Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 30 May 1931, p.6

Local News.

Kongress Melayu.

Maka pada zaman ini tampaknya kaum dan bangsa kita Melayu telah berura-ura hendak mengadakan Kongress Melayu atau Persatuan Melayu, ialah tanda yang menunjukkan kaum Melayu telah berperasaan sedar dan kasih sayang akan tanahairnya.

Akan perkara ini ialah satu perkara yang luar biasa atau ganjil terjadinya pada kaum Melayu dan ia sebesar-besar perbuatan dan pekerjaan, begitu jualah faedahnya pula. Persatuan ini teramatlah besar dan jauh maknanya, bukanlah khas pada satu kampung atau negeri sahaja, iaitu meliputi segala alam Melayu ini, jika hendak diasingkan seperti Pulau Perca, Tanah Jawa, Brunei, atau lain-lainnya, mewarisi ia Persatuan Tanah Melayu ((Persatuan Semenanjung Tanah Melayu)) ini pun bukan gampang besarnya.

Sebab di dalam Tanah Melayu ada beberapa buah negeri Melayu: Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Singapura, Pulau Pinang, Melaka dan lain-lain lagi.

Maka tiap-tiap negeri patut diadakan Committee atau Persatuan, mereka-mereka yang dijadikan Committee itu siapa akan memilihnya?

Hendak diambil-ambil sahaja tentulah tidak adil, kerana bukannya orang itu sahaja yang hendak kita bawa dalam Persatuan itu.

Oleh itu, orang yang dipilih mahulah dengan pilihan kaum dan bangsa Melayu sekalian yang ada di Semenanjung ini, sebabnya mereka yang memilih itulah yang dikehendaki bersatu.

Jika diharapkan pula pilihan mereka itu tiada jua berhasil, kerana apa?

Ialah kaum kita 80 persen yang tiada mengerti akan tujuan dan faedah Persatuan yang tersebut, tambahan pula negeri-negeri Semenanjung ini belum mempunyai Persatuan ini dikecualikan Singapura dan Pulau Pinang oleh itu tentulah payah hendak menjalankannya.

Tetapi walaupun susah dan payah, tiadalah patut ditinggalkan atau tidak diadakan, kerana perkara ini sangat dikehendaki pada zaman ini, dan diketahui oleh ahli-ahli akal akan faedah dan kegunaannya, sebodoh-bodoh orang pun tahu akan pengertian "Muafakat Itu Berkat" dan "Bersekutu Itu Menaikkan Mutu".

Adalah jalan-jalan mengadakan itu eloklah kita selidik dari pangkalnya, "Seumpama Mengaji Dari Alif, dan Membilang Daripada Satu", tiada layak atau patut belum duduk sudah berlanjur!

Jika diperhatikan kelayakannya mesti diterangkan kepada kaum dan bangsa kita akan faedah-faedah dan kegunaan Persatuan itu, keterangan ini tiadalah memadai dengan suratkhabar-suratkhabar atau majalah sahaja, kerana kaum Melayu tidak semuanya sekali berdamping dengan suratkhabar-suratkhabar atau majalah, supaya hidup angan-angan dan cita-cita tersebut hendaklah diadakan seorang atau berdua kaum dan bangsa kita jadi pensyarah bagi menanamkan faedah persatuan itu kepada kaum dan bangsa kita di seluruh Semenanjung Tanah Melayu ini, manakala sudah berakar umbi tampaknya barulah diadakan persatuan pada merata-rata negeri, kemudian telah bersatu belaka barulah senang dicantumkan sekalian persatuan itu dijadikan Persatuan Tanah Melayu.

Akan pensyarah-pensyarah ini moleklah dipulangkan kepada timbangan Committee-Committee Persekutuan Melayu Singapura dan Pulau Pinang kerana ialah seolah-olah ibu dan bapa pada Persatuan yang akan zahir kelak, dan ia jua yang akan memimpin anak-anaknya kelak.

Demikian jua pendita-pendita yang dipilih itu mahulah seorang yang layak dan mampu menjalankan kewajipannya dan tanggungan supaya maju dan selamat perjalanannya Persatuan Melayu Tanah Melayu ini. Amin. Amin. Amin. Ya-Rabbiul Alamin.

Mudah-mudahan barang disempurnakan Allah kiranya angan-angan dan cita-cita Melayu.

Ditamatkan kalam diiringi was-salam kepada pembaca di alam surat, terima kasih kepada penyampaikan kalam.

Ayam Negeri Sembilan.

Pengarang: Saudara kita bersetuju bagaimana fikiran Tuan yang dikasihi ini, tetapi kita peringatkan lagi kepadanya bahaya kesusahan hendak mencantumkan segala Persatuan Melayu yang telah jadi di dalam tiap-tiap negeri dengan tujuan masing-masing itu.

Maka dengan sebab inilah kita sangat bersetuju mengadakan Kongress Melayu terlebih dahulu kerana menyatukan tujuan-tujuan dengan semuafakat semua ahli-ahli akal dan berpengetahuan seluruh Tanah Melayu ini dahulu daripada membangunkan Persatuan Melayu di negeri masing-masing.

Adapun pensyarah-pensyarah itu pun jikalau boleh jadi pada masa ini tidaklah boleh daripada orang kedua-dua Persatuan Singapura dan Pulau Pinang pada pass ini selagi kedua-dua Persatuan ini belum bersetuju membetulkan apa yang berselisih di dalam undang-undang keduanya supaya tiada melebihkan pecah-belah itu bertambah lebih lagi, dan jika hendak dijadikan pensyarah itu hendaklah orang yang "Neutral".