![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 15 Mar 1930, p.8
Editorial.
Balik Dari Berjalan.
Enam hari lamanya kita meninggalkan meja Pengarang iaitu bererti enam hari kita berhenti daripada menulis dan membaca surat-surat yang berkenaan dengan "Saudara" ini. Akan tetapi dalam masa yang sekian itu untuk kita tinggal tetap bekerja dan berfikir daripada apa? Perkataan dan pemandangan yang kita jumpai di dalam masa yang singkat itu.
Dari dalam keretapi kita melihat bumi tanah Melayu yang subur dan kaya yang sejauh 200 mil lebih itu. Kita melihat berbagai-bagai pertanaman tumbuh-tumbuhan dan berbagai-bagai perusahaan yang menerbitkan khazanah dari dalamnya. Akan tetapi pemandangan kita ini kali tidaklah serupa dengan tahun-tahun yang sudah.
Bahkan seolah-olah dapat diperhatikan oleh tiap-tiap orang yang mempunyai perhatian, bahwa pokok-pokok para yang mengeluarkan getahnya masa ini bukanlah lagi mencurahkan kehasilan yang akan menyiram kemakmuran bagi ahli-ahli negerinya sebagaimana masa sedikit tahun dahulu.
Akan tetapi melelahlah ia seumpama air mata kesedihan kerana mengingatkan kesukaran-kesukaran yang akan dan yang sudah dideritai oleh ahli-ahli pekebunannya. Demikian juga perut-perut bumi yang telah terluang kerana dikorek dan dikerjakan oleh enjin-enjin lombong itu telah menunjukkan bekasnya yang sudah hampa kerana menghasilkan keuntungan dan kekayaan kepada orang-orang yang tahu menghargakan ikthtiar dan usahanya. Maka jadilah bumi-bumi yang rata itu telah berbusut-busut dan berlapuk-lapuk ditumbuhi oleh rumput-rumput yang tiada berharga kerana telah hampa daripada khazanahnya.
Di Kuala Lumpur kita tinggal 2 hari di dalam masa yang singkat ini kita masih dapat menyaksikan kemajuan bandar yang menjadi pusat pemerintahan negeri-negeri Melayu yang bersekutu itu. Bertambah hari bertambah luas pekan dan pasar pesaranya serta bertambah kembang dan maju perniagaan dengan perusahaannya. Adakah kemajuan yang demikian itu berlaku bagi anak-anak negerinya?
Sungguh pun di Kuala Lumpur ini beberapa orang sahaja di antara saudara-saudara yang dapat kita jumpai akan tetapi tiadalah sunyi kita daripada mendapati beberapa fikiran baru bagi pertunjuk kepada masa yang akan datang dan peringatan kepada masa yang telah lalu, di dalam tempoh yang singkat itu kebanyakannya kita menghabiskan masa berbual-bual dengan saudara-saudara seperti Tuan Haji Idris di mana kita bermalam di rumahnya dan dengan Tuan Haji Abdul Rahim Kajai, seorang pembantu kita yang dikenali siapa yang kita harap sedikit hari lagi akan bekerja-bekerjasama di dalam pejabat kita jadi pembantu pengarang "Saudara" ini.
Demikian juga di rumah Encik Muhammad Yusuf ((Assistant Inspector of Schools)) dan Tuan Haji Muhammad Saidin ((Visiting Teacher)) serta beberapa orang sahabat baru kita berbual-bual sampai melarutkan hari. Agaknya sudahlah menjadi bahagian kepada orang-orang suratkhabar itu mendapati rakan di dalam percakapannya dengan orang-orang yang suka memberi fikiran yang berkenaan dengan perkara-perkara kebajikan umum.
Sesungguhnya daripada percakapan-percakapan ini kita mendapati beberapa pemandangan perasaan yang baru terutamanya di dalam hal-ehwal kemajuan kaum yang kebajikan.
Kita tidak lupakan melawat ke pejabat "Warta Negeri", ialah satu-satunya suratkhabar Melayu yang bertulisan Rumi, di Kuala Lumpur itu. Tidak lama kita mendapati tempoh berkata-kata dengan Encik Said Pengarang akhbar ini akan tetapi di dalam masa yang sedikit itu kita merasai puas hati mendengar kemajuan akhbarnya yang bertambah hari bertambah digemari oleh ahli-ahli pembacanya itu.
Hari Isnin kita tinggalkan Kuala Lumpur dengan segala hal-ehwal yang berlaku di dalamnya itu dan menuju ke bandar Ipoh ((Perak, tidak kurang kebesaran hati kita berjumpa dengan saudara-saudara di sini seperti Encik Muhammad Rashid, Manager H. Baker & Company ((wakil akhbar ini)) Tuan Haji Muhammad Amin, Encik Musa ((Penghulu Tanjung Rambutan)), Encik Junid, Encik Muhammad Noh ((Setiausaha Muslim Association)) dan saudara yang lain-lain. Bandar Ipoh bertambah-tambah luas, rumah-rumah baru yang sudah siap dan tengah dibangunkan beratus-ratus buah. Siapakah punya yang kebanyakannya?
Kita melawat ke Pekan Tanjung Rambutan dan kita bermalam di sana di mana kita menyaksikan perusahaan-perusahaan anak negeri yang terutamanya kebun-kebun getah belaka.
Sungguh pun kita sendiri dan juga saudara-saudara kita di Ipoh merasai sangat sempit perjumpaan kita di dalam masa yang singkat itu, akan tetapi tiadalah dapat kita lanjutkan lagi kerana pekerjaan ikhtiar ini telah menunggu-tunggu kedatangan pengarangnya.
Maka dengan ini kita mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada Tuan-Tuan Pembaca Saudara sekaliannya dan memohonkan maaf atas apa-apa perkataan kita yang terlanjur di dalam masa perjumpaan itu adanya.
top |