![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Majlis, 25 Aug 1932, p.8
General Article.
Hidup Bekerja.
Hidup Pohon Biarlah dengan Buah, Hidup Manusia Biarlah dengan Berfaedah.
Sesungguhnya jika diamat-amati perumpamaan ini, tidak dapat tiada tentulah ia sesuatu perkataan yang panjang mengandungi ayat yang berbahagia dengan membawa makna suruhannya kepada kita segala manusia mengikut sebagaimana bumi, seruannya yang hebat itu. Jika kita ambil satu-satu ayat itu tentang pengertiannya, demikian; tiap-tiap pohon yang hidup di atas muka bumi ini hendaklah mengeluarkan buahnya. Bagi menarik hati makhluk gemar kepadanya. Dan begitu juga sebaliknya kita manusia ini hendaklah hidup berfaedah sama ada kepada diri sendiri dan kepada kaum, lebih-lebih lagi pada tanahair.
Adapun yang dikatakan hidup berguna itu, ada mempunyai kebaikan atau berjasa atau ada memiliki sifat-sifat kepujian. Maka jalan berkehendakan nama yang baik itu berbagai-bagai ikhtiarnya. Dan mahulah kita tahan menempuh bermacam-macam kesengsaraan. Umpama menarik rambut dalam tepung. Berkehendakan cermat, sabar, berani bersungguh-sungguh.
Pendeknya, kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih pula. Demikianlah berkehendakan biar berfaedah diri kita semasa hidup. Turut sebagaimana kata perumpamaan, rajin dan usaha tangga kekayaan. Genggam bara api biar jadi arang. Mudah-mudahan dapatlah mencapai menurut seperti bunyi ayat kepala di atas itu.
Sebab itu semasa hidup ini hendaklah kita menggunakan tulang urat dan kuasa tubuh sendiri. Walaupun pada orang lain asalkan kita bekerja. Kerana tiap-tiap seseorang manusia itu, dianugerahi Allah cukup segala panca inderanya. Dikecualikanlah yang tak cukup. Jangan sekali-kali kita sia-siakan segala kurnia Allah itu. Hendaklah digunakan dia seperti otak berfikir berikhtiar dan lain-lainnya. Demikian juga kaki tangan gerakan dan buat apa-apa yang telah difikir elok, iaitu seperti berkebun atau tukang memunggah dan sebagainya. Tetapi ingat, tiap-tiap seseorang hendak membuat pekerjaan itu turutlah sekeras dirinya sendiri, iaitu kepada "mahu" membuatnya dari awal hingga kesudahan dengan sempurnanya. Jangan dibuat hangat-hangat tahi ayam sahaja!
Melainkan dikerjakan mengikut kata pendita mengeluarkan kata mahulah dengan fikir membuat kerja mahulah dengan tadbir.
Jika diturut seperti kata itu, insha Allah, tiap-tiap pekerjaan yang diperbuat kelak boleh mendatangkan faedah kepada pembuatnya, walau sebarang apa-apa kerja pun, asalkan mahu rajin, usaha, dan jangan malu! Cubalah ikut seperti bangsa-bangsa yang telah berkurun-kurun majunya itu, serta masyhur benar tentang bekerja dengan perbuatannya seperti Cina, Jepun dan lain-lain bangsa lagi. Semuanya bangsa-bangsa itu tiada menaruh sifat kemaluan dan kemalasan. Telah beberapa banyak perbuatannya yang kita lihat terjual di dalam bandar-bandar, di gudang-gudang dengan elok dan murah harganya.
Wahai saudara-saudaraku Tuan, tiap-tiap sesuatu perbuatan yang permulaan kita membuatnya itu, memang kurang elok rupanya. Tetapi jangan sekali-kali kita lekas jemu atau buangkan. Bahwa itulah guru yang kemudiannya kelak. Melainkan hendaklah kita sabar dan rajib mencubanya lagi beransur-ansur; lama-kelamaan tentulah beransur kepada baik pula.
Sayogianya hendaklah pula disertakan dengan cukup syaratnya, terkandung di diri kita, sebagaimana kata Pantun ini:
Rumah tinggi dua bertingkat Luar dan dalam sama rupa ; Kalau dendam sudah terikat , Jangan takut digoyang gempa |
Disudahi dengan menuntut berbanyak-banyak maaf terima kasih buat Pengarang.
top |