Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 15 Mar 1930, p.7

General Article.

Nasib Melayu Yang Telah Lalu Perubahannya Yang Diharap Akan Datang.

Oleh Melayu Semenanjung.

Sambungan dari Saudara Bilangan 76.

Maka dengan sebab itu mendongaklah ialah kepada bangsa-bangsa lain sambil memandang dengan sedalam-dalam pemandangan ...pada akhirnya tampaknya kepadanya Hindu Hitam dan Benggali Tongkang itu, sungguh pun ia buruk dan lain agama. Akan tetapi mengerti ialah akan aturan hidup di dalam dunia ini. Dan boleh ia menyelamatkan perempuan-perempuan yang semoga berkasih-kasihan dengan dia.

Setelah nampak oleh ia ke belakang semula, memandang kepada sekalian tok-tok alim ulama yang diseganinya tadi, tampak kepadanya sama seperti rupa patung ((berhala hidup)) dan sekalian ibu bapanya itu sama seperti saluran tempat ia lalu ke dunia ini sahaja. Dan begitu juga sekalian saudara-saudaranya ((orang-orang kita Melayu ini)) dipandangnya lebih hina dan lebih bangsat daripada sekalian bangsa-bangsa yang ada di dalam dunia ini.

Maka pada masa itulah ia menjatuhkan air matanya berhamburan seperti manik putus karangannya, meleleh turun melalui dua belah pipinya yang licin manis itu ((pipi yang mana patut dijamah oleh orang yang baik-baik dengan jalan yang halal menurut peraturan agama kita yang maha suci lagi maha tinggi itu)). Sambil ia mengeluh-kesah dan menghempas-hempas kan diri, mengenangkan untung nasibnya yang malang itu.

Sementelahannya lagi, pada masa ia mengenangkan budi ibu bapanya yang telah menyusui dan membela akan dia semenjak dari kecilnya, dan bertambah-tambah pula sedih hatinya memandangkan kampung halamannya, rumah tangganya, dan kawan-kawan yang sepermainan dengan dia.

Maka remuklah hatinya, dan hancurlah rasa sekalian jasadnya ((tidak berdaya upaya lagi)) kerana kasihnya kepada sekalian perkara yang tersebut itu. Tambahan lagi, semenjak dari zahirnya ke dunia ini, belumlah pernah bersengkang dengan ibu bapanya. Dan begitu jua dengan sekalian sanak saudara maranya. Oleh itu alangkah sakitnya hendak meninggalkan perkara itu?!!!

Akan tetapi, manakala untung nasibnya telah ditimpa oleh godaan yang tersebut di atas itu, pada akhirnya terpaksalah juga ia memberi selamat tinggal selamat jalan kepada sekalian tempat kasihnya yang tersebut di atas itu, langsung berjalan terus mendapatkan bangsa-bangsa yang tersebut tadi, memakan pisang tidak berkupas.

Hingga begitulah adanya kaum-kaum perempuan kita membuatkan kita pada masa ini. Tak tampak dan tak sedar juga lagi? Pendek kata, fahamkanlah kalimat perumpaan yang tersebut di bawah ini:

Bolehkah merpati itu duduk di sangkar tuannya, jika tidak disediakan makanan yang cukup baginya? Maka kesemuanya itu siapa yang salah? ...

Jawabnya, tak lain lagi melainkan punca kesalahan itu ialah kerana ajaran yang tersebut di atas itu juga. Kerana semua orang kita sudah jadi orang akhirat belaka.