Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 11 Apr 1931, p.1

Leader Article.

Peranakan Tanah Melayu!

Oleh Penulis Khas.

Kita ketahui bahwa anak-anak bangsa asing ((dikecualikan bangsa pemerintah)) yang hendak masuk ke sekolah Inggeris atau mendapat apa-apa pekerjaan kerajaan dalam negeri ini mahulah ada surat-surat keterangan ((surat beranak)) yang menunjukkan mereka telah diperanakkan di Tanah Melayu.

Bangsa-bangsa asing yang kita kehendaki di sini ialah bangsa Cina, Indian, Eurasian dan lain-lain bangsa Asiatik yang bukan Melayu. Mereka-mereka yang diperanakkan di negeri Cina atau Hong Kong atau Ceylon, India ataupun Jepun tiada diterima masuk ke sekolah-sekolah Inggeris di sini melainkan dengan kebenaran yang khas daripada Tuan Nazir Sekolah-Sekolah iaitu jika ada tempat lagi di sekolah-sekolah itu apabila peranakan Semenanjung telah diterima dan ditimbangkan. Pendeknya, jikalau peranakan Ceylon atau negeri Cina atau Hong Kong tidaklah boleh masuk sekolah. Tetapi ada sudah jadi beberapa banyak ibu bapa yang mempunyai anak yang telah dizahirkan di luar Tanah Melayu apabila hendak memasukan anak-anaknya ke sekolah-sekolah Inggeris dalam Semenanjung, maka pergilah ia meminta surat-surat beranak di pejabat beranak dan mati dengan bercakap bohong mengatakan anaknya telah diperanakkan di salah satu tempat di Semenanjung mana-mana nama anak Keling atau Cina yang seakan-akan bunyinya dengan nama anaknya itu yang telah diperanakkan umpamanya di Ipoh atau di Sungai Way Estate.

Maka diakuilah dan apabila dapat kerja dan mencuba pula hendak mendapat hak-hak yang lain yang dialaskannya di atas surat beranak palsunya itu. Kebanyakan kerani-kerani yang menjaga Register Beranak di Pejabat Kesihatan itu daripada bangsa yang bukan Melayu. Apalagi! Senanglah mereka boleh dapat menolong bangsanya!

Apabila kita fikirkan yang report-report beranak itu diterima oleh polis-polis Melayu dan dituliskan dalam Bahasa Melayu ((tulisan Jawi)) kita hairan bagaimanakah kerani-kerani yang bukan Melayu itu boleh menjalankan pekerjaannya dengan betul. Seseorang Towkay atau kerani Keling yang kaya yang tahu akan anaknya itu bukan peranakan Tanah Melayu berani memberi wang suap berpuluh-puluh dan beratus-ratus ringgit asalkan anak-anaknya dapat masuk sekolah Inggeris dan dapat pekerjaan yang boleh melapangkan kehidupannya di tanah Semenanjung yang berbahagia ini.

Adalagi suatu perkara yang sangat membakar jantung apabila mendengarnya, iaitu bukannya tidak pernah berlaku seseorang kerani Jaffna itu apabila mendapat telegram yang isterinya si Ceylon telah menzahirkan seorang anak ((terutama laki-laki)). Maka ia pun dengan serta-merta pergi mereportkan di salah satu polis station di Tanah Melayu mengatakan isterinya telah bersalin di rumahnya.

Peraturan sekarang memang tidak diperiksan seperti memeriksa orang mati; jikalau seseorang mengadukan isterinya beranak melainkan terus didaftarkan dan diberikan sekeping surat beranak, dengan jalan itu anak kerani Jaffna yang dizahirkan di Ceylon itu ada mendapat dua surat beranak, iaitu satu di Ceylon dan satu di Tanah Melayu.

Apabila anak itu telah besar sedikit akan datanglah ia ke mari dan apabila hendak dimasukkan ia ke sekolah atau apabila hendak meminta jawatan kerajaan, maka surat beranak pembohongan itulah yang ditunjukkannya.

Kemudian ada pula lagi perkara yang lebih pelik iaitu sudah ada jua berlaku suatu jawatan kerajaan telah kosong: beberapa orang telah meminta, termasuk Melayu, Jaffna dan Cina. Pada akhirnya, telah didapati seorang Melayu dan seorang Jaffna yang meminta itu ada mempunyai sokongan yang kuat. Kedua-duanya telah lulus dalam peperiksaan Senior Cambridge, kesudahannya permintaan anak Melayu yang disokong kuat oleh seorang bangsa pemerintah yang tinggi pangkatnya telah tertolak iaitu dengan kepandaian kerani besar bangsa Jaffna itu.

