Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 22 Mar 1930, p.8

Editorial.

Lagi Soal Perkara Getah.

Kira-kira sudah boleh dipastikan, pada sebulan bulan Mei yang lalu akan datang ini akan dihentikan atau ditahan pengambilan getah-getah para dari pokok-pokoknya yang diperkebunkan itu. Itu sudah boleh dinyatakan, kerana tampaknya kerajaan-kerajaan dan company-company atau perusahaan yang bersangkut dengan perniagaan getah itu telah sama bersetuju.

Pihak company-company perusahaan getah di Indo-China ((Saigon)) dan di Ceylon tampaknya akan bersetuju juga, bahwa hanya dengan jalan menghentikan pengambilan getah dalam sebulan Mei itulah sahaja suatu percubaan yang difikir boleh diharapkan menyekat kejatuhan harga getah-getah itu daripada bertambah-tambah turunnya di pasar getah dunia.

Bulan Mei itu akan mendapati permulaan musim panas di Eropah iaitu masa keramaian pasar-pasar perniagaan bagi mendapati dan mengumpul persediaan perusahaan dan pertukangan di dalam kilang-kilang yang besar. Maka ketika itulah diharapkan akan berhasil percubaan ini.

Pihak Belanda dan Jerman yang tidak sedikit bersangkut dengan perusahaan-perusahaan getah itu telah sama-sama bersetuju. Demikian juga British yang di kenali suatu pihak dan kerajaan yang suka menurut kepada suatu pakatan yang boleh diharapi mendatangkan kebajikan atau kemajuan bersama itu, tentulah bersetuju juga menjalan dan melakukan peraturan menahan pengambilan getah-getah itu di dalam negeri-negeri pemerintahannya.

Pembicaraan yang dilakukan oleh wakil-wakil perusahaan dan pekebun-pekebun getah di negeri Melayu ini. Tampaknya telah bersetuju juga akan menyertai maksud itu. Maka amnya pihak British bolehlah dikatakan tiada akan didapati galangannya lagi, perkhabaran dari London menyatakan baru ini telah didapati 119 company perusahaan dan perniagaan getah British yang besar-besar yang telah bersetuju dengan penahanan pengambilan getah-getah yang tersebut.

Belumlah diketahui adakah penahanan mengambil getah-getah dalam bulan Mei itu akan berlaku juga bagi kebun-kebun yang terlalu kecil, yang sebanyak dua atau tiga ekor atau lebih yang di bawah daripada sepuluh ekar itu. Bila dimulai peraturan itu tentulah kelak akan mendapat ketentuan.

Di sini maka kita akan menghadapi suatu soal yang penting bagi penghidupan yang umum dalam negeri Melayu ini dan juga di negeri-negeri yang ditumbuhi dan yang bersangkut dengan perusahaan getah-getah di dunia ini.

Sesungguhnya termasuklah negeri-negeri Eropah, Amerika, dan lain-lain juga. Telah diketahui bahwa perniagaan getah ini suatu mata pencarian yang terbesar di dunia kerana iaitu suatu ramuan yang berguna bagi seluruhnya pada masa yang sudah dan yang akan datang juga. Akan tetapi kerana terlalu banyak keluarnya daripada yang fardhu pergunaannya. Maka jadilah ia barang yang jatuh harga. Oleh kerana ikhtiar dan usaha dunia selama ini yang kebanyakannya telah tertumpah kepada getah ((kerana memang adat alam masing-masing berbuat kepada kelebihan)).

Maka ketiga benda atau getah itu tidak berharga, jadilah ikhtiar dan usaha manusia dunia itu tidak pula berharga.

Getah ini bukanlah barang sekatan, oleh sebab itu kelebihan penghasilan getah itu bukanlah barang yang boleh mengenyangkan kepada manusia akan tetapi melaparkan, pada hal titik peluh manusia telah tercurah kepadanya.

Inilah sebabnya terbit kesukaran, apabila getah ini terus-menerus jatuh harga, maka terbitlah terus menerus kesukaran yang lazim di dunia. Beberapa banyak kuli-kuli yang akan tidak bekerja, beberapa beberapa banyak kapal-kapal yang akan kosong, beberapa banyak perniagaan yang susut dan lain-lain yang kesemuanya itu membawa kepada punca-punca kesukaran belaka.

Maka yang terlebih dahulu menjadi korban kesukaran ini ialah orang-orang kecil, orang-orang yang mempunyai perusahaan dan penghasilan yang kecil. Kerana sudah takdir Ilahi bahwa tiap-tiap pokok yang kecil itulah yang lekas tumbang apabila ditempuh oleh angin yang keras.

Nah! Sekarang di negeri-negeri Melayu ini kitalah orang-orang Melayu yang ada dan yang mempunyai serba perkara penghidupan yang kecil. Betapakah akal si "kecil" itu supaya dapat memelihara diri daripada sesuatu kekhuatiran yang besar itu?

Pemandangan kita pada bilangan akan datang!