumugam atau Mister Loong Cheng Heong.