Budak Jaffna yang tiada harapan itu telah dikatakan secara putar belit Jaffna, iaitu sungguh pun ialah telah diperanakkan di Ceylon, tetapi ia telah dikandungkan ((dibuntingkan)) oleh ibunya di Tanah Melayu!. Maknanya itu, budak itu akan berharap mendapat dua peluang yang besar. Perkataan yang mengatakan "dikandungkan di Tanah Melayu" itu boleh menjadikan ia dapat kerja itu dan keterangan yang mensahkan ia telah diperanakkan di Ceylon itu akan membolehkan ia dapat hak bercuti 3 bulan separuh gaji, hak yang mana tidak dapat sekarang ini kepada orang-orang peranakan Tanah Melayu.

Fikiran kita undang-undang tentang "beranak dan mati" itu wajib diubah dan dikuatkan lagi supaya menahankan terdaya bangsa-bangsa yang datang hendak mengisi pundi-pundinya di Tanah Melayu ini iaitu sebelum seseorang boleh meminta salinan surat beranaknya hendaklah ia lebih dahulu pergi mengambil surat sumpah di hadapan magistrate mengatakan

((1)) nama anaknya masa direportkan

((2)) tempat reportkan

((3)) nama ibu bapa

((4)) tarikh beranak

dan jikalau kenyataan di dalam surat sumpahnya itu tidak bersetuju dengan daftar beranak yang di pejabat kesihatan itu wajiblah ditolak sama sekali permintaannya hendak mendapat salinan itu. Anak-anak Melayu yang diperanakkan di luar Tanah Melayu seperti di Mekah atau Sumatera atau Jawa patut dikecualikan kerana Melayu itu walau di mana-mana pun Melayu jua, dan Semenanjung Tanah Melayu ini negeri dan bumi Melayu yang luas.

Peraturan kerajaan ((General Orders)) yang mengatakan "anak-anak Melayu dan bangsa asing peranakan dalam negeri Melayu itu ditimbangkan lebih dahulu permintaannya bagi jawatan-jawatan kerajaan" patut diubah jua terutama di dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dan Tiada Bersekutu iaitu dibuat lebih kurang "jawatan-jawatan kerajaan itu tidak akan diberi kepada bangsa-bangsa asing selagi ada anak-anak Melayu yang layak memintanya".

Dan lagi jikalau disifatkan seseorang itu isterinya beranak di Ceylon atau di negeri Cina tetapi ia memberi report di sini, patutlah Mata-Mata Melayu pergi memeriksa di rumahnya dan jikalau didapati bohong, hukumkan akan dia.

Kerani-kerani yang menjaga daftar beranak dan mati di pejabat-pejabat kesihatan itu patut sekali anak-anak Melayu kerana mereka itu lebih mengerti membaca tulisan Jawi. Kerani-kerani Jaffna itu dimanakah pula boleh mengerti dan membaca tulisan Mata-Mata Melayu yang berkabut itu.

Orang-orang Melayu patut menjaga umur dan surat-surat beranak anaknya dengan baik dan patut mengantarkan anak-anaknya ke sekolah pada waktu umur 6 tahun supaya tiadalah lebih umur ketika hendak masuk sekolah Inggeris dan supaya lebih ramai lagi dapat masuk ke sekolah Inggeris buat menggantikan kerani-kerani bangsa asing yang banyak tipu daya dan putar belitnya itu.

Tuan-Tuan Pegawai Inggeris dalam negeri ini yang senantiasa adil dan sempurna timbangannya di atas Bumiputera patutlah ingat bahwa di antara bangsa-bangsa asing yang bukan Melayu menjadi kerani dibahunya itu ada 99,999 jalan yang boleh membuat duit dan menolong sama bangsanya. Pendeknya hinggakan Mat Peon, kertas tekap dan lain-lain yang kecil-kecil itu pun kuasa mereka itu mencurinya, pendeknya mereka itu sudah tahu dan sampai tampaknya darjah kehidupannya seperti "ulat di dalam batu yang pandai mencari makan".