![]() |
||||||||||||
malay concordance project | ||||||||||||
home | about | papers | blogs | searching | texts | direct search | ||||||
Saudara, 4 Apr 1931, p.8
Editorial.
Akal Pengetahuan. Dengan Adat Datuk Nenek.
Bermula akal dan pengetahuan itu cermin atau petunjuk tiap-tiap seorang daripada kaum kepada jalan mengetahui segala hajat-hajat yang dikehendaki oleh kebajikan perhimpunan kaumnya, dan dengan akal pengetahuan inilah menjagakan fikiran dan perasaan tiap-tiap seseorang daripada perhimpunan kaum itu hal-ehwal peraturan kehidupan perhimpunannya di dalam tiap-tiap masa yang hidup mereka itu di dalamnya, sama ada di dalam perkara perangai atau adab peraturan atau adat istiadat yang dilakukan dan tiap-tiap kekurangan yang menuntut kepada kesempurnaan. Maka dengan akal pengetahuan inilah tiap-tiap seseorang itu di dalam perasaan yang senantiasa kepada mengelokkan segala hal-ehwal kehidupan perhimpunan kaumnya, dan setiap masalah ia dengan segala hal-ehwal itu di dalam pemeriksaan dan bahas.
Setengah daripada kelalaian yang maha besar atau sebesar-besar sebab bagai kecelakaan sesuatu kaum itu bahwa adalah segala perkara kehidupan perhimpunan mereka itu semata-mata bergantung dan menurut sahaja apa-apa adat datuk nenek yang telah lalu dengan tidak mengerti mereka itu akan sebab-sebabnya dan tidak mengetahui mereka itu akan guna dan faedah-faedahnya di dalam tiap-tiap perkara yang dilakukan itu; hanyalah semata-mata sebab dikerjakan dan dilakukan kerja-kerja dengan peraturan yang demikian itu ialah kerana peraturan itu telah dilakukan oleh datuk nenek yang dahulu-dahulu sahaja.
Adapun akal dan pengetahuan itu mengatakan bermula melakukan sesuatu pekerjaan dengan sebab menurut peraturan orang yang terlebih dahulu daripada kita semata-mata itu tidaklah memada bagi menjadikan dia patut mesti kita berpegang kuat dengan dia, kerana terlebih dahulu wajib kita mesti mengetahui adalah orang-orang yang terlebih dahulu daripada kita itu ada mempunyai muslihat di dalam masanya, dan bagi kita ada mempunyai muslihat di dalam masa kita pula.
Wajiblah di atas kita mesti mengambil daripada segala adat-adat peraturan orang-orang yang telah lalu dan meniru daripada perangai-perangai mereka itu mana-mana yang bersetuju dan berguna sahaja bagi segala muslihat kehidupan masa kita, kerana dengan yang demikian inilah boleh dapat kita memiliki segala faedah-faedah yang terbit daripada segala pekerjaan kita bagaimana yang dituntut oleh akal pengetahuan dan syariah pun sama, tidak kita menjadi hamba segala adat-adat datuk nenek kita sahaja hingga jadilah kita bagaimana seorang yang mendapat suatu pakaian yang kecil daripada tubuh badannya, maka dilaparkannya akan dirinya supaya kurus dan daif kecil badannya hingga boleh ia memakai pakaian yang kecil itu, bukannya diperbetulkannya pakaian itu hingga besar boleh padan dengan badannya.
Kita tidak mendapat suatu sekatan di dalam perjalanan ketahuan kita yang terlebih kuat daripada bersangatan kuat kita berpegang kepada segala adat datuk nenek kita dengan tidak kita membezakan mana yang baik dengan tidaknya.
Bahkan segala peraturan yang telah lalu itu tidak patut kita tinggalkan semuanya sekali, tetapi wajiblah kita melihat dan memperhatikan dengan menggunakan akal pengetahuan kita bagi mengetahui apa-apa yang telah tampak daripada segala peraturan-peraturan itu manfaat dan mudaratnya.
Agaknya tiadalah terlebih hairan lagi daripada hal-ehwal peraturan kehidupan perhimpunan kita ini? Apa adakah kehidupan kita ini menuntut faedah-faedah kegunaan bagi masa yang akan datang? Apa adakah kita ini menuntut kemajuan kehidupan atau ke belakang?
Kita lihat akan hal-ehwal alam ini di dalam peredaran semata-mata dan segala pekerjaannya di dalam perubahan yang setiap masa menuju kepada kemajuan, maka kita melihat segala hal-ehwal yang berlaku ini dihadapan mata kita dengan pemandangan yang terbalik dan fikiran yang bingung tidak kita mengetahui apa yang kita hendak perbuat, selain daripada berlarilah kita berpegang kepada apa yang telah dilakukan oleh datuk nenek kita kerana hendak mencari kelepasan dan mendapat pertolongan hingga tertolaklah kita daripada perhimpunan manusia yang mempunyai kemanusiaan.
Demi kehidupanku! Wahai sekalian pembaca siapakah yang punya kesalahan yang telah menjadikan kehidupan perhimpunan kita hingga demikian ini?
Apa datuk nenek kitakah? Atau orang-orang dan bangsa-bangsa yang lain-lain yang menurut peredaran masa di dalam semua hal pekerjaannya di dalam negeri kita dan dihadapan mata kitakah? Atau pun kerana besar sangat-sangat berkata yang kita dapat daripada berpegang mati dengan segala adat-adat datuk nenek kita itukah?
Tolonglah fikirkan sedikit wahai Tuan-Tuan Pembaca Yang Mulia!!
top |