![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 24 Oct 1934, p.6
Editorial.
Perusahaan Kilang bagi Bangsa dan Negeri Melayu.
Di dalam Saudara yang telah lalu, kita telah muatkan perkhabaran yang menyatakan maksud membangunkan suatu persyarikatan kilang ((fabrik)) beras di dalam negeri Kedah dengan jalan share kepada orang-orang Melayu umum. Hari ini di dalam Warta Malaya Kerajaan Kelantan kita mengetahui pula bahwa sebuah kilang beras akan dibangunkan jua di sana dengan perbelanjaan kerajaan.
Sungguh pun perusahaan yang sebesar-besar di negeri Melayu ini ialah yang berhubung dengan kilang-kilang belaka, kerana kehasilan negeri-negeri ini yang terutamanya daripada timah, mas, besi, arang batu, getah, kelapa dan padi itu semata-mata berkehendakan kepada keadaan kilang-kilangnya bagi menjadikan dia barang-barang yang boleh memasuki perniagaan yang besar ke pasar dunia.
Sebegitu lama kehasilan-kehasilan itu telah dikeluarkan daripada bumi Melayu ini, maka sekianlah masa udara-udara negeri ini telah dihitami oleh asap-asap kilang itu. Akan tetapi wang yang terbit daripada perusahaan-perusahaan dengan jalan yang tersebut itu kesemuanya telah melimpahi peti-peti kekayaan bangsa asing belaka, kerana tidak ada suatu pun daripadanya kilang-kilang itu kita ketahui hak milik perusahaan orang-orang Melayu sendiri, atau oleh kaum keluarga Raja-Rajanya, hartawan-hartawan ataupun pembesar-pembesarnya yang kita fikirkan mampu bersyarikat atau berdiri sendiri-sendiri membangunkan perusahaan-perusahaan yang sedemikian; katalah walau dengan jalan daripada berwakil-wakil sekalipun.
Oleh itu apabila hari ini kita mendengar bahwa cita-cita mengadakan kilang-kilang itu telah ada dikandungi oleh ketua-ketua atau penganjur-penganjur ekonomi bangsa Melayu ini, tentulah tidak dapat tiada sebanyak sedikitnya akan menggirangkan hati kita, terlebih lagi manakala pembangunannya itu dikehendaki dengan jalan permuafakatan atau share-share daripada orang-orang Melayu bersama-sama seperti yang dicadangkan di Kedah itu.
Kita fikir modal yang lima puluh ribu ringgit itu bukanlah sesuatu perkara yang terlalu susah mendapatinya daripada orang-orang Melayu Kedah yang sebanyak lebih daripada tiga ratus ribu orang itu, istimewa pula jika dibenarkan bagi orang-orang Melayu amnya yakni yang di luar-luar negeri Kedah sama, katalah persyarikatan ini dibenarkan tiap-tiap mereka itu membelinya hanya satu share sahaja ((satu ringgit)), maka perasaan kita ialah suatu jalan yang boleh membangkitkan nama kewangan serta ketuahan atau tangga kemajuan bagi keadaan dan keutamaan Melayu di dalam negeri ini, yang bahwasanya dengan perbelanjaan satu ringgit seorang itu, akan dapat oleh mereka itu membeli sebutan orang yang boleh mengatakan: bahwa bangsa Melayu itu telah ada mempunyai kilang berasnya sendiri, bagi mengerjakan padi bangsanya sendiri, di dalam negeri dan dengan pengaturan ketua-ketuanya sendiri.
Di dalam perkara ini, kita percaya bahwa orang-orang Melayu yang suka bersyarikat bagi perusahaan mengadakan kilang beras yang tersebut, dengan memasukkan sharenya satu ringgit seorang itu, tidak sekali-kali mengambil berat kepada maksud akan mendapati keuntungan daripada mata wang, akan tetapi keuntungan sebutan orang-orang asing kelak yang mengatakan bahwa orang-orang Melayu itu telah ada mempunyai kilang berasnya sendiri.
Maka baiklah sebesar-besar keuntungan bagi nama dan pandangan kepada kebangsaan Melayu zahir dan batinnya, yang tidak ternilai harganya, bahkan berlipat ganda faedahnya daripada apa-apa jua yang boleh didapatinya dengan pengeluaran wang yang sekadar satu ringgit seorang itu.
Hari ini, orang-orang Melayu terpaksa mesti menutup mulut dan menundukkan kepalanya dengan tersipu kemalu-maluan yang sedih apakala seseorang asing ut kaya raya ataupun yang miskinnya di dalam negeri Melayu ini pemuda-pemuda bertanya dengan menyindir: di mana ada kilang-kilang beras Orang Melayu sendiri?
Tetapi besok-besok sendirian itu, Insha´Allah, akan dapat dicuba oleh orang-orang Melayu yang baru bangun bagi menolong dirinya sendiri itu, sambil berkata dengan lemah-lembutnya: sudah ada mulai satu persyarikatan kilang beras yang dipunyai oleh orang-orang Melayu sendiri di dalam Kedah! ... Bahkan dengan syarat apabila orang-orang Melayu itu suka bersama-sama pada membeli seorang satu daripada share-share yang tersebut, dengan sifat bahwa ia merasai akan wangnya yang satu ringgit seorang itu, seumpama yang telah terbuang mengikuti wang yang telah dibelanjakannya dengan jalan boros yang beratus-ratus kali ganda banyaknya daripada itu.
Ketika itu yang kita harap pula ialah pimpinan atau pentadbiran pembangunan dan perjalanan kilang itu, dengan sebaik-baik peraturan dan sehalus-halus hemah di atas segala kemurahan dan kecermatan perbelanjaannya atau gaji-gaji pegawai-pegawai serta pemeliharaan perkakasnya, supaya teguh dan kekal perdiriannya, walaupun tidak memberi keuntungan dengan mata wang barang satu sen dibelah tujuh, tapi sebutan dan pemandangan orang-orang asing kepada kesifatan bangsa Melayu itu selama ini Insha´Allah akan berubah dengan sebesar-besar perubahan yang tidak dapat ditebus ataupun dengan harga 10 kali sebanyak 50 ribu ringgit itu.
Naungan Allah akan menolong kepada tiap-tiap niat dan pekerjaan yang ikhlas semata-mata.
top